Mengapa bukan Batman yang Berhalusinasi? – Dr Zul Azlin Razali

AMARAN: Spoiler di hadapan.

            Kalau kita bariskan satu-satu, mungkin senarai faktor-faktor risikonya begini.

  • Kemiskinan
  • Penderaan semasa kecil
  • Ibu yang tidak berfungsi (kerana sikap narsis dan juga berdelusi)
  • Buli di persekitaran tempat kerja
  • Tekanan sosial dan kurang bantuan kerajaan
  • Kesendirian dan tiada sokongan sosial
  • Ketidakpedulian masyarakat
  • Masalah neurologi; hilang kawalan ketawa- pseudobulbar affect? Sindrom Tourette ?

Dan benarlah, persekitaran dan situasi sosial yang menekan dan berpanjangan akan memberi kesan kepada biologi dan personaliti individu. Dan sesiapa pun mampu bertukar menjadi kasar, ganas dan kemudian melawan institusi dan sistem yang menindas itu. Kita sudah tahu rumus mudah ini tanpa perlu menunggu dan menonton filem Joker Todd Philips/Joaquin Phoenix. Namun ini tidak menghalang Michael Moore (pembikin filem dokumentari terkenal dan pemenang Academy Awards) dan jutaan manusia lain memuji-muja filem Joker (2019) ini. Michael Moore membidas golongan yang menolak filem ini kerana alasan paparan yang ganas dan meraikan pembunuhan. Sebaliknya, beliau berkata “The greater danger to society may be if you DON’T go see this movie”. Katanya lagi, keganasan sebenar adalah  apabila ramai ahli masyarakat yang termarjinal dinafikan hak untuk perubatan asas dan pendidikan yang baik. Keganasan sebenar adalah korupsi dan penipuan kolar putih yang saban hari berlaku di balik cermin bangunan pencakar langit ibu kota.

Baik. Kita terima Joker 2019 sebagai satu karya seni penting dan kritik sosial yang ampuh. Barangkali, selain ahli politik dan pemimpin, media hiburan adalah entiti yang paling kuat berpengaruh membentuk kefahaman dan pemikiran masyarakat. Betapa media itu begitu berpengaruh silap-silap jangka hayat politik juga bergantung kepadanya. Semoga kritik sosial yang dimaksudkan itu memberi impak positif kepada masyarakat dan lebih penting lagi kepada pemerintah supaya terus tegak membawa keadilan.

Psikiatri dan psikologi sememangnya satu lubuk yang sering ditarah untuk meneroka ruang estetika bagi menghasilkan karya seni yang kuat. Kalau mahu menang Oscar, pilihlah watak orang gila, lebih cerah harapannya mungkin. Memegang watak yang kepincangan psikologi sambil menggamit empati dan simpati audiens bukan perkara mudah. Ramai pakar filem meramalkan Joaquin Phoenix akan memenangi Oscar (dan saya, hanya seorang penikmat fiksyen, turut bersetuju). Jokeryang sebelum ini, yang diperankan oleh mendiang Heath Ledger (The Dark Knight, 2008), juga diangkat dan disalut oleh marhaen dan para kritikus perfileman atas lakonan yang begitu mengesankan. Apabila ditanya tentang wataknya, mendiang menjawab, dia adalah seorang ‘schizophrenic clown’. Fraterniti psikiatri tidak senang duduk lalu, Dr John Goodwin dan Dr Izzat Tajjudin (rakan saya, pensyarah di USIM), menulis sebuah makalah yang pernah diterbitkan di jurnal antarabangsa, “What Do You Think I Am? Crazy?”: The Joker and Stigmatizing Representations of Mental Ill-Health (The Journal of Popular Culture, 2016).

Berdasarkan novel grafik tersohor Batman:The Killing Joker (1988), siri komik Batman dan tentunya filem seperti The Dark Knight (2008) dan Batman (1989), Izzat dan Goodwin menyimpulkan bahawa Joker bukan penghidap penyakit mental. Joker tidak menghidap skizofrenia kerana pesakit skizofrenia tidak boleh merencana pelan mega dan rumit dan memanipulasi sepandai-pandai dan seramai-ramai orang di Gotham City seperti yang berlaku di dalam The Dark Knight. Joker bukan mengalami Kecelaruan Personaliti Disosiaif sebagaimana yang dipamerkan dalam filem Batman (1989) dan permainan video Batman: Arkham Asylum kerana sepatutnya pesakit disosiatif ini mengalami masalah lupa (amnesia) yang kerap.

Izzat dan Goodwin mengatakan Joker adalah seorang psikopatik. Ia adalah sejenis personaliti yang mempunyai sifat manipulatif, membesar-besarkan diri, tidak punya objektif jangka panjang, impulsif, tiada empati (tidak peduli hak orang lain demi mencapai kemahuan sendiri), kecenderungan menipu (walaupun perkara tak penting), gagal memikul tanggungjawab dan kecetekan emosi. Individu psikopatik juga boleh terbentuk daripada persekitaran dan senarai faktor risiko yang saya sebutkan mula-mula tadi. Dan perlu ditekankan di sini bahawa psikopatik bukan penyakit mental. Dan seseorang itu tidak memerlukan penyakit mental untuk menjadikannya seorang psikopatik. Tetapi tidak seperti pesakit mental secara umumnya, psikopatik tidak teragak-agak untuk melakukan keganasan dan pencabulan hak orang lain.

 

Kini kita sudah ada Joker ‘lebih hebat’ versi Joaquin Phoenix, dan mungkin Izzat dan Goodwin perlu menulis kertas kerja lain pula. Ini adalah kerana filem Joker itu mengambil semua faktor-faktor risiko yang disebutkan di atas tadi, mencanaikannya dengan begitu baik, menyusun dengan cermat dan kemudian menghidangkan dengan begitu meyakinkan kepada audiens bagaimana penyakit mental dan individu ganas terbentuk. Kali ini, tema isu psikiatri pada Joker lebih jelas. Lebih real.

Walaupun pun begitu, pembikin filem ini dengan pintarnya tidak menyebut pun langsung apakah diagnosis penyakit mental yang dihidapi Arthur Fleck. Kita akan tabik dengan kesungguhan filem ini mengkritik bagaimana sistem boleh mengecewakan insan seperti Arthur. Kita tabik dengan kepatuhan Arthur untuk mendapatkan ubat dan pergi temu-janji. Kita simpati kerana hidup terus mencemuhnya dan nasib mengejek-ejeknya. Kita tahu memang wujud insan seperti Arthur di dunia realiti di mana pintu takdir hanya membukanya ke jalan-jalan celaka.

 

Dan akhirnya dia berakhir dengan keganasan. Lebih menyeramkan, seperti Michael Moore bilang, Arthur Fleck boleh jadi sesiapa sahaja antara kita kalau kena gaya faktor-faktor risikonya. Cuma kita tak pasti tindakan ganasnya itu disebabkan faktor sosial atau faktor sakit mental. Antara perkara yang mencemaskan dunia psikiatri adalah babak di hujung cerita ketika dia bercakap, “What do you get when you cross a mentally-ill loner with a society that abandons him and treats him like trash?” dan kemudian Arthur Fleck @ Joker menarik picu revolver tepat ke kepala satu watak lagi (saya berusaha sebaik mungkin untuk menghadkan spoiler).

Baris skrip Arthur ini (dan tindakannya selepas itu) adalah ‘mesej jelas’ bahawa ‘pesakit mental apabila ditekan masyarakat akan membunuh’. Mesej jelas yang akan duduk diam di dalam diri kita yang nantinya perlahan-lahan buat kita takut untuk berdekat-dekat dengan orang gila di perhentian bas, yang nantinya menyebabkan seorang majikan menolak aplikasi kerja individu yang pernah mendapatkan rawatan psikiatri, yang nantinya secara tidak sedar kita memandang rendah seorang pesakit depresi dan yang nantinya menyebabkan individu yang berhalusinasi tidak mahu mendapatkan rawatan kerana khuatir orang memandang serong terhadapnya.

Perkara yang meresahkan dunia psikiatri adalah ‘mesej jelas’ itu ternyata bercanggah dengan sains dan statistik kerana pesakit mental adalah golongan yang kerap menjadi mangsa keganasan (dan pembunuhan) dan bukan sebaliknya. Bercanggah dengan realiti bahawa sangat ramai pesakit psikiatri yang tidak berkelakuan ganas atau membunuh. Entah kenapa menjadi tabiat kebanyakan orang, baik di Malaysia atau di Barat, benda-benda tidak bermoral mudah sahaja ditudingkan sebagai penyakit mental.

Joker sudah berusia 80 tahun. Sejak pertama kali dilahirkan di dunia dari rahim buku komik Batman 1940, Joker membina armada pengikutnya. Dia punya naratifnya sendiri. Bagi peminat tegar dan taasub, komik DC (dan juga Marvel) adalah ibarat kitab suci yang tidak mungkin diubah-ubah ‘wahyu’nya. Joker adalah Joker, watak yang sentiasa berantagonis dengan protagonis kesayangan, BatmanJoker punya karakter dan dinamiknya tersendiri. Joker akan sentiasa menyakat, menjahat dan membangsat. Sang Batman (dan penonton) akan sentiasa geram dengan perangai celaka si Joker. Dalam naratif Joker, kegilaan dan kejahatan adalah dua sisi syiling yang sama. Sampai kiamat pun tak mungkin naratif Joker ini berubah. Mahu tidak mahu, ini hakikat yang terpaksa diterima. 80 tahun lagi, selepas Jack Nicholson, Jared Leto, Heath Ledger dan Joaquin Phoenix, malahan selepas anda dan saya mungkin tidak ada lagi,  Joker tetap ada. Bersamanya sentiasa ada isu kesihatan mental.

Penggiat seni, baik popular ataupun sastera, adalah ejen budaya yang merakam citra dan nilai masyarakat. Mereka memberi apa yang sememangnya berlaku dalam (dan apa yang dimahukan oleh) masyarakat. Walaupun latarnya fiksyen, dalam hal ini komik, pembikin akan sentiasa memasukkan mesej penting – sekurang-kurangnya itulah yang dimestikan dalam sebuah karya seni yang baik. Dunia perubatan pula rentan sensitif dan mudah triggered apabila penampilan mesej itu (dirasakan) bercanggah dengan fakta sains yang mereka imani. Akan berlaku pertentangan bila mana keseimbangan cuba dicari antara berdisiplin di atas landasan fakta dan bebas menggunakan artistic license.

Kalau industri hiburan ‘adiwira’ benar-benar ikhlas dengan isu kesihatan mental mengapa tidak ada adiwira yang mempunyai masalah kesihatan mental? Menarik juga, jika Batman sendiri mengalami halusinasi dan terpaksa mengambil ubat secara berkala. Gejala dan simptomnya kadangkala merumitkan kerja-kerjanya untuk menyelamatkan dunia (baca: dunia Gotham). Cuba bayangkan plot ceritanya ketika berlawan dengan mana-mana antagonis, atau mungkin Joker sendiri, Batman terlupa mengambil ubat yang dijadualkan di waktu pagi dan betapa dia tidak mampu fokus. Lalu jadilah satu plot yang mencabar dan menarik. Ahh, saya sekadar memandai-mandai tetapi pokoknya di sini, tidak bolehkah pesakit mental itu juga seorang hero? Saya sangat percaya pesakit mental juga adalah hero. Saya percaya kerana saya selalu berjumpa dengan mereka.

Jadi sekarang, mengapa watak Batman atau adiwira lain tidak dijadikan berhalusinasi?

 

Dr Zul Azlin Razali adalah pakar psikiatri yang menulis buku Depresi: Terpuruk Rasa Ingin Mati terbitan DuBook Press.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box