Salah satu topik yang sering digaduhkan antara pegawai penjagaan kesihatan dan pesakit adalah keberatan pesakit untuk mengambil ubat yang telah diberikan.
Kadar ketidakpatuhan berbeza antara seorang pesakit dari pesakit yang lain; dari yang langsung tidak mahu mengambilnya kepada yang memakan semua ubat yang telah diberikan tetapi pada kuantiti yang lebih rendah dari sepatutnya.
Berdasarkan pengalaman saya sebagai pegawai farmasi, terdapat beberapa sebab mengapa pesakit berlaku sedemikian. Sesetengah orang tidak percaya terhadap bahan bukan semulajadi manakala selainnya percaya tubuh badan berupaya sembuh dengan sendiri. Ada juga yang mendakwa kesan sampingan ubat yang diberi sangat merbahaya, yang saya rasa adalah munasabah kerana setiap pengilang ubat perlu menyenaraikan segala kesan sampingan yang mungkin timbul walaupun kebarangkaliannya satu dalam sejuta. Pesakit yang pernah mengalami kesan sampingan daripada ubat-ubat lain juga mungkin mengalami fobia terhadap ubat. Tidak kurang juga pesakit yang menyalahkan faktor-faktor luaran seperti kesibukan kerja, anak-anak, ibu bapa, suami isteri, bos mereka, dan juga cuaca sebagai sebab mereka tidak mengambil ubat yang diberi. Dikalangan pesakit ada yang tidak mengambil ubat kerana tidak mampu membeli ubat yang ditentukan doktor.
Pegawai kesihatan yang kecewa sering mempunyai teori sendiri untuk menjelaskan mengapa pesakit tidak mengambil ubat-ubat seperti yang diarahkan. Saya menentang tanggapan ini. Saya percaya punca masalahnya ditempat lain. Tetapi sebelum itu, ketahuilah bahawa pesakit yang tidak mengambil ubat mereka bukanlah pesakit yang tidak baik. Pesakit tersebut bukanlah bodoh, tidak bertanggungjawab atau tidak bermoral. Pesakit tersebut bukanlah mahu merendahkan kepakaran anda atau menghina institusi perubatan. Pesakit yang tidak mengambil ubat yang diberi secara ringkasnya kurang yakin akan pakar perubatan mereka atau berasa gerun terhadap ubat-ubat yang disediakan.
Jadi apakah masalahnya?
Meski pelbagai sebab diberi untuk menjelaskan masalah ini, saya ingin mengemukakan idea bahawa terdapat tiga masalah besar yang menyebabkan ketidakpatuhan kepada ubat yang diberi. Masalah-masalahnya adalah kurang yakin terhadap pegawai perubatan, takut terhadap ubat, dan kurangnya komunikasi antara pesakit dan pegawai perubatan.
Rasa tidak yakin membawa kepada ketidakpatuhan mengambil ubat apabila pesakit merasakan mereka tidak boleh percaya akan bahan-bahan bukan semulajadi yang diberi oleh seorang pegawai berpakaian kot putih tanpa sebarang penjelasan. Keyakinan semakin berkurang apabila setiap penjelasan diberi menggunakan frasa-frasa yang berbunyi klinikal dan menakutkan. Perasaan ini diperkuatkan lagi apabila pesakit diugut dengan akibat yang buruk atau pun kematian jika tidak mematuhi arahan yang diberi. Kepercayaan pesakit terhadap pegawai kesihatan semakin hilang apabila membaca senarai kesan sampingan ubat tersebut dan pegawai perubatan mengetepikan segala soalan seolah-olah menyembunyikan sesuatu.
Dari kurangnya kepercayaan datangnya ketakutan. Ketakutan ini memburukkan lagi masalah yang timbul dari hilangnya kepercayaan antara pegawai kesihatan dan pesakit. Rasa takut terhadap kesan sampingan dan kesan toksik menyebabkan pesakit berhenti mengambil ubat. Rasa takut terhadap yang perkara yang tidak diketahui mendorong pesakit mencari lebih banyak maklumat yang seringkali lebih menakutkan lagi sukar difahami. Ketakutan terhadap kemarahan doktor menyebabkan pesakit berpura-pura semuanya baik dan menipu doktor membuatkan mereka percaya semua ubat-ubat yang diberi diambil mengikut arahan. Perasaan takut mendorong pesakit membuat keputusan yang salah, dan seringkali menolak setiap jenis rawatan atau mencuba kesemuanya pada masa yang sama. Perkara ini boleh membawa akibat yang buruk kepada kesihatan pesakit. Dalam hal ini, perasaan takut membawa kepada perbuatan yang membahayakan diri.
Dari mana datangnya rasa takut dan tidak yakin?
Saya percaya ianya berpunca dari kurangnya komunikasi.
Kedua-dua pesakit dan pegawai perubatan seharusnya duduk berbincang dan menyatakan hasrat, objektif dan kebimbangan terhadap kesihatan pesakit dan rancangan rawatan yang dicadangkan. Pesakit perlu beritahu apa yang dimahukan dari doktor dan sebarang ketakutan, masalah dan faktor-faktor lain yang mungkin menjejaskan rawatan mereka. Pegawai perubatan seharusnya memberi pesakit peluang untuk berbincang dan juga memberi komitment untuk mendengar dengan minda terbuka. Pesakit yang tidak berupaya mematuhi regimen perubatan yang diberi kerana kesibukan kerja memerlukan pertolongan yang sangat berbeza daripada seseorang yang tidak mematuhi arahan perubatan kerana khuatir ubat-ubatan tersebut akan memudaratkan rahimnya. Pegawai perubatan perlu membenarkan pesakit menceritakan kebimbangan mereka dan mengambil timbang serta berkomunikasi dengan baik fakta-fakta rawatan secara terus-terang dan efektif.
Pesakit juga perlu membenarkan pegawai perubatan menjelaskan objektif bagi rawatan yang dicadangkan, kebarangkalian kesan sampingan serta pertimbangan yang membawa kepada rawatan yang dipilih. Pesakit perlu menerima semua maklumat ini dengan minda yang terbuka tanpa membenarkan rasa syak dan paranoia serta merta menolak semua yang dikatakan pegawai perubatan. Pesakit juga perlu faham bahawa pegawai perubatan yang tidak boleh memberikan semua fakta serta merta bukanlah menyembunyikan sesuatu atau kurang cekap. Tugas pegawai perubatan adalah untuk menyihatkan pesakit. Pesakit tidak perlu takut akan mereka dan perlu berterus-terang dengan segala kebimbangan tentang rawatan yang diberi. Kebanyakan masanya, alternatif boleh dicari jika sesuatu rawatan tidak serasi dengan pesakit. Mendiamkan diri hanya akan memudaratkan pesakit.
Secara ringkas, ketidakpatuhan kepada rawatan yang diberi merupakan isu besar yang melibatkan kos kewangan yang tinggi serta kesan klinikal yang kurang memuaskan. Keyakinan dan komunikasi yang kurang serta ketakutan pesakit terhadap pegawai perubatan mereka seringkali merupakan sebab utama ketidakpatuhan rawatan. Pesakit dan pegawai perubatan perlu bekerjasama untuk menjajarkan objektif dan sebarang kebimbangan untuk mencapai hasil terapeutik yang diingini.
Rencana ini merupakan pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat The Malaysia Medical Gazette.
Mark Cheong ialah seorang Ahli Farmasi yang bertugas di Kuala Lumpur. Beliau mempunyai minat terhadap strategi langkah-langkah kesihatan awam. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk ‘The Team’ dalam ruangan ini.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Saya setuju dengan point penting iaiatu KOMUNIKASI. Sepanjang saya mendapat rawatan dahulu, tidak pernah sekalipun doktor terangkan kesan sampingan setiap ubat. Bila rasa kesan yang tidak sepatutnya, terpaksa mencari jawapan sendiri. Jujur pada pesakit tiada masalah, malah doktor sepatutnya bagitau dengan detail ttg kesan sesuatu ubat itu