Mengapa Saya Sembelit? – Dr Ruhi Fadzlyana

Tabiat membuang air besar adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang membuang air besar dua kali sehari dan ada juga segelintir yang membuang air besar setiap tiga hari. Ini kerana aktiviti membuang air besar bagi setiap individu adalah berlainan bergantung kepada beberapa faktor :

  • Pemakanan : Pengambilan makanan yang kurang serat (contoh makanan berserat tinggi adalah buah-buahan dan sayur-sayuran) akan menyebabkan najis berketul dan keras.
  • Minuman : Tekstur najis yang normal akan terbentuk apabila seseorang mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari.
  • Gaya hidup sihat : Aktiviti sukan akan meningkatkan aktiviti usus dan memudahkan proses membuang air besar.

ADAKAH SEMBELIT ITU NORMAL?

Tidak semua sembelit itu adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang telah dinyatakan di atas. Sembelit dianggap tidak normal jika seseorang individu mengalami tanda-tanda berikut :

  • Berak berdarah : Darah dalam najis bersama sembelit adalah tanda kanser usus, polip, diverticulum (poket di usus besar), “anal fissure” (luka di dubur) atau buasir.
  • Pengambilan ubat untuk membantu membuang air besar. Contoh ubat yang selalu dibeli oleh pesakit sembelit adalah fiber dan minuman “detox”. Pengambilan suplemen ini secara berkala boleh menyebabkan usus menjadi malas. Beberapa jenis minuman detox mempunyai kesan sampingan yang boleh menyebabkan kekurangan garam dalam darah seterusnya membahayakan kesihatan.
  • Turun berat badan : Ini adalah tanda-tanda awal kanser usus.
  • Naik berat badan : Kekurangan hormone kelenjar thyroid boleh menyebabkan pergerakan usus menjadi lambat.
  • Terpaksa menggunakan jari atau memasukkan air ke dubur untuk membantu membuang air besar. Ini adalah tidak normal dan boleh menyebabkan “ulcer” (luka) di dalam usus besar. Ia juga salah satu ciri “obstructive defecating syndrome”.
  • Meluangkan masa yang lama untuk membuang air besar sehinggakan boleh membaca majalah, surat khabar atau Facebook. Ini menunjukkan aktiviti dubur untuk membuang air besar tidak normal dikenali sebagai “pelvic floor dysynergia”.
  • Ada biji/ kulit yang keluar dari pangkal dubur semasa membuang air besar. Tidak semua biji atau kulit itu adalah buasir kerana kanser pangkal dubur juga boleh bersifat sedemikian. Selain itu “rectal prolapse” (usus besar terkeluar dari pangkal dubur) (Rajah 1) juga boleh menyebabkan sembelit.

“Rectal prolapse” – Pesakit mengadu sembelit dan ada “buasir” ketika membuang air besar.

 

SAYA MENGALAMI SEMBELIT, APA YANG PERLU SAYA LAKUKAN?

Pertukaran tabiat membuang air besar adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Jika tabiat membuang air besar selalunya setiap dua hari dan sekarang berubah kepada 4 hari sekali atau sekali seminggu dan keadaan tersebut berterusan selama beberapa minggu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor. Pengambilan ubat atau makanan tambahan (supplemen) untuk menyelesaikan masalah sembelit tanpa nasihat doktor adalah memudaratkan.

APA YANG AKAN DOKTOR LAKUKAN?

Pemeriksaan awal akan dilakukan bagi mengenalpasti punca sembelit. Ini dapat dikenalpasti melalui sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal pesakit. Beberapa jenis ujian darah akan dijalankan untuk mengenalpasti punca sembelit. Sesetengah pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani prosedur kolonoskopi (memasukkan kamera ke dalam usus besar melalui dubur). Prosedur “anal manometry” (tekanan anus) untuk melihat “pressure” di dalam dubur dan “defecating proctogram” (x-ray aktiviti membuang air besar) akan disarankan jika pesakit menunjukkan tanda-tanda kelemahan otot pelvis atau “obstructive defecating syndrome”.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box