Hepatitis B kronik (CHB) merupakan penyakit yang sering berlaku di Malaysia. Namun, kadar penyakit ini berlaku berbeza-beza bergantung kepada bangsa pesakit dari kurang 1% hingga 10%. Kadar paling tinggi adalah di kalangan warga Cina. Jika dibandingkan dengan mereka yang tidak menghidap hepatitis B, pesakit yang menghidap hepatitis B kronik adalah 100 kali ganda lebih berisiko mendapat barah hati. Kadar tahunan berlakunya hepatitis B meningkat dengan umur. Risikonya lebih tinggi jika salah seorang ahli keluarga mengalami atau pernah mengalami barah hati. Sekiranya wujud sirosis (sejenis kerosakan) hati , kadar tahunan untuk menghidapi barah hati meningkat kepada 2.5% berbanding 0.5% bagi mereka dengan status pembawa virus hepatitis B sahaja.
Saya ingin berkongsi pendekatan saya bagi pesakit-pesakit yang baru mendapat diagnosis hepatitis B kronik. Biasanya saya akan mulakan dengan bertanya bagaimana mereka tahu tentang CHB dan menyelidik bagaimana pesakit mendapat penyakit ini. Para doktor biasanya akan menanyakan sejarah kesihatan keluarga – sama ada sesiapa pernah menghidap hepatitis B atau barah hati, tabiat berisiko tinggi, sejarah pemindahan darah, trauma, dan sebarang pembedahan yang pernah dilakukan. Selain itu, saya juga akan bertanya tentang simptom yang berkaitan dengan jangkitan hepatitis B seperti jaundis. Selepas mengetahui sejarah kesihatan pesakit barulah saya memeriksa untuk tanda-tanda penyakit hati kronik.
Saya sentiasa memberitahu jenis pemeriksaan darah yang ingin saya jalankan. Ketika pemeriksaan pertama, saya akan meminta bilangan sel darah penuh (FBC), faktor penggumpalan (clotting factors), ujian fungsi hati (LFT), dan ujian serologi hepatitis B. Sekali-sekala saya akan meminta beban virus (viral load) kuantitatif hepatitis B (bilangan virus dalam badan). Mengapa saya tidak meminta ujian ini setiap kali? Ujian beban virus (viral load) kuantitatif hepatitis B adalah mahal (dalam anggaran RM400.00). Ujian ini biasanya digunakan untuk memantau gerak balas pesakit terhadap rawatan dan untuk mengelaskan status penyakit individu tersebut. Pesakit-pesakit muda pada peringkat immunotoleran hepatitis B mungkin mempunyai beban virus yang tinggi walaupun fungsi hati mereka normal. Rawatan hanya dimulakan apabila fungsi hati tidak normal. Kajian mengesahkan bahawa tidak balas terhadap rawatan kurang memuaskan apabila rawatan dimulakan ketika fungsi hati normal. Kebanyakan masanya saya hanya akan mengulang ujian rawatan hati. Saya mungkin akan pertimbangkan ulangan ujian antigen permukaan (surface antigen) atau e-antigen (hanya untuk kes-kes positif e-antigen) secara tahunan, kerana jarang pesakit sembuh serta-merta dari hepatitis B.
Untuk pesakit-pesakit saya, saya biasanya memohon ujian darah alfa-fetoprotein (AFP) dan ultrasound untuk pemantauan barah hati. Kadar AFP selalunya meningkat untuk pesakit yang menghidapi barah hati, tetapi bukan semua peningkatan AFP disebabkannya. Sekiranya ujian darah anda menunjukkan peningkatan AFP, doktor anda akan berbincang mengenai langkah-langkah seterusnya. Ultrasound akan membantu mencari tanda-tanda kerosakan hati dan tumor hati. Biasanya kedua-dua ujian ini akan diulang setiap lawatan ke klinik.
Berapa kerap perlu pesakit berjumpa saya dan mengulangi ujian-ujian yang disebutkan? Kekerapan lawatan bergantung kepada keadaan pesakit atau peringkat penyakit. Bagi pesakit tanpa tanda-tanda kerosakan hati atau sirosis, lawatannya tidak kerap. Bagi pesakit yang mempunyai sirosis, lawatan setiap 3 hingga 4 bulan adalah perlu, bergantung pada tahap kerosakan hati. Kekerapan lawatan lanjut bergantung pada keputusan ujian darah dan risiko anda mengalami barah hati.
Sebelum pesakit pulang, saya akan memberitahu beberapa perkara untuk diberi perhatian. Hepatitis B akut boleh meradang bila-bila masa. Oleh demikian, pesakit hendaklah memberi perhatian kepada simptom-simptom seperti kelesuan atau rasa tidak sihat, jaundis, atau air kencing berwarna seakan-akan teh. Sekiranya salah satu daripada simptom ini terjadi, pesakit perlu ke hospital terdekat serta-merta. Radangan hepatitis B yang teruk boleh membawa kepada kegagalan akut hati dan kematian. Bagi mereka yang mempunyai kerosakan hati, saya akan nasihatkan tentang tanda-tanda dan simptom pendarahan gastrointestinal; status penyahpampas hati seperti bengkak di bahagian abdomen dan kaki, perubahan keadaan mental atau tingkah laku. Yang paling penting ialah untuk mengelakkan perkara yang mampu merumitkan keadaan hati, seperti alkohol.
Pendek kata, belajarlah lebih mendalam tentang penyakit anda dan harapannya, penyakit tersebut kekal stabil. Tidak semua yang menghidapi CHB akan mengalami komplikasi dengan syarat anda menjaga diri dengan baik.
Dr. Ngiu Chai Soon seorang perunding gastroentrologis dan Dr. Wong Zhiqin adalah pemegang MRCP. Mereka berdua bekerja di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/tackling-chronic-hepatitis-b-dr-ngiu-chai-soon-dr-wong-zhiqin/ oleh Nur Nadhirah.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]