Menjual Kesihatan: Berbaloi atau Temberang? – Dr Helmy Hazmi

Sumber: www.healthandsuppliments.com

Sumber: www.healthandsuppliments.com

Manusia, apabila jatuh sakit, ialah sejenis spesis yang terdesak. Kita hanya menyedari peri pentingnya kesihatan apabila kita jatuh sakit. Kita mencari jalan singkat untuk sembuh. Inilah kelemahan kita dan inilah yang dipergunakan oleh iklan barangan kesihatan. Di Malaysia, pergilah ke mana-mana pasar raya atau kompleks beli-belah, betapa banyak pondok/warung barangan kesihatan memanggil-manggil kita. Jurujualnya, dengan suara lemak merdu, akan cuba untuk memujuk anda membeli satu. Jika pujukan tidak berjaya, mereka menakut-nakutkan pula. Jika anda jenis yang tak lut dengan pujuk-rayu, mereka mensasarkan titik lemah anda – ahli keluarga. Ya, kita risaukan kesihatan ahli keluarga kita. Akhirnya, kita pun tewas dengan kuasa penjual dan wang kita pun terbang melayang.

Dakwaan-dakwaan keberkesanan produk suplemen kesihatan ini mungkin tidak seberapa. Pemasarnya sedar bahawa masyarakat semakin inkuisitif hari demi hari. Dakwaan sebegitu tidak lagi berkesan. Percaturan baru diperlukan. Apakah cara lain untuk membuat kita percaya selain daripada mengemukakan bukti? Tentunya, jika orang lain boleh sihat, anda juga mampu. Pengalaman menjadi bukti terhebat mengatakan suatu produk itu selamat dan berkesan.

Dakwaan-dakwaan peribadi ini dipanggil ‘testimoni’. Ramai bakal pengguna telah terjebak, dan akibatnya, membelanjakan banyak wang untuk membeli produk-produk. Produk tersebut mungkin berkesan terhadap orang yang terpapar di kertas risalah. Tetapi itu rezeki dia, dan hanya dia. Dia mungkin bersetuju untuk muncul sebagai alat promosi. Seorang duta produk.

Tetapi bagaimana pula dengan orang yang tidak pernah merasa ‘manfaat kesihatan’ sesuatu produk? Berapa peratuskah pengguna produk yang benar-benar tidak mendapat kemujaraban seperti mana yang diuar-uarkan oleh sang duta produk? Berapa banyak pula yang mengalami kesan sampingan tetapi memilih untuk berdiam diri?

Namun, kebanyakan orang meletakkan testimoni setaraf dengan hasil kajian berdasarkan bukti. Hakikatnya, tidak sama. Sebagai permulaan, kajian perubatan kosnya tinggi melangit. Mencetak dakwaan pada risalah, diselit pada makjun tradisional yang dibungkus rapi, tidaklah begitu mahal. Mungkin tidak berapa ratus ringgit pun.

Tidak hairanlah harga ubatan yang dibeli di klinik swasta boleh memeranjatkan seseorang yang biasa dirawat di klinik kerajaan. Namun, ada sesetengah pesakit yang tidak bersyukur, menawar untuk menjual ubat yang diperolehnya di klinik kerajaan untuk harga yang tidak seberapa. Adakah ini salah satu punca kematian berkaitan diabetes terus meningkat di negara ini?

Ubat preskripsi di Malaysia dipantau oleh Kementerian kesihatan. Dalam hidup kitapun, kita sering diuji. Begitu juga ubat-ubatan. Semua ubat mesti melalui empat peringkat ujian yang rapi dan lulus cemerlang, sebelum diluluskan untuk pasaran. Ujian-ujian ini dipanggil ujian percubaan klinikal. Percubaan klinikal bertujuan untuk memantapkan profil keselamatan dan kemujaraban sesuatu ubat.

Fasa satu percubaan klinikal menentukan bahan aktif dalam ubat. Biasanya ia berskala kecil dan dijalankan ke atas sukarelawan yang kebanyakannya sihat. Sejurus bahan baharu itu melepasi Fasa satu, Fasa dua pun bermula. Fasa dua menguji kemujaraban ubat baharu itu terhadap orang yang menghidap penyakit dan keadaan sasaran. Kesan sampingan jangka pendek terus dipantau. Fasa tiga mengkaji bagaimana perilaku bahan tersebut dalam populasi berbeza dan dos berbeza. Di sini, bilangan subjek melingkungi ratusan ke ribuan.  Dalam Fasa empat, lebih ramai subjek atau pesakit direkrut untuk lebih memantapkan keselamatan dan kemujaraban bahan tersebut dalam jangka masa yang lebih panjang. Selepas lulus Fasa empat, tinjauan pasca pemasaran akan terus memantau penggunaan dadah/ubat dalam pasaran.

Keseluruhan proses mungkin tampak dipermudah, tetapi ia memakan masa bertahun, dan kadangkala mengambil 20 tahun sebelum satu-satu dadah/ubat mula dipasarkan selepas Fasa empat. Pada 2004, dadah Vioxx atau Rofecoxib, sejenis penahan sakit yang digunakan untuk merawat arthritis (radang sendi), ditarik balik dari pasaran termasuklah Malaysia kerana peningkatan risiko serangan jantung dan strok di kalangan pesakit yang menggunakannya. Tindakan ini ialah akibat tinjauan pasca pemasaran yang dilaksanakan.

Sumber: careerrocketeer.com

Sumber: careerrocketeer.com

Tiada satu pun dari yang diterangkan di atas berlaku dalam testimoni. Testimoni ini hanya setaraf dengan khabar angin. Tidak dinafikan ia memberi hipotesis untuk diuji, tetapi ia tidak mengesahkan sesuatu hipotesis. Banyak penjelasan saintifik yang tiada dalam testimoni. Apakah farmakokinetik (cara tubuh bertindak terhadap dadah) di sebaliknya? Ia bertindak kepada reseptor yang mana? Apakah mekanisme maklum balas, jika ada? Ke manakah produk akhir dadah tersebut disingkir? Pada peringkat penyakit yang mana ketika pesakit memakan ubat tersebut? Adakah pesakit memakan ubat lain pada masa yang sama? Tidak hairanlah para doktor jarang sangat menerangkan perihal ubat-ubatan kepada pesakit – terlalu banyak kerjanya!

Dalam satu-satu kajian, subjek yang tidak menunjukkan kesan yang diingin turut didokumenkan. Sudah tentu, mereka yang mengalami kesan sampingan (sebab itu kami perlukan keizinan) tidak ditinggalkan. Memandangkan keselamatan para subjek juga diambil kira, semua projek kajian yang melibatkan pesakit akan dihadapkan ke panel jawatankuasa etika sebelum dimulakan. Apa sahaja yang ubat akan lakukan kepada pesakit akan didokumentasi. Peningkatan tekanan darah? Berapa banyak? 1 mmHg? 20 mmHg? Bibir kering? Rasa berdebar? Peningkatan kadar denyutan jantung? Penurunan kiraan sel darah putih? Penurunan tahap gula dalam darah? Mesin apa yang diguna? Bolehkah ia digunapakai? Semua akibat kukuh ini didokumentasi dengan baik.

Bandingkan ia dengan testimoni, “Saya rasa lebih baik selepas sebulan menggunakan produk ABC”. Atau “Dahulu saya hanya mampu berjalan, tetapi sekarang, selepas menggunakan Produk XYZ, saya boleh berlari”. “Saya menghidap kencing manis, tetapi selepas memakan kapsul X, saya rasa lebih sihat dan bertenaga”. Dakwaan-dakwaan dalam testimoni tidak pernah diukur. Sesetengahnya begitu kabur. “Selepas meminum kopi ABC, isteri saya lebih sayangkan saya”. Apa kena-mengena isteri yang penyayang dengan meminum kopi?

Pernahkah anda terserempak dengan produk super? Produk super ialah sejenis suplemen kesihatan yang merawat segala jenis penyakit. Ia “merawat darah tinggi, mencegah kencing manis, mencegah ekzema, mencegah strok…” Dalam masyarakat penggemar bola sepak seperti Malaysia, ini merupakan situasi kad kuning. Malahan, kad merah. Kalaulah ubat sebegitu wujud, habislah kosong segala hospital dan doktor pun tak perlu bekerja lagi. Patutlah syarikat-syarikat produk kesihatan menjana wang berjuta-juta daripada hasil titik peluh mereka yang lalai.

Salah satu sebab anda kagum dengan doktor ialah keupayaan para doktor menyebut jargon dunia perubatan. Tidak, nya insong mata kaji semang inseng bukanlah satu daripadanya. Akan tetapi, kebanyakan doktor diberitahu dan dilatih untuk memudahkan pemahaman perkara-perkara perubatan yang rumit. Penggunaan istilah-istilah yang kononnya jargon perubatan ialah seumpama musang berbulu ayam. Contoh-contoh yang mungkin tertera pada suplemen kesihatan termasuklah “…Titik Rangsangan Lapar…”, “termogenesis, yang menukarkan lemak terkumpul kepada lipid terlarut…” dan “Salah satu ramuan semulajadinya ialah inolitol hexacontinate.”.

Sebagai warga pakar kesihatan awam, saya tidak akan jemu mengatakan ini kepada pesakit saya yang kelebihan berat badan, tiada cara lain untuk menurunkan berat badan selain diet yang betul dan senaman. Ia hukum semua-atau-tiada. Namun begitu, orang ramai masih terpedaya dengan iklan “…vitamin untuk kurus dengan selamat…” dan “cara menurunkan berat badan, tanpa diet yang revolusioner…”. Gambar sebelum dan selepas yang memperakukan kemujaraban produk tersebut, apabila ditilik dengan teliti, membenarkan kata hikmat dalam menguruskan badan – diet yang betul dan senaman. Produk-produk itu mungkin berkesan sebagai pemotivasi untuk memaksa anda mencari kasut jogging yang hilang sekian lama. Sekarang masa untuk saya membincangkan hal keajaiban minda manusia – kesan plasebo.

Kesan plasebo

Terdapat mereka yang bermati-matian mendakwa suatu produk kesihatan benar-benar berkesan kepada mereka. Ini tidak boleh dinafi. Soalan seterusnya ialah, berapa yakinkah kita akan kesan yang mereka alami ialah hasil daripada bahan aktif dalam produk tersebut? Dalam menguji ubatan baharu, para pengkaji sering menggantikan ubat sebenar dengan versi replika kepada pesakit secara rawak. Versi replika ini tidak mengandungi ramuan aktif tetapi mempunyai rasa yang sama dengan produk asal. Pada penghujung kajian, para subjek akan dianalisa untuk kesan yang diingini. Sudah tentu akan ada sebilangan subjek yang menerima ubat replika mendakwa mengalami kesan yang diingini. Inilah yang dinamakan kesan plasebo: Kesan yang diingini yang tidak berpunca daripada ramuan aktif, tetapi akibat kawalan minda. Boleh jadi pengguna produk kesihatan ialah mangsa kesan plasebo?

 

Sumber: www.smartechpy.com

Sumber: www.smartechpy.com

Adalah semulajadi itu selamat?

Kita semua sukakan alam semulajadi. Sekali-sekala kita akan keluar dari persekitaran kita yang memenatkan dan meluangkan masa dengan alam. Kehijauan alam menyegarkan mata kita, dan membersihkan peparu dengan udara yang nyaman dan segar. Benar, meluangkan masa dalam persekitaran semulajadi itu bagus. Banyak kali konteks ini disalahguna dalam mempromosi suplemen kesihatan. Suplemen tradisional biasanya mengandungi ekstrak/sari daripada akar (cth: tongkat Ali), kulit ataupun bunga tumbuh-tumbuhan. Ekstrak/Saripati ini mengandungi bahan kimia – ramuan aktif – yang membuatkan dadah, oh maaf, suplemen ini berkesan. Ini pastinya bertentangan dengan pegangan kebanyakan naturalis yang mengatakan produk herba bersifat semulajadi dan tidak mengandungi bahan kimia. Kebanyakan orang lupa, suplemen dari sumber semulajadi atau dadah buatan sintetik yang cukup kuat untuk mencipta kesan yang diingini, pasti cukup kuat juga untuk menyebabkan kesan sampingan.

Ada kalanya, beberapa suplemen kesihatan di bawah nama produk tradisional semulajadi ‘dilacurkan’ untuk menambah kemujarabannya. Di dunia kita sebelah sini, kejantanan itu suatu kebanggaan. Produk kopi selalu menjadi alat kegemaran untuk ditokok-tambah dengan sildenafil, ramuan utama di dalam Viagra. Sildenafil, sejenis ubat preskripsi, termasuk dalam racun berjadual kumpulan B di Malaysia. Terang-terangan, bahan kimia ditambah untuk mencapai kesan yang diingini – dalam kes ini, ketegangan zakar. Kasihan mereka yang menyangka telah ‘mendapat’ hasilnya dengan cara yang selamat dan semulajadi.

Artikel ini tidak akan merubah dunia semalaman. Sekali lagi, jika anda tidak yakin dengan suplemen kesihatan tertentu, silalah semak dengan doktor anda. Klik http://portal.bpfk.gov.my/ untuk mengetahui samada suplemen kesihatan itu berdaftar atau tidak.

Artikel ini diterjemah dari: https://www.mmgazette.com/selling-health-a-bargain-or-a-rip-off-dr-helmy-hazmi/ oleh Encik Azizul Ismie. 

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • Rizalmazli, M Salim. “Food Supplements Adulterated with Schedule Poisons.” 9th Johor Scientific Meeting 2013. JKNJ, n.d. Web. 24 Oct. 2013.
  • http://jknj.moh.gov.my/jsm/day1/G1_(2)_Food_Supplements_Adulterated_with_scheduled_poisons.pdf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box