Menopaus: Selamat Tinggal “Aunty Flow” – Dr Ayu Akida

Sumber: www.sundayobserver.lk

Sumber: www.sundayobserver.lk

Menopaus atau ‘putus haid’ adalah perkataan yang membawa pelbagai reaksi kepada ramai. Menggelar seorang wanita sebagai menopaus (apabila beliau belum lagi mengalaminya) anda mungkin akan menerima lebam hitam di mata. Pekerja-pekerja yang diselia bos wanita mungkin mempunyai perkataan menopaus di atas senarai deskripsi bagi orang atasan. Walaupun perkataan tersebut mungkin tidak memberi kesan kepada orang lain, ianya sering digunakan sesuka hati oleh mereka yang tidak memahami keadaan menopaus.

Menopaus ialah keadaan semula jadi di mana ovari akan berhenti berfungsi diiringi pengurangan kadar estrogen (hormon wanita) yang diikuti paras estrogen yang rendah dalam badan. Secara ringkasnya ovari, tempat di mana ovum disimpan, akan menghentikan perkhidmatannya. Keadaan ini diikuti kekurangan kadar estrogen. Biasanya semua perkara ini akan berlaku secara semula jadi, tetapi terdapat keadaan di mana menopaus disebabkan perkara-perkara tertentu yang membawa kepada kegagalan ovari. Contohnya seseorang yang telah dikeluarkan kedua-dua ovari atas sebab-sebab kesihatan tertentu akan mengalami menopaus walaupun pada umur yang muda.

Menopaus pra-matang ialah situasi di mana seseorang yang mengalami menopaus sebelum berumur 40 tahun. Mereka yang berumur di antara 50-59 tahun dikategorikan sebagai menopaus awal, manakala menopaus lewat adalah bagi mereka yang mengalaminya pada umur 60 ke atas.

Doktor akan membuat diagnosis menopaus (setelah faktor-faktor lain disingkirkan) berasaskan pemerhatian klinikal seperti berikut:

  1. Umur : lingkungan umur menopaus (dalam anggaran umur 50 tahun)
  2. Tiada haid selama 12 bulan
  3. Kehadiran tanda-tanda menopaus

Ujian makmal atau ujian darah biasanya tidak perlu, tetapi jika terdapat sebarang kesangsian, doktor mungkin akan menjalankan ujian untuk menentukan kadar hormon perangsang folikel (FSH) yang berperanan dalam pertumbuhan ovum dalam ovari.

Simptom-simptom menopaus

Terdapat pelbagai tanda-tanda menopaus atau kedatangan menopaus yang merangkumi dari yang fizikal kepada psikologikal. Antara yang biasa didapati dijelaskan seperti yang berikut:

Kepanasan

Kepanasan, atau lebih dikenali sebagai hot flashes atau hot flushes, adalah serangan kepanasan yang datang secara tiba-tiba tetapi berlaku hanya sementara. Kepanasan ini biasanya dirasakan di pipi dan leher dan disebabkan pengurangan kadar estrogen dalam badan.

Berpeluh pada waktu malam

Berpeluh pada waktu malam berlaku kesan daripada kepanasan melampau yang berterusan sehingga malam mengakibatkan penghidap berpeluh dengan banyak. Hal ini bukanlah masalah tidur tetapi keadaan yang memberi kesan berpeluh berlebihan.

Sakit Kepala

Ini antara aduan yang biasa diterima daripada wanita-wanita Malaysia. Keadaan ini dikaitkan kepada ketidakseimbangan hormon dan juga berlaku ketika tempoh reproduktif kerana kadar hormon yang berubah-ubah. wanita mungkin akan mengalami sakit kepala yang lebih teruk ketika atau sejurus sebelum menopaus berlaku.

Cepat marah/keresahan/kemurungan/ayunan perasaan atau ‘mood swings’

Perubahan perasaan atau ‘mood’ baik dan buruk adalah lazim dan juga disebabkan kadar edaran estrogen yang rendah yang merupakan faktor utama pengawalaturan mood. Kestabilan mental wanita ketika menopaus dipengaruhi perubahan hormon yang dialami ketika tempoh masa ini. Sesetengah wanita akan berasa cepat marah, murung, dan ayunan mood. Keadaan ini biasa berubah dari perasaan meluap-luap kepada kelesuan dalam jangkamasa yang pendek.

Masalah tidur

Walaupun berasa penat, sesetengah wanita mungkin akan mengalami masalah tidur seperti kualiti tidur yang kurang memuaskan, susah kekal tidur pada waktu malam atau masalah untuk tidur.

Kekeringan vagina

Pengurangan kadar pengeluaran estrogen boleh menyebabkan wanita mengalami kekeringan vagina yang membuatkan seks lebih sukar dan kadang-kala menyakitkan.

Pengurangan libido

Sesetengah wanita mungkin akan berasa kurang berminat untuk melakukan seks atau berasa sukar naik syahwat. Hal ini berlaku disebabkan perubahan fisiologikal berikutan pengurangan kadar pengeluaran estrogen: tindak balas lewat klitoral, tindak balas perlahan atau tiada klimaks langsung, dan pengurangan pelinciran vagina semua boleh membawa kepada pengurangan libido.

Kerap membuang air kecil

Ketika menopaus, tisu-tisu vagina dan uretra menjadi kurang elastik dan lapisan dinding menjadi nipis. Otot pelvik disekitarnya juga akan menjadi lemah. Oleh itu adalah perkara biasa untuk wanita-wanita yang mengalami menopaus hilang kawalan pundi kencing. Mereka mungkin merasakan perlu untuk kerap membuang air kecil walaupun pundi belum penuh atau mengalami kesakitan ketika melakukannya.

Apa yang akan berlaku pada saya apabila tibanya menopaus?

Tiada perubahan luar biasa akan berlaku. Adalah penting bagi kita untuk memahami pengalaman ketika menopaus tidak ekslusif dan dialami hampir semua wanita. Keadaan ini boleh diuruskan dengan pertolongan doktor. Bagi sesetengah wanita, perubahan gaya hidup adalah satu-satunya langkah yang diperlukan seperti kawalan berat badan, senaman, meditasi, dan aktiviti riadah seumpamanya. Terdapat wanita yang memerlukan pertolongan perubatan dengan mengambil terapi penggantian hormon (HRT).

HRT adalah regimen atau program perubatan yang mengandungi hormon wanita untuk menggantikan hormon yang tidak lagi dihasilkan oleh badan selepas menopaus. Hormon-hormon yang biasa digunakan adalah estrogen dan progestin. Oleh sebab perubahan kadar hormon dalam badan mengakibatkan simptom-simptom menopaus, HRT sangat efektif dalam meredakan simptom-simptom ini. Sekiranya simptom menopaus anda semakin teruk, anda mungkin mahu berbincang bersama doktor tentang HRT.

Kehidupan selepas menopaus

Kehidupan selepas menopaus akan berjalan seperti biasa. Tiada apa yang menghindari anda dari melakukan perkara yang anda minati sebelumnya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang menjadi lebih ketara dengan menopaus. Osteoporosis, keadaan di mana tulang menjadi lemah dan rapuh, umumnya dihidapi oleh wanita-wanita yang telah menopaus. Begitu juga penyakit jantung, termasuk serangan jantung. Antara komplikasi biasa menopaus adalah penyaki Alzheimer’s yang melibatkan masalah ingatan.

Oleh itu, walaupun anda boleh hidup bebas tanpa kerunsingan, langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mengurangkan atau mengelakkan komplikasi menopaus dengan pengambilan makanan yang seimbang, berhenti merokok, bersenam, dan mengambil langkah-langkah keselamatan ketika menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal.

Dr. Ayu Akida seorang pakar kesihatan awam. Beliau meminati bidang kesihatan keluarga terutamanya kesihatan wanita dan penyakit berjangkit. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemahkan oleh Nur Nadhirah daripada artikel asal (https://www.mmgazette.com/menopause-bye-bye-aunty-flow-dr-ayu-akida/)

Rujukan:

  • CPG: Hormone Therapy During Menopause In Malaysian Women, 2011

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box