“Tiga jari putus akibat main mercun bola”, tajuk berita yang dilaporkan pada 15 April 2022. Ia terjadi pada seorang remaja berusia 14 tahun di Bachok, Kelantan.
Kejadian sebegini bukannya baru berlaku pada musim perayaan ini tetapi telah dilaporkan kerap semenjak lebih kurang lima tahun yang lalu. Selalunya kejadian ini dikaitkan dengan perayaan Hari Raya jika mangsanya berumur dalam lingkungan remaja. Walau bagaimanapun, kecederaan ini juga banyak berlaku di kalangan orang dewasa dan biasanya mercun bola digunakan untuk mengusir haiwan liar yang mengganggu kehidupan penduduk.
Hampir kesemua mangsa mengulas pengalaman mereka yang tidak sempat membaling mercun bola yang telah dipasang sumbunya. Ia boleh menyebabkan kecederaan tangan yang serius dan kadang-kadang melibatkan bahagian muka, mata dan anggota badan yang lain. Kecederaan yang boleh berlaku ialah seperti berikut:
- Luka kulit
- Kecederaan struktur dalaman (urat tendon, urat saraf dan urat darah, kapsul sendi)
- Kepatahan tulang (tulang “phalanx” dan “metacarpal”), sendi terseliuh (“dislocation”)
- Putus jari secara langsung (amputasi)
Rawatan:
Risiko jangkitan kuman adalah tinggi disebabkan kecederaan luka dan isi yang teruk. Jadi, rawatan awal yang paling utama ialah pembersihan luka and luka seharusnya dibalut segera di samping pengambilan ubat antibiotik.
Biasanya, pembedahan juga diperlukan untuk tujuan berikut:
- “Wound debridement”– Pembersihan luka, pembuangan isi yang tercemar dan tidak ada tanda hidup (“Non- viable tissues”)
- “Exploration”– Mencari struktur dalaman yang cedera dan menilai tahap kecederaan mereka
- “Fix & Repair”– Rawatan tulang yang patah, biasanya dengan dawai besi ( wire fixation) dan pembaikian isi dan struktur yang cedera dengan jahitan benang (“suture”)
- “Refashioning” dan “amputation”– Untuk jari yang putus secara langsung, prosedur “refashioning” adalah untuk menutup luka di hujung jari supaya mendapat fungsi dan bentuk jari yang optimum. Untuk jari yang tercedera teruk dan tidak dapat diselamatkan, amputasi akan dilakukan semasa pembedahan.
Penjagaan luka selepas pembedahan perlu dibuat dengan kerap dan teliti untuk mengelakan jangkitan kuman.
Rehabilitasi (fisioterapi dan pemulihan carakerja) juga amat penting untuk mengelakan pembentikan parut yang tebal dan mengekalkan fungsi tangan dalam kegunaan harian.
Pengumpulan Data di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh
Satu kajian yang telah dijalankan di Jabatan Ortopedik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Pengumpulan data dari bulan Januari 2021 sehingga April 2022), seramai 25 pesakit telah dimasukkan ke wad disebabkan kecederaan tangan akibat letupan mercun bola.
65% daripada jumlah pesakit ini mengalami kepatahan tulang jari dan 20% daripada mereka memerlukan pembedahan amputasi (potong) jari disebabkan kecederaan teruk yang tidak dapat diubati. Kebanyakan kecederaan ini adalah pada tangan kanan yang lebih dominan. Ini memberi satu impak yang amat ketara kepada pesakit, terutamanya golongan pemuda yang produktif dan memerlukan fungsi tangan sepenuhnya.
Komen:
Perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana mercun sememangnya merupakan bahan letupan yang haram. Padahal mercun bola ini masih kelihatan dijual secara berleluasa di pasar malam, di laman jualan atas talian (online shopping websites) dengan harga yang murah.
Ibu bapa juga perlu bersikap prihatin dan sentiasa mengawasi perlakuan anak-anak selain mendidik mereka supaya menjauhi daripada kegiatan haram dan merbahaya ini.
Dr Han Chung Sing seorang pakar ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang.
A R Isa 1, H Mo. Fireworks related injuries during Hari Raya festival in Hospital Universiti Sains Malaysia–1986 to 1990. Med J Malaysia 1991 Dec;46(4):333-7.
Ricardo Ortiz,1 Sezai Ozkan,2 Neal C. Chen,2 and Kyle R. Eberlin1. Firework Injuries of the Hand: An Analysis of Treatment and Health Care Utilization. Hand (N Y). 2020 Nov; 15(6): 831–836.
Tan HK, Singh H, Haris MI, Han CS. Demographics of firecracker-induced hand blast injuries in Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS)Temerloh, 2021-2022. Data collection form Medical Records of HoSHAS.