Missy, Saya Nak Merokok Boleh Tak? #SmokeFreeMY – Puan Narima

Sumber: www.themalaysianinsider.com

Sumber: www.themalaysianinsider.com

Tabiat merokok di kalangan pesakit tegar memanglah tidak dapat disangkal lagi. Kalau sudah namanya ketagihan, tempat yang merbahaya seperti di dalam wad, tidak akan mengundang rasa takut dalam diri mereka. Justeru itu apakah kempen yang diwar-warkan oleh kerajaan tidak dapat menghentikan tabiat ini? Tepuk dada tanya selera. Pengalaman yang akan saya kongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman bertugas di wad lelaki psikiatri bermula dari bulan November, 1992. Semestinya ia bukan satu pengalaman yang indah namun sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada saya tentang kesukaran yang dialami oleh pihak hospital untuk menangani masalah yang sudah berkurun berlaku di setiap hospital.

Jika diimbas kembali pengalaman yang saya sendiri pernah lalui, kelihatan lucu kerana tindakan saya yang mengikut darah muda ketika itu tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Bertugas di wad lelaki psikiatri selama tiga tahun sudah cukup bagi saya untuk memahami masalah terbesar yang di hadapi oleh petugas di sini, iaitu pesakit merokok. Untuk dijadikan cerita pada suatu hari semasa melakukan rondaan wad untuk mengira jumlah pesakit, seorang anak muda dalam belasan tahun dengan selambanya menghisap sebatang rokok di hadapan saya. Bila ditanya dari mana beliau mendapat rokok tersebut, beliau hanya tersenyum girang. Saya yang ketika itu amat marah sekali terus menyuruh pesakit itu untuk mematikan rokoknya serta-merta! Bila diselidiki, rupanya rokok tersebut telah dibawa oleh abangnya semasa waktu melawat.

Merokok di dalam hospital bukan saja memudaratkan kesihatan tetapi juga merbahaya untuk pesakit lain. Pesakit psikiatri khususnya merokok jauh lebih banyak dari pesakit yang tidak menghidapi penyakit psikiatri. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa lebih dari 44% semua rokok di Negara itu dihisap oleh perokok yang menghidapi penyakit psikiatri ini. Maka, lebih baik jika mereka ini digalakkan untuk berhenti merokok semasa di dalam wad di mana merokok memang tidak dibenarkan sama sekali.

Antara langkah yang boleh diambil oleh pesakit dan ahli keluarga termasuk membeli ubat gentian merokok semasa pesakit dimasukkan ke wad. Ubatan-ubatan ini boleh menolong menahan gian dari ketagihan nikotin semasa tidak merokok di dalam wad dan membantu untuk memotivasikan pesakit untuk berhenti bila penyakit psikiatri yang dialami reda atau pun pulih. Langkah seterusnya termasuk tidak membawa pesakit keluar untuk merokok jika dibenarkan berbuat demikian i.e. ‘home leave or day leave’. Membantu pesakit untuk merokok walau pun ahli keluarga sendiri merokok adalah sama dengan TIDAK MEMBANTU PESAKIT kerana masalah kesihatan diakibatkan oleh merokok. Langkah ketiga adalah dengan tidak membawa rokok atau pun alatan untuk merokok seperti mancis atau pun pemetik api. Jika pesakit merokok di dalam wad, nyawa pesakit dan mereka yang tinggal bersama juga tidak selamat memandangkan risiko untuk berlaku kebakaran adalah tinggi.

Sebagai rumusan, penguatkuasaan dalam mengenakan denda dan sebagainya di kawasan hospital tidak akan berkesan selagi masih perokok tegar. Cerita di atas adalah tentang pesakit yang merokok di dalam wad, di mana memang pesakit psikiatri tdak dibenarkan keluar wad selagi belum discaj tetapi cerita pesakit yang merokok di tangga-tangga hospital atau kakitangan hospital sendiri yang melakukan sedemikian, sebenarnya mengundang bahaya kepada orang lain. Tindakan kerajaan mengenakan cukai yang tinggi untuk rokok amat dipuji namun harga rokok yang mahal masih tidak mampu menghentikan tabiat buruk ini. Ramai di kalangan jururawat sendiri yang berhadapan dengan masalah pasangan mereka yang merokok. Namun saya percaya dengan usaha kita yang berterusan untuk membantu mereka menghentikan tabiat ini akan menemui kejayaan suatu hari nanti. Bukankah usaha itu tangga kejayaan?

Puan Narima merupakan pengajar jururawat dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Jururawat di Wad Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Puan Narima merupakan ahli NARCC.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box