Molluscum contagiosum adalah penyakit kulit berjangkit bukan kanser yang disebabkan oleh jangkitan virus kumpulan poxvirus. Ia dipindahkan dari seseorang melalui kulit ke kulit dan adalah salah satu penyakit yang biasa dijumpai di klinik kesihatan primer.
Penyakit ini adalah terhad tanpa komplikasi jangka masa panjang walaupun pesakit yang mengalaminya biasanya yang berimuniti rendah;contohnya pesakit HIV atau kencing manis. Ia dapat juga berlaku pada golongan kanak-kanak.
Malangnya, dalam dua dekad ini terdapat semakin banyak kes jangkitan kuman oportunis seperti poxvirus di kalangan pesakit HIV yang tidak terhad, namun mendatangkan komplikasi yang tukar rupa bentuk badan pesakit (disfiguring). Kajian terkini membuktikan bahawa molluscum contagiosum adalah tanda penyakit kulit yang mendatangkan kecurigaan kuat bahawa sesuatu pesakit menghidap penyakit imuniti rendah seperti HIV.
Pesakit yang menghidap jangkitan molluscum contagiosum biasanya adalah tanpa gejala lain. Perubahan ketara kulit adalah fasa pembentukan biji yang bulat, pejal, licin, menonjol dari permukaan kulit, mempunyai pusat berlesung (central umbilication) dan bersaiz antara 3 hingga 5 mm diameter. Untuk pesakit HIV, bijinya adalah lebih besar dari biasa. Kanak-kanak biasaanya dijangkiti dibahagian hujung-hujung anggota badan, tengah badan dan bahagian muka. Penyakit berasal jangkitan seksual pula biasanya muncul pada bahagian abdomen dan kawasan celah alat kelamin.
RAWATAN
Biji-biji molluscum contagiosum biasanya akan hilang tanpa meninggalkan kesan yang kekal. Ia juga dapat dimusnahkan dengan kaedah mekanikal seperti laser, curettage atau prosedur terapi pembekuan cryotherapy yang melibatkan semburan cecair nitrogen atau nitrous oxide. Bahan kimia seperti trichloroacetic acid, Retin-A atau imiquimod juga boleh digunakan.
Prosedur cryotherapy biasanya dilakulan di klinik pakar kulit hospital besar kerajaan atau klinik swasta yang berdaftar. Unuk kanak-kanak, ubat bius setempat krim EMLA akan diletakkan pada kawasan rawatan 15-30 minit sebelum prosedur untuk kurangkan kadar kesakitan sebelum prosedur cryotherapy atau curettage.
Kajian terkini membuktikan bahawa ubat imiquimod, iaitu agen meningkatkan tahap imuniti, dapat mempengaruhi bahan cytokines yang menolong melawan jangkitan virus ini, terutamanya bila terdapat biji-biji banyak yang tidak dapat dimusnahkan dengan kaedah biasa. Imiquimod juga mengurangkan kesan sampingan dan senang diambil oleh pesakit.
Jangkitan molluscum contagiosum yang melibatkan pesakit HIV dan individu berimuniti rendah boleh menjadi sangat teruk dan rawatannya adalah lebih rumit.
Rujukan:
- Fitzpatrick’s Color Atlas and Synopsis of Clinical Dermatology. 6th 2009.
- UpToDateMarch 2019:Molluscum contagiosum
ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN
PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA
(MD. UKM, MMED.(FAMILY MEDICINE) USM)
SPECIAL INTEREST: MEN HEALTHMEDICINE, PRIMARY CARE DERMATOLOGY
DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,
KULLIYYAH OF MEDICINE,
IIUM KUANTAN PAHANG.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]