Demam denggi dan demam denggi berdarah (bentuk yang lebih berbahaya) adalah penyakit virus bawaan nyamuk yang paling meluas dijumpai di dunia dan di Malaysia. Demam denggi suatu penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes. Terdapat empat “serotype” virus ini (DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4) yang boleh menjangkiti masyarakat. Demam denggi merebak melalui gigitan nyamuk Aedes. Tiada ubat atau vaksin untuk denggi.
Pada 30 Januari 2014, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) mengisytihar perang terhadap denggi. Persatuan Integrasi Profesional Perubatan Malaysia (MIMPA), suatu persatuan rasmi yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, diasaskan pada Oktober 2013 oleh presidennya sekarang, Dr. Dhesi Baha Raja akan membantu KKM, dengan pendekatan taktikal untuk mendidik, menyebarluas informasi dan mencegah denggi melalui pembinaan keupayaan berinovasi.
Pasukan bertindak MIMPA bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keparahan situasi denggi di Malaysia, mengilhamkan tindakan mencegah denggi melalui pemerkasaan, pembinaan keupayaan dan menggalakkan seruan menerusi media sosial dan perbualan sehari-hari. Antara isu yang diketengahkan termasuklah bagaimana anggota masyarakat yang tidak menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada gemblengan usaha berpasukan mencegah denggi dan kurangnya pendekatan dalam media sosial dalam mencegah denggi.
Satu cara mengatasi perkara ini ialah dengan menggunakan pendekatan laman web, yakni hab pendidikan dalam talian milik MIMPA, Malaysian Medical Gazette (MMG) www.mmgazette.com yang telah menarik lebih 140,000 pengunjung sejak pelancarannya, kurang dari 5 bulan lalu. MIMPA berharap MMG dapat berperanan sebagai suatu wadah dalam talian yang mudah dicapai untuk menyebarkan maklumat dan apa-apa kemaskini berkenaan kempen denggi tersebut. Dalam masa yang sama, ia masih terus menyiarkan artikel berkaitan kesihatan dan perubatan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam.
Sejak penubuhannya, kehadiran MIMPA dalam media sosial telah dapat dirasai dan aktif dalam pelbagai wadah media sosial. Dalam kempen ini, MIMPA akan menyebarluas tip-tip pencegahan melalui media sosial dengan ‘hashtag’ #MsiaEndsDengue dalam ruang Facebook dan Twitter. Adalah diharap hashtag tersebut berjaya ‘trending’ di kalangan khalayak penggemar media sosial Malaysia dalam pada mereka memupuk rasa tanggungjawab dan kebersamaan dengan usaha aktif terlibat dalam kempen ini.
MIMPA juga akan menghantar sukarelawan Gerak Kilat/Rapid Deployment ke kawasan panas dengan dipandu oleh pakar-pakar Kesihatan Awam dalam penilaian risiko, COMBI dan tindakan berasaskan hasil. Kumpulan pakar perubatan, doktor, pekerja kesihatan dan sukarelawan ini akan bekerja berganding bahu dengan anggota masyarakat, bersama-sama menentang anasir denggi di pusat wabak.
Akhirnya, Khidmat Doktor Udara dan MIMPA dengan usahasama Sabah Air (meliputi Semenanjung dan Malaysia Timur) akan mengutus doktor dan paramedik untuk berbicara tentang penyakit berjangkit, tidak berjangkit dan bawaan vektor di kawasan-kawasan terpencil, yang biasanya tidak tercapai dengan laluan darat, untuk memastikan semua anggota masyarakat – hatta yang mendiami tempat di pedalaman pun – tidak tercicir. Adalah diharap warga Malaysia sedar akan keparahan situasi ini dan pendekatan serampang banyak mata oleh MIMPA ini – di dunia maya dan sebenar – akan bukan sahaja meningkatkan kesedaran malah membuahkan tindakan positif daripada warganegara dalam peperangan kita melawan denggi.
Artikel ini diterjemah dari laman sesawang http://www.mimpa.net/msiaendsdengue-an-initiative-of-moh-mimpa/