Nombor ajaib yang sering disebut sebut untuk menunjukkan kadar kebolehjangkitan COVID-19, iaitu R0atau R-naught, nampaknya semakin meningkat kebelakangan ini. Sebelum PKP dilaksanakan, R0berada pada kadar 3.55. Nilai tersebut menjunam ke 0.3 semasa PKP dan kini telah naik kembali ke 1.36. Ini membimbangkan.
Di mana silapnya? Kenapa kes bertambah sedangkan garis panduan telah dilaksanakan di mana-mana saja?
Mutu pelaksanaan garis panduan perlu dinilai semula. Tidak ada salah pada garis panduan yang telah dinyatakan secara terperinci atas kertas. Malah, garis panduan yang telah diperkenalkan boleh dikatakan lengkap. Namun demikian, perhatikan sahaja cara garis panduan tersebut dilaksanakan. Agak menggusarkan.
Seseorang yang memasuki premis akan diambil nama, nombor telefon dan suhu. Namun demikian, tulisan pada buku rekod tidak ubah seperti cakar ayam. Nombor telefon yang diberikan juga tidak jelas. Oleh itu, tahniah kepada mereka yang telah bersusah-payah menyediakan “cap mohor” sendiri yang bertujuan untuk mempercepatkan proses pendaftaran di premis. Bukan itu saja, kebaikan mempunyai cap nama sendiri dapat mengelakkan kita dari menggunakan pen yang telah disentuh oleh ribuan manusia lain. Kita tidak pasti jika pen tersebut sudah dibersihkan atau tidak.
Pelbagai infografik menarik tentang penggunaan pelitup hidung dan mulut telah disediakan dan dikongsikan secara maya. Namun, kita masih lagi melihat cara pemakaian yang salah. Yang paling nyata, pakai pelitup tetapi tidak menutup hidung. Ada yang pakai pelitup dagu, bukan pelitup hidung dan mulut! Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menyatakan bahawa pelitup mulut dan hidung tidak boleh diletakkan dibiarkan di bahagian dagu atau leher. Kalau kita berbuat demikian, bahagian dalam yang kotor akan mencemari bahagian dagu dan leher. Tindakan tersebut berpotensi memindahkan kuman dari leher kita kepada orang lain dengan menggunakan tangan kita.
Pelitup juga perlu ditukar sentiasa. Jangan dibiarkan lusuh. Jangan dibiarkan kuman terus membiak pada pelitup yang kotor tersebut. Selain pelitup pakai buang, pelitup fabrik juga boleh digunakan. Kelebihannya adalah ia boleh dicuci dan digunakan semula. Apa-apa pun, pastikan pelitup mulut dan hidung ditukar dengan yang bersih sekerap mungkin.
Pelitup hidung dan mulut yang digunakan dengan betul adalah amat penting. Di sebuah pusat kecantikan di Amerika Syarikat, dua pendandan rambut yang telah diuji positif COVID-19 telah mengelak dari menjangkiti 140 pelanggan mereka disebabkan mereka berdua telah menggunakan pelitup hidung dan mulut. Nah, bukankah ini satu amalan yang membawa kebaikan?
Penjarakan sosial bertujuan untuk mengurangkan jangkitan penyakit dari seseorang ke seseorang yang lain melalui titisan cecair yang mengandungi kuman. Jarak 1 meter adalah satu panduan yang diberikan dengan anggapan bahawa titisan cecair yang dihasilkan semasa berbual-bual tidak mudah melepasi jarak 1 meter untuk menjangkiti orang yang terdekat. Namun demikian, semakin jauh jarak sebenarnya semakin elok. Sesetengah negara menggunakan 1.5 meter sebagai panduan penjarakan sosial. Mereka mengambil kira jarak yang jauh untuk titisan cecair bergerak semasa bersin.
Terdapat beberapa premis makan yang tersalah faham dengan penjarakan sosial ini. Kesannya, kita lihat hanya meja makan yang “mengamalkan” penjarakan sosial, bukan empat atau lima orang manusia yang duduk rapat-rapat di meja-meja tersebut.
Jika kita faham dengan konsep penjarakan sosial, kita akan sedaya upaya mengelak dari memasuki premis atau ruang yang sesak dengan manusia. Dalam situasi lain, sekiranya ruang tempat tersebut sempit, kita juga digalakkan untuk tidak masuk ke tempat tersebut walaupun tidak ramai orang. Jika terpaksa, elakkan masa yang terlalu lama dalam ruang sempit tersebut. Ini kerana, tahap pengudaraan adalah kurang baik di ruang yang sempit. Ada kajian awal yang menunjukkan virus boleh berlegar-legar di udara sekitar 8 hingga 14 minit selepas seseorang bercakap. Risiko dijangkiti akan bertambah sekiranya pelitup hidung dan mulut tidak dipakai.
Oleh itu, walaupun kita bangga dengan garis panduan yang menyeluruh, menyentuh segenap aktiviti masyarakat, tiba masanya untuk kita melihat kembali mutu pemakaian garis panduan tersebut sesama kita. Jangan berasa bangga dengan bilangan garis panduan yang dijalankan tetapi hanya menjalankan garis panduan seperti melepaskan batok di tangga. Pisang enak dimakan tetapi, dalam situasi ini, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Dr Helmy Hazmi ialah pakai perubatan masyarakat dengan pengkhususan dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Sekarang beliau bertugas di tempat asalnya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]