Myxoid Cyst: Ketumbuhan di Jari – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

“Doktor, cuba tengok jari makcik ni. Kat sendi ni ada keluar biji-biji kecik ni. Kadang-kadang sakit pulak tu. Tapi makcik masih boleh nak bengkok jari makcik ni. Nak genggam pun boleh. Apa benda ni doktor?” Doktor Fawwaz yang bertugas di Klinik Ortopedik pagi itu tersenyum memandang wanita yang berusia 60-an itu.

“Meh saya periksa tangan Puan,” katanya sambil menyambut tangan yang dihulur Puan Kiah. Kelihatan ada beberapa ketulan keras pada ruas sendi jari-jari beliau.

Sekali pandang seolah-olah ada cecair di dalam ketulan tersebut.

“Makcik pernah cucuk dengan jarum ni doktor. Keluar air jernih tapi lepas tu ketulan tu naik balik,” kata beliau sambil tersenyum bangga.

Doktor Fawwaz hanya menggeleng kepala. “Nasib baik jari Puan ni tak ada apa-apa tau. Ada kes yang jadi jangkitan kuman pada jari dan terpaksa dibedah tau,” Puan Kiah terlopong.

 

 

Apakah Myxoid Cyst?

Myxoid cyst adalah ketumbuhan kecil dan berkilat yang biasanya terbentuk pada ruas jari tangan atau jari kaki berhampiran dengan kuku. Ia juga dipanggil digital mucous cyst atau mucous pseudocyst.

Dalam kebanyakan kes, ia tidak memberi sebarang simptom kepada pesakit. Namun begitu, segelintir pesakit mengalami kesakitan pada ruas jari yang terlibat.

Cecair di dalamnya berwarna jernih kekuningan. Sekiranya cecair ini dikeluarkan, ia adalah cecair yang melekit dan tebal.

 

 

Punca dan Risiko

Punca sebenar Myxoid cyst masih tidak diketahui dengan pasti namun ia dikaitkan dengan kondisi Osteoarthritis iaitu masalah kerosakan ruas sendi tangan akibat proses penuaan atau keradangan.

Ia lebih kerap berlaku pada wanita, golongan warga emas. Majoriti kes melibatkan ruas sendi tangan.

SIMPTOM

Sumber gambar: healthline.com

Pesakit biasanya datang dengan bonjolan pada bahagian sendi jari tangan. Dalam kes yang kronik, sendi jari telah pun membengkok.  Pada peringkat awal, majoriti pesakit tidak mempunyai sebarang aduan. Namun, ia mungkin menyebabkan kesakitan apabila ditekan. Ia boleh melibatkan mana-mana ruas jari tangan. Pergelangan dan bahagian tapak tangan biasanya tidak terlibat.

PEMERIKSAAN DAN DIAGNOSIS

Pemeriksaan bahagian yang terlibat menunjukkan bonjolan tulang pada ruas sendi yang terlibat. Ia kelihatan berkilat dan mengandungi cecair. Ia kadangkala sakit sekiranya ditekan (palpation). Pergerakan sendi pesakit biasanya tidak terbatas melainkan sendi jari tersebut telah membengkok.

X-RAY

X-ray akan dilakukan bagi melihat keadaan tulang dan sendi pada bahagian yang terlibat. Kebiasaannya ia akan menunjukkan kewujudan tulang baharu atau osteophytes berhampiran sendi dan juga ruang sendi yang sempit.

RAWATAN

Rawatan bagi myxoid cyst adalah bergantung kepada tahap kondisi yang dialami dan ekspektasi pesakit. Harus diingat, myxoid cyst ini boleh berulang kembali setelah ia sembuh.

  1. Pemerhatian – sekiranya ia tidak memberi sebagai masalah, pemerhatian kepada kondisi adalah memadai. Ada juga ketulan yang mengecil dan hilang sendiri tanpa rawatan. Temujanji seterusnya akan diberi kepada pesakit sekiranya perlu.
  2. Aspiration atau pembedahan kecil – Cecair boleh dikeluarkan dengan menggunakan jarum atau secara pembedahan kecil.
  3. Pembekuan menggunakan cecair liquid nitrogen (cryotherapy)
  4. Suntikan steroid bagi mengecilkan ketulan
  5. Curretage iaitu pembedahan kecil bagi mengorek permukaan cyst pada jari
  6. Pembedahan bagi membuang myxoid cyst sepenuhnya
  7. Cauterization iaitu membakar cyst dengan menggunakan diarthermy.

 

DIAGNOSIS LAIN SEKIRANYA TERDAPAT KETULAN PADA TANGAN

Terdapat beberapa kondisi lain yang boleh menyebabkan timbulnya benjolan pada sendi tangan, tapak tangan dan pergelangan tangan. Antara kondisi tersebut adalah:

  1. Herbedens nodes – ketulan yang disebabkan pembetukan osteophyte (tulang kecil) dalam kondisi Osteoarthritis.
  2. Gouty tophi – ketulan yang terbentuk pada pesakit Gout. Ia mengandungi cecair berwarna putih seakan-akan kapur.
  3. Ketumbuhan bukan kanser seperti Giant cell tumor (GCT), ganglion cyst, sebacous cyst, tendon sheath tumor dan hemangioma

 

Pemeriksaan doktor adalah perlu bagi memastikan diagnosis yang tepat dan rawatan dapat diberikan kepada anda. Bukan semua kondisi ini memerlukan pembedahan.

 

Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Pakar Ortopedik,

HOSHAS Temerloh, Pahang

(Penasihat The Malaysian Medical Gazette)

RUJUKAN

  1. Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009; page 563
  2. Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller. Saunders Elsevier. page 509
  3. http://www.emedicine.com/derm/topic-100.htm
  4. http://www.healthline.com/health/myxoid-cyst
  5. http://www.bad.org.uk/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box