“Berilah peluang lagi, saya tidak tahu” “Saya jual sedikit sahaja” “Kenapa tidak tangkap yang jual di Chow Kit?”
Saya sering kali menerima komen tersebut semasa pemeriksaan di kedai ubat tradisional, kiosk pusat membeli belah dan gerai di pasar. Tetapi pada saya, ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi atau produk dicampuri racun bukan sekadar beg tangan atau DVD cetak rompak.
“Berilah peluang lagi, saya tidak tahu”
“Tidak tahu” sebenarnya bukan alasan yang kukuh. Bolehkah anda memberitahu pelanggan anda bahawa anda tidak tahu yang kuih atau makanan yang dijual telah tamat tarikh luputnya, telah basi atau ada lipas di dalamnya? Sebelum menaiki kapal terbang, apabila didapati bahawa beg yang kita bawa mengandungi heroin atau dadah terlarang, bolehkah kita memberitahu pegawai pemeriksa bahawa perkara ini di luar pengetahuan kita dan kita tidak bersalah?
Sebagai peniaga, kita bertanggungjawab terhadap produk yang kita miliki dan jual, lebih-lebih lagi produk yang dimakan. Produk-produk tersebut sepatutnya selamat, berkualiti dan berkesan. Kita perlu memastikan pelanggan kita tidak mengalami kesan buruk setelah menggunakan produk yang kita jual. Kita juga perlu mengambil tahu bahawa menjual atau memiliki ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk dicampuri racun adalah salah di sisi undang-undang. “Tidak tahu” tidak boleh diterima sebagai alasan!
“Saya jual sedikit sahaja”
Seseorang boleh mati hanya disebabkan sebiji tablet produk tidak berdaftar. Ini adalah kerana setiap individu adalah berbeza dari segi genetiknya. Sebagai contoh perokok. Seorang yang merokok lebih 2 kotak sehari selama 30 tahun tidak menghidap penyakit peparu ataupun kanser peparu. Sebaliknya seorang yang merokok beberapa batang rokok sehari selama 10 tahun menghidap kanser peparu.
Kenapa? Mungkin disebabkan genetik orang tersebut, keadaan sekelilingnya dan amalan hidupnya. Maka kita tidak boleh menganggap bahawa kita hanya akan mengalami kesan buruk produk tidak berdaftar apabila diambil dalam kuantiti yang banyak dan berpanjangan. Jikalau kita tidak bernasib baik, kuantiti yang sedikit dan dalam jangka masa singkat pun padah akibatnya. Yang buruk tetap buruk, tidak kira banyak ataupun sedikit!
“Kenapa tidak tangkap yang jual di Chow Kit?”
Pihak Penguatkuasa Farmasi sentiasa menjalankan pemeriksaan, risikan dan serbuan dari semasa ke semasa. Jikalau mereka tidak ditangkap sekarang, tidak bermaksud pihak Penguatkuasa Farmasi berpejam mata. Kemungkinan maklumat risikan sedang dikumpul supaya serbuan yang berjaya dapat dilakukan dan bukti yang diperolehi mencukupi untuk mendakwa mereka di mahkamah.
Orang yang buat salah, janganlah kita ikut pula. Hanya disebabkan seseorang peniaga/ pembekal tidak ditangkap sekarang, janganlah kita pula mengikuti jejaknya untuk menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.
Pihak Penguatkuasa Farmasi sangat memerlukan dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mendapati ada peniaga/ pembekal yang menjual produk yang salah di sisi undang-undang. Maklumat peribadi penyalur maklumat tersebut akan dirahsiakan.
Peniaga dan pekedai pula sepatutnya lebih mengambil berat dan bertanggungjawab kerana ramai yang telah mengalami komplikasi kesihatan setelah mengambil produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.
Sebagai pengguna pula, perlulah lebih berhati-hati dan peka terhadap semua produk yang dibeli supaya berdaftar serta bernotifikasi.
Mengapa perlu menggunakan produk berdaftar dan kosmetik bernotifikasi?
Ini adalah disebabkan produk yang berdaftar dan bernotifikasi akan dijalankan penilaian untuk memastikannya berkualiti dan selamat digunakan oleh orang awam. Semua produk ubat termasuklah suplemen kesihatan dan persediaan tradisional perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia.
Bagaimana cara untuk mengenalpasti produk itu berdaftar atau bernotifikasi?
Setiap produk yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai 2 ciri utama, iaitu nombor pendaftaran MAL dan pelekat hologram Meditag yang tulen. Nombor pendaftaran lazimnya dimulakan dengan ‘MAL’, diikuti dengan 8 nombor, dan diakhiri dengan huruf.
Walau bagaimanapun, terdapat juga produk dan kosmetik dengan nombor pendaftaran dan hologram palsu di pasaran. Oleh itu untuk menyemak kesahihan produk berdaftar dan kosmetik bernofitikasi tersebut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di www.bpfk.gov.my atau http://www.pharmacy.gov.my . Klik pada ‘Registered Product Search’ (Quest 2 & Quest 3) dan masukkan butir-butir produk untuk memulakan pengesahan status pendaftaran produk. Untuk menyemak ketulenan pelekat hologram pula, gunakan dekoder Meditag yang terdapat di farmasi berhampiran.
Ingatlah semua, “Nak Selamat, Gunalah Ubat Berdaftar!”
Anthony Soh adalah seorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi yang bertugas di Melaka.
Rujukan:
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]