Nanti Buah Pinggang Saya Rosak! – Dr Aneesa Abdul Rashid

Sumber: www.wisegeek.com

Sumber: www.wisegeek.com

Sebagai seorang pegawai perubatan yang bekerja di klinik, saya seringkali berhadapan dengan situasi sebegini. Senario ini tidak asing bagi kami yang berhadapan dengan pesakit terutamanya pesakit kronik/ penyakit tidak berjangkit.

Pesakit kronik/ penyakit tidak berjangkit ( NCD)

Penyakit ini lazimnya terdiri daripada 3 penyakit utama iaitu:

  1. Darah tinggi
  2. Kencing manis
  3. Kolesterol

Ketiga-tiga penyakit di atas mempunyai kadar peratusan yang tinggi di negara ini.

  1. Darah tinggi (43.5 %- umur lebih 30)
  2. Kencing manis (21%)
  3. Berat badan berlebihan dan obesiti (44%)

Sebenarnya apa yang membahayakan pesakit adalah pembunuh dalam diam iaitu kesan jangka masa panjang penyakit yang tidak terkawal. Ia merupakan risiko kepada penyakit seperti strok, penyakit jantung dan buah pinggang.

Penyakit tidak berjangkit dan komplikasi

Apabila badan berhadapan dengan penyakit kronik, pembuluh darah akan menebal dan saluran darah akan cenderung untuk tersumbat. Apabila ia tersumbat,  ia akan menghalang peredaran darah ke anggota-anggota penting badan seperti otak, jantung, buah pinggang dan saraf-saraf.

Oleh disebabkan perkara di atas, doktor akan memberikan ubat kepada pesakit untuk mengembalikan fisiologi pesakit kepada paras normal. Dengan ini risiko komplikasi seperti strok, serangan jantung dan kerosakan buah pinggang akan berkurangan.

Sumber: sites.tufts.edu

Sumber: sites.tufts.edu

Ubat penyebab rosak buah pinggang?

Sebelum sesuatu ubatan dipasarkan, pelbagai ujikaji yg telah dijalankan untuk memastikan kualiti dan keselamatan ubatan tersebut. Malah, terdapat banyak garis panduan untuk dirujuk oleh para profesional kesihatan berkenaan sesuatu penyakit dan ubatnya.

Ujikaji dan garis panduan ini akan dikawal oleh agensi dan persatuan-persatuan profesional di seluruh dunia.

Selain itu, pesakit akan menjalani ujian darah dan ujian klinikal yang lain bagi memastikan tahap kesihatan dan perkembangan organ-organ dalaman. Ini adalah tujuan untuk memantau dan menjaga organ-organ tersebut.

Namun begitu, ada beberapa ubat yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Selalunya ubatan ini adalah ubat yg diambil sendiri oleh pesakit tanpa pengetahuan doktor. Ubat yang dimaksudkan adalah seperti ubat tahan sakit (NSAIDs) dalam kuantiti yg banyak, ubatan tradisional, herba dan rawatan alternatif yang mungkin bercampur atau mengandungi bahan yang merosakkan buah pinggang. Senario yang biasa adalah pesakit akan mengambil ubatan sendiri atau bertukar tukar doktor tanpa pemantauan yang teratur seperti pesakit pesakit kronik.

Makan ubat sahaja, boleh elakkan komplikasi?

Sebenarnya, gaya hidup sihat merupakan faktor yang paling penting. Amalan pemakanan yang sihat adalah sangat kritikal bagi menjamin kesihatan seorang pesakit.

Pemakanan untuk pesakit darah tinggi seharusnya kurang masin. Garam yang disyorkan adalah bersamaan 1 1/4 sudu kecil sehari sahaja. Elakkan makanan sampingan seperti jeruk, kicap, sos tomato dan cili.

Manakala bagi pesakit kencing manis adalah kadar gula yang kurang. Bukan tidak langsung makan nasi misalnya. Makan dalam kuantiti yang kecil dan kerap. Pastikan ada sarapan pagi (8am), minum pagi (10am), makan tengahari (1pm), minum petang (4pm) mkn malam (7 mlm), dan sebelum tidur (10mlm).

Separuh pinggan sayuran, satu suku lauk dan suku lagi nasi. Elakkan minuman manis seperti kopi pracampur dan banyakkn minum air kosong. Bagi pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi pula, elakkan makanan yang digoreng dan berminyak. Lebihkan sup, dan makanan bakar atau stim.

Senaman pula digalakkan selang sehari selama 30min. Contoh aktiviti adalah seperti berjalan laju, berbasikal, badminton dan basuh baju yang banyak.

Jadi, bagaimana hendak memastikan buah pinggang selamat?

Senang sahaja. Ambil ubat yang diperskripsikan, ikut nasihat para profesional, ambil darah bila perlu, ikuti gaya hidup sihat dan jangan lupa datang temu janji.

Dr Aneesa Pakar Perubatan Keluarga dan pensyarah di Universiti Putra Malaysia yang sangat mementingkan pendidikan pesakit. Beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawan dan program komuniti.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • CPG DM, CPG HPT, NHMS 2011

2 comments for “Nanti Buah Pinggang Saya Rosak! – Dr Aneesa Abdul Rashid

  1. bandit
    February 26, 2014 at 1:12 am

    sy mkn tramadol 50mg 2 kali sehari yg telah diprekripsikn kepada sy..bahaya x untuk buah pinggang sy…pemahaman sy tramadol adalah sejenis ubat tahan sakit…

    • March 15, 2014 at 1:14 pm

      Saya dulu seorang pesakit nefrotik sindrom. Pernah makan prednisolone, walaupun ubat ni membantu, tetapi kesan sampingannya juga banyak.

      Berdasarkan pengalaman saya, ubat tahan sakit memang boleh merosakkan buah pinggang jika diambil untuk jangka masa panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box