Amirah merupakan seorang kerani akaun di sebuah syarikat swasta. Dia baru sahaja kembali dari cuti bersalin selama tiga bulan. Seperti ibu-ibu lain sepertinya, kembali bekerja dari cuti yang panjang adalah cabaran yang cukup besar buatnya. Perasaaan berbelah bahagi meninggalkan bayi di rumah pengasuh menambahkan lagi kesukaran yang harus ditempuhi.
Apa yang lebih menduga Amirah ialah apabila dia mendapati yang sekembalinya ke tempat kerja, dia telah ditukarkan ke unit baru di syarikat tersebut. Amirah agak kurang selesa di unit baru ini kerana beliau tidak biasa dengan sistem kerja yang baru disamping tidak mempunyai ramai kenalan di unit ini. Beliau mengambil banyak masa dalam menyiapkan tugasan yang diberikan serta beberapa kali melakukan kesilapan teknikal yang menganggu kelancaran projek syarikat.
Amirah pernah beberapa kali berkecil hati dengan beberapa rakan sekerja yang memberi komen sinis terhadapnya berikutan keengganan Amirah untuk bekerja lebih waktu menyiapkan urusan. Akibatnya, dalam tempoh sebulan, prestasi kerja Amirah semakin merosot. Dia mula hilang minat untuk bekerja dan beberapa kali terpaksa mengambil cuti tahunan untuk merehatkan diri. Beberapa kali dia menyembunyikan diri di tandas pejabat kerana menangis seorang diri. Semakin hari Amirah makin nekad untuk berhenti kerja. Namun pilihan ini terlalu sukar buat Aina kerana bebanan kewangan keluarganya memerlukan dia bekerja bagi menampung pendapatan suami yang mencukupi buatnya sekeluarga. Akhirnya dia terperangkap dalam dunia yang dia tidak inginkan selama lima hari seminggu, lapan jam setiap hari.
Amirah bukan watak sebenar, ia sekadar watak rekaan tentang realiti kehidupan seseorang yang mengalami tekanan psikologi di tempat kerja. Apa yang pasti, Amirah bukan keseorangan. World Federation Mental Health (WFMH) melaporkan bahawa 1 daripada 5 pekerja mengalami tekanan di tempat kerja. Sementara 10 peratus daripada pekerja dilaporkan pernah mengambil cuti bekerja akibat mengalami kemurungan.
Apa yang turut membimbangkan, impak tekanan psikologi di tempat kerja bersifat menyeluruh dan berpanjangan. Ia bukan sahaja mengurangkan produktiviti dan memberikan kos tambahan kepada majikan, malah ia turut meningkatkan kadar kemalangan di tempat kerja. Lebih malang lagi, pekerja yang mengalami tekanan psikologi ini berhadapan risiko pelbagai masalah kesihatan mental yang serius seperti kemurungan, bunuh diri dan ketagihan dadah dan alkohol. Turut merisaukan kita adalah kadar mereka yang mendapatkan rawatan dan bantuan profesional juga masih rendah berikutan halangan seperti stigma, majikan yang tidak menyokong serta capaian yang tidak menyeluruh terhadap perkhidmatan profesional seperti kaunseling, psikologi dan rawatan pakar psikiatri di sesetengah lokaliti.
Sudah tentu tidak ada penyelesaian mudah bagi kes-kes seperti yang dialami oleh Amirah ini. Penyelesaiannya juga tidak terletak pada tangan Amirah seorang. Tempat kerja adalah suatu unit yang merangkumi pelbagai interaksi antara individu dalam konteks ruang fizikal yang di kongsi bersama. Setiap ahli dalam unit ini sudah tentu berperanan dalam memastikan drama kehidupan Amirah ini tidak berakhir dengan tragedi. Apa yang semua pihak boleh lakukan dalam situasi seperti ini?
Pekerja
- Berterus terang dengan majikan dan rakan sekerja apabila berhadapan dengan situasi yang menganggu emosi dan psikologi.
- Dapatkan nasihat dan panduan dari pihak yang boleh memberi panduan sekiranya melibatkan aspek tertentu dalam pekerjaan.
- Amalkan teknik relaksasi dan pastikan anda mempunyai kaedah yang positif dalam mengurangkan tekanan seperti bersukan, memasak dan sebagainya.
- Pastikan keseimbangan hidup terjaga, terutama selepas waktu bekerja. Jangan biarkan masalah di tempat kerja berjangkit ke dalam kehidupan luar kerjaya.
- Prioritikan masa dan urusan mengikut keperluan. Dapatkan bantuan sekiranya anda merasakan tidak dapat menghadapinya sendirian.
- Bina jaringan sosial yang positif di tempat kerja.
- Ambil masa cuti yang diperuntukan untuk mengalihkan perhatian dari masalah di tempat kerja.
- Dapatkan kemahiran baru untuk memperbaiki kedudukan kerjaya.
- Libatkan diri dalam aktiviti sosial seperti sukarelawan di luar waktu kerja.
- Sekiranya tidak mampu, terokai peluang untuk bekerja di tempat lain.
Rakan sekerja
- Ambil tahu keadaan emosi rakan sekerja dengan bertanya khabar.
- Mendengar dengan empati masalah yang dialami. Biarpun anda tidak dapat menyelesaikan masalah mereka, mendengar dengan prihatin mampu mengurangkan bebanan emosi mereka.
- Jaga kaedah anda berkomunikasi di tempat kerja, terutama kepada yang sedang mengalami tekanan.
- Beri nasihat dan panduan serta berkongsi kemahiran yang anda miliki untuk membantu rakan.
- Tingkatkan kesedaran tentang masalah tekanan psikologi di tempat kerja anda.
- Galakkan mereka mendapatkan rawatan dan bantuan dari profesional.
- Jauhi stigma dan diskriminasi seperti cemuhan dan gurauan yang menghina.
- Tawarkan bantuan untuk mengurangkan bebanan. Pada ketika yang lain, mungkin anda pula yang memerlukannya.
- Jangan beri nasihat yang tidak membantu seperti mengajar cara melawan majikan, teknik menipu majikan dan sebagainya.
- Tawar diri menjadi orang tengah sekiranya berlaku konflik antara individu-individu di tempat kerja.
Majikan
- Hargai pekerja anda sekalipun dengan kata-kata pujian yang ringkas.
- Bina budaya kerja yang saling menyokong dan melengkapi.
- Kenalpasti tanda-tanda awal bebanan dan tekanan psikologi di kalangan pekerja.
- Hormati prinsip dan pilihan pekerja terutama dalam hal berkaitan dengan kehidupan mereka.
- Bina jaringan positif di kalangan pekerja dan majikan.
- Sediakan aktiviti sosial seperti program kemasyarakatan untuk pekerja beraktiviti bersama disamping mengalihkan perhatian dari masalah di tempat kerja.
- Rujuk pekerja yang berhadapan dengan tekanan untuk mendapat bantuan profesional.
- Sediakan fasiliti berehat di tempat kerja.
- Cegah dan kenalpasti budaya buli di kalangan pekerja.
- Tingkatkan kesedaran warga kerja tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental.
Tekanan di tempat kerja bukan sekadar kisah Amirah semata-mata. Anda mungkin mengalami sendiri apa yang Amirah lalui, mengenali rakan sekerja seperti Amirah ataupun mempunyai pekerja seperti Amirah. Ambil langah yang sewajarnya kerana setiap tindakan adalah berharga.
Dr Rozanizam Zakaria
Pensyarah dan Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]