Optimumkan Rawatan Hipertensi – Sharini Binti Sha’ari (Pegawai Farmasi)

Kajian National Health and Morbidity Survey (NHMS) bagi penyakit tidak berjangkit pada 2019 menunjukkan bahawa 3 dalam 10 orang (bersamaan 6.4 juta orang) rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi. Kajian ini juga menunjukkan risiko menghidap hipertensi meningkat dengan usia.

Garis panduan Amalan Klinikal yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2018 mendefinisikan hipertensi sebagai keadaan apabila tekanan darah seseorang melebihi paras normal. Secara lebih tepat, hipertensi berlaku apabila tekanan darah sistolik mencapai atau lebih tinggi daripada 140 mmHg dan tekanan darah diastolik mencapai atau melebihi 90 mmHg untuk sekurang-kurangnya dua kali bacaan.

Hipertensi yang tidak terkawal meningkatkan risiko berlakunya komplikasi seperti masalah kardiovaskular, angin ahmar dan kerosakan buah pinggang. Oleh yang demikian, pesakit hipertensi perlu dirawat secara optimum dan dinilai secara individu mengikut keadaan kesihatan semasa setiap pesakit.

Kenali ubat-ubatan untuk rawatan hipertensi.

Secara umumnya, ubat-ubat hipertensi bertindak dengan mengawal tekanan darah agar sentiasa berada dalam paras normal. Ubat-ubatan ini perlu diambil secara berterusan dan tidak boleh dihentikan tanpa nasihat daripada doktor yang merawat.

Berikut merupakan beberapa kumpulan ubat yang digunakan untuk hipertensi:

 

Diuretik

Diuretik bertindak dengan mengurangkan kandungan air dalam badan. Contoh ubat diuretik ialah hydrochlorothiazide, frusemide dan spironolactone.

 

Penghalang reseptor beta (beta blocker).

Secara umumnya, ubat dalam kumpulan ini  bertindak dengan mengurangkan kadar denyutan jantung dan seterusnya menurunkan tekanan darah. Contoh  beta belocker ialah metoprolol, bisoprolol dan propranolol.

 

Penghalang saluran kalsium (calcium channel blocker, CCB)

Mekanisme tindakan utama ubat CCB adalah menghalang kemasukan kalsium ke dalam sel pada jantung dan salur darah. Dengan itu, salur darah akan mengembang dan meningkatkan bekalan darah ke jantung. Beban kerja jantung berkurang dan seterusnya menurunkan tekanan darah. Nifedipine, amlodipine, felodipine, diltiazem dan verapamil merupakan contoh ubat CCBs.

 

Perencat enzim penukar angiotensin (Angiotensin-converting enzyme inhibitor, ACEI)

Ubat ACEI merangsang pengembangan salur darah dengan merencat penghasilan angiotensin II. Kesannya, pengaliran darah ke jantung akan meningkat dan mengurangkan beban kerja jantung untuk mengepam darah. Contoh ACEI ialah captopril, perindopril dan ramipril.

 

Penghalang reseptor angiotensin (Angiotensin receptor blocker, ARB)

Ubat ARB bertindak dengan menghalang angiotensin II daripada bergabung dengan reseptornya yang terdapat pada salur darah. Oleh itu, salur darah dapat mengembang dan akhirnya menurunkan tekanan darah. Contoh ubat ARB termasuklah losartan, valsartan dan telmisartan.

Ubat yang diberikan oleh doktor kepada pesakit adalah berdasarkan penilaian secara individu. Status kesihatan pesakit dan tahap hipertensi yang dihidapi merupakan antara faktor yang perlu dipertimbangkan oleh doktor. Selain itu, pesakit juga perlu dipastikan tidak mengalami alahan atau sebarang kontraindikasi terhadap ubat tersebut.

Secara umumnya, pesakit hipertensi tahap pertama akan dirawat dengan terapi tunggal (monotherapy). Pesakit yang didiagnosis menghidap hipertensi tahap dua (dan yang seterusnya) pula kebiasaannya dirawat dengan terapi kombinasi.

 

Panduan untuk menangani kesan sampingan ubat hipertensi.

Kesan sampingan yang dialami oleh pesakit mungkin mempengaruhi kepatuhan pesakit terhadap rawatan. Kesan sampingan ubat yang adalah berbeza mengikut jenis ubat yang diambil oleh pesakit.

Pesakit yang mengambil ubat diuretik akan kerap membuang air kecil. Pesakit dinasihati untuk mengambil ubat ini pada awal pagi agar tidur malam pesakit tidak terganggu akibat kesan sampingan ini.

Ubat ACEI mungkin menyebabkan pesakit mengalami batuk kronik yang kering dan tidak berkahak. Ubat CCB pula mungkin menyebabkan bengkak air, terutamanya pada bahagian kaki pesakit (peripheral edema). Pesakit yang mengambil ubat beta blocker berisiko untuk mendapat kesan sampingan seperti kesukaran untuk tidur, kurang dorongan seks dan sukar bernafas.

Jika kesan sampingan ubat-ubat ini berpanjangan hingga menyebabkan kualiti hidup dan aktiviti harian pesakit terganggu, pesakit hendaklah segera memaklumkannya kepada doktor yang merawat. Doktor akan menilai keadaan pesakit dan memberikan rawatan alternatif yang bersesuaian.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Ditulis oleh,

Sharini Binti Sha’ari

Pegawai Farmasi UF52

Hospital Tuanku Ja’afar Seremban

 

Rujukan

  1. National Health and Morbidity Survey 2019: Non-communicable diseases, healthcare demand, and health literacy; http://iptk.moh.gov.my/images/technical_report/2020/4_Infographic_Booklet_NHMS_2019_-_English.pdf
  2. Clinical Practice Guideline Management of Hypertension (5th edition), Ministry of Health Malaysia, Academy of Medicine of Malaysia, Malaysian Society of Hypertension.
  3. Calcium Channel Blockers Induced Peripheral Edema; Kamala Sangam, Pragathi Devireddy, Venkateswarlu Konuru; International Journal of Pharma Sciences and Research; Vol. 7 No. 6 Jun 201.
  4. https://specialty.mims.com/hypertension/references\
  5. Antihypertensive medications: relative effectiveness and adverse reactions; https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/1976771/
  6. Types of Blood Pressure Medications; https://www.heart.org/en/health-topics/high-blood-pressure/changes-you-can-make-to-manage-high-blood-pressure/types-of-blood-pressure-medications
  7. ACE Inhibitors: Mechanism of Action, Side Effects and Precautions; https://www.news-medical.net/health/ACE-Inhibitors-Mechanism-of-Action-Side-Effects-and-Precautions.aspx#:~:text=ACE%20inhibitors%20work%20by%20interfering,levels%20or%20high%20potassium%20levels.
  8. Angiotensin II Receptor Blockers (ARBs); https://www.medicinenet.com/angiotensin_ii_receptor_blockers/article.htm
  9. Side Effects of High Blood Pressure Medications; https://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/side-effects-high-blood-pressure-medications\

[Artikel ini kepunyaan Malaysian Medical Gazette. Sebarang terbitan semula (dalam atau luar talian) tanpa izin bertulis daripada Malaysian Medical Gazette adalah dilarang.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box