Apa yang biasanya kamu lakukan jika kamu dapati gigi kamu tidak tersusun rapi?
Biasanya pesakit akan melawat doktor gigi untuk perundingan awal. Doktor gigi kemudian akan menentukan sekiranya kamu memerlukan pendakap gigi, lalu merujuk kamu kepada pakar ortodontik. Pakar ortodontik adalah pakar yang merawat susunan gigi yang tidak teratur. Mereka adalah pakar yang berkelayakan dan berpengalaman, bukan ‘pakar’ lulusan Universiti YouTube yang tidak wujud!
Pakar ortodontik memerlukan dua jenis x-ray iaitu orthopantomogram (OPG) dan lateral cephalogram. Acuan gigi atas dan bawah untuk membina model gigi juga akan turut diambil. Berdasarkan x-ray dan model gigi, analisis gigi dan tulang rahang akan dibuat. Gigi kita bukan sahaja perlu tersusun rapi tetapi perlu berada dalam keadaan sekata dengan tulang rahang dan muka. Dengan kata mudah, sekiranya rahang atas kita berada terlalu ke hadapan, rawatan pendakap gigi sahaja tidak akan dapat menyusun dan merawat gigi dengan sempurna. Rahang atas tersebut perlu ditarik ke belakang juga.
Pada tahap ini, pakar ortodontik akan merujuk kamu kepada pakar bedah mulut dan maksilofasial untuk perbincangan lanjut. Antara perkara paling penting dalam pembedahan orthognathic ialah perancangan rawatan yang sempurna. Gambar dari berbagai sudut akan diambil sebagai rujukan. Kemudian, hubungkait di antara rahang atas dan bawah akan direkod menggunakan satu alat yang dipanggil ‘facebow’.
Sebelum pembedahan dilakukan, pembedahan olok-olok pada model gigi akan dilakukan terlebih dahulu. Prosedur ini dilakukan berdasarkan pengiraan yang dibuat melalui x-ray dan facebow. Prosedur ini memerlukan penelitian yang tinggisehingga ke tahap setengah milimeter! Setelah pembedahan olok-olok ini dilakukan dengan sempurna oleh pakar bedah, wafer atau acuan dibuat sebagai panduan untuk pembedahan orthognathic sebenar ke atas pesakit nanti.
Ketika pembedahan, biasanya bahagian rahang yang bermasalan akan dipotong, disusun dan dirapikan dengan skru titanium kepada kedudukan yang baharu. Pembedahan ini dilakukan bawah bius seluruh badan ketika anda tidak sedar. Dengan teknik moden masa kini, anda boleh pulang ke rumah 1-2 hari selepas pembedahan. Proses penyembuhan dan bengkak muka mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk sembuh. Dalam pada itu, anda juga perlu makan makanan lembut selama beberapa minggu selepas pembedahan.
Pembedahan orthognathic dilakukan oleh pakar bedah mulut dan maksilofasial yang terlatih kerana ia memerlukan tahap kemahiran dan ketelitian yang tinggi untuk berjaya. Walaupun pembedahan ini memberi kesan yang drastik terhadap penampilan wajah, kita perlu ingat bahawa tujuan pembedahan ini dilakukan adalah untuk membaiki rahang atas dan bawah, bukan sekadar kosmetik. Ia membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik dengan keupayaan menutup mulut dan menikmati makanan serta saluran pernafasan yang lebih lancar. Sila berjumpa dengan doktor gigi berdekatan sekiranya anda berminat atau perlukan lebih maklumat mengenai pembedahan ini.
Artikel ini diterjemahkan daripada https://www.mmgazette.com/orthognathic-jaw-corrective-surgery-dr-husna-razak/
Link gambar:
http://www.sborthodontics.com/jaw-surgery
Rujukan:
Harris M. and Hunt N. (Eds) Fundamentals of Orthognathic Surgery, (Second Edition), 2008; Imperial College Press, London.
Dr Husna Razak (BDS) (KLE VK) adalah seorang pegawai pergigian yang bertugas di Kuala Lumpur.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]