Osteoartritis Lutut – Dr Ahmad Mahyuddin

Sumber: www.webmd.com

Sumber: www.webmd.com

Osteoartritis lutut merupakan salah satu keadaan biasa yang dialami pesakit-pesakit di klinik ortopedik. Pesakit-pesakit ini akan mengadu kesakitan pada kedua-dua belah lutut dan kadang-kala ada pesakit yang hadir lewat sudah mempunyai kecacatan lutut. Osteoatritis boleh digolongkan sebagai Osteoatritis Primer apabila tiada faktor kejadian awal yang jelas atau Osteoartritis Sekunder apabila terdapat patologi awal pada sendi yang terlibat.

Penyebab

Terdapat pelbagai faktor yang boleh membawa kepada Osteoartritis. Penuaan ialah salah satu sebabnya. Dengan peningkatan umur, rawan akan kehilangan air dan kandungan “proteoglycans” lantas mengurangkan keanjalannya dan menjadikannya lebih lemah. Trauma atau penyakit keradangan pada masa lalu seperti artritis septik dan artritis reumatoid boleh merosakkan rawan artikular dan menyebabkan perkembangan awal Osteoartritis. Kecacatan genetik pada sintesis kolagen jenis II juga dibabitkan dalam perkembangan keadaan ini.

Terdapat empat ciri-ciri patologikal utama pada x-ray pesakit-pesakit yang menghidap Osteoartritis:

  1. Penyempitan ruang sendi
  2. Pembentukan sista subkondral
  3. Skeloris permukaan artikular

Pada peringkat awal, berlakunya pelembutan dan pemfibrilan pada rawan artikular. Kejadian ini diikuti penghuraian progresif bahagian rawan yang membawa kepada pendedahan tulang dibawahnya. Sementara itu, di hujung sendi, terdapat pembentukan osteofit atau beberapa pertumbuhan keluar tulang-tulang kecil. Tulang dibawah rawan yang rosak adalah padat dan sklerotik dan biasanya terdapat satu atau lebih sista yang mengandungi bahan pekat bergelatin sekelilingnya. Perkara ini berlaku akibat pembentukan tulang baru menggantikan kehilangan tulang yang lama disebabkan proses penghuraian.

Tanda-tanda

Pesakit akan selalu mengadu tentang sakit tumpul di sendi yang terlibat dan ianya semakin hari semakin teruk. Biasanya kesakitan ini bertambah dengan menggalas berat serta pergerakan jasmani dan dilegakan dengan rehat. Mereka juga akan merungut tentang kekejangan sendi terutama sekali selepas duduk untuk jangka masa yang lama. Keluhan lain termasuk bengkak pada sendi yang terlibat diikuti kecacatan sekunder pada kontraktur kapsular atau ketidakstabilan sendi. Pada kes-kes yang teruk, pesakit mungkin mengalami penguncian sendi (locked) secara tiba-tiba ketika berjalan disebabkan adanya unsur-unsur longgar. Tanda-tanda paling merunsingkan ialah kesakitan dan kehilangan fungsi pada sendi terlibat yang membataskan aktiviti-aktiviti harian. Simptom-simptom ini boleh menjadi lebih teruk sekiranya pesakit obes yang membawa kepada beban yang lebih tinggi dan stres mekanikal pada bahagian tertentu permukaan artikular (sendi).

Jika diperiksa, mungkin terdapat bengkak, kecacatan, dan penyusutan otot disebabkan masalah jangka masa lama sendi terlibat. Sekiranya pembentukan osteofit berceranggah, permukaan tulang akan menjadi tidak sekata. Julat pergerakan sendi terlibat akan menjadi terhad. Krepitus atau bunyi gersik mungkin boleh dirasakan sepanjang pergerakan sendi tersebut.

Xray

X-ray pada sendi terlibat merupakan pemeriksaan paling asas tetapi sangat berguna untuk menentukan diagnosis. Pemeriksaan ini akan menunjukkan penyempitan ruang sendi, sklerosis pada tulang subkondral, pembentukan sista dan juga pembentukan osteofit disekeliling bahagian tepi sendi.

Pengurusan

Pengurusan osteoatritis bergantung pada sendi yang terlibat, tahap penyakit tersebut, keterukan simptom, umur pesakit, dan keperluan fungsi mereka. Pada peringkat awal penyakit ini, prinsip pengurusan termasuk mengekalkan julat pergerakan dan kekuatan otot, melindungi sendi daripada beban berlebihan, melegakan kesakitan, dan juga perubahan gaya hidup. Rawatan boleh dibahagikan kepada kaedah pembedahan dan tanpa pembedahan.

Rawatan Tanpa Pembedahan

Perubahan gaya hidup

Penurunan berat badan bagi pesakit obes adalah penting untuk mengurangkan beban pada sendi yang menyokong berat badan, terutama sekali sendi lutut. Pemakaian kasut penyerap hentakan turut membantu mengurangkan impak pada sendi penyokong berat badan. Pesakit wajar dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti yang boleh menambah stres pada sendi seperti joging dan berlari. Untuk pesakit-pesakit ini, berenang dan berbasikal merupakan riadah paling sesuai dan selamat buat mereka.

Terapi Fizikal

Terapi ini bertujuan untuk mengekalkan pergerakan sendi dan memperbaik kekuatan otot yang membantu menambah kestabilan sendi.

Melegakan Kesakitan

  1. Meletakkan jaram sejuk atau tuam panas pada sendi terlibat. Ini boleh diulangi beberapa kali sehari.
  2. Analgesia topikal setempat (ubat penghilang kesakitan) juga boleh diberikan.
  3. Analgesik oral (ubat penghilang kesakitan) boleh diberikan berdasarkan tahap kesakitan yang dialami.

Rawatan Pembendahan

  1. Debridmen (pembersihan) sendi melibatkan pembuangan unsur-unsur longgar, tag rawan atau osteopit pengganggu. Kini rawatan ini biasa dijalankan secara atroskopik dan disifatkan sebagai tindakan sementara untuk mengurangkan kesakitan pada sendi terlibat.
  2. Osteotomi (pembedahan tulang) pembetulan bertujuan untuk mengagih semula tekanan beban ke bahagian sendi yang kurang rosak dan boleh melambatkan atau menghentikan perkembangan kerosakan artikular.
  3. Penggantian Lutut Total (Total Knee Replacement) biasanya disyorkan apabila pengurusan tanpa pembedahan gagal. Prosedur ini menjanjikan pembaikan yang bertahan selama 15 tahun atau lebih.

Artrodesis atau cantuman sendi dilakukan untuk menghilangkan kesakitan pada sendi dengan mengorbankan pengerakan sendi. Biasanya ini usaha terakhir.

Rumusan pengurusan Osteoartritis

ost

Keputusan cara pengurusan osteoartritis akan dibuat setelah anda dan doktor anda berbincang mengenainya. Anda tidak perlu hidup dalam kesakitan. Sila datang berjumpa kami sekiranya anda mengalami masalah ini.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team. Rencana ini diterjemahkan daripada rencana asal di https://www.mmgazette.com/osteoarthritis-of-the-knee-dr-ahmad-mahyuddin/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box