Otitis Media: Apa yang Perlu Dibuat untuk Gegendang Telinga Berlubang? – Dr Ahmad Nordin

Berdasarkan kisah benar.

Allysa ialah seorang budak 5 tahun yang normal. Agak malang, dia mengalami ‘upper respiratory tract infection’(URTI) 2 minggu sebelum ini: berhingus, demam dan batuk. Dia semakin sembuh, tetapi mengalami sakit telinga 4 hari lepas.

Sakit ini menjadi semakin teruk dan 2 hari lalu, sakitnya amat melampau. Dia juga mengalami demam panas teruk. Dia menjerit semasa tidur di waktu malam tadi. Kasihan dia.

Baru sahaja dia bertolak ke hospital, ibunya nampak akan lelehan cecair kuning bercampur darah keluar dari telinga kirinya. Menakjubkan, sakit dan demamnya terus hilang. Doktor yang memeriksa mendapati ada lubang di gegendang telinganya.

Apa yang terjadi?

Allysa mengalami episod ‘acute otitis media’. Ia biasanya bermula dengan URTI. Jangkitan ini merebak dari hidung ke telinga. Ini kerana hidung dan telinga bersambung melalui tiub Eustachian.

 

Imej 1: Gambar endoskopi gegendang telinga yang normal

 

Jangkitan ini berkumpul di telinga tengah (ruang di belakang gegendang telinga). Ini yang menyebabkan telinga menjadi sakit, kurang pendengaran dan demam. Lendir yang berkumpul di belakang gegendang telinga ini kadangkala bertukar menjadi nanah. Ini yang menyebabkan sakit telinga yang teramat sangat dan suhu panas medadak dalam kes Allysa.

Kenapa sakit dan demam reda setelah ada cecair dan darah keluar dari telinga?

Nanah di belakang gegendang telinga menyebabkan tekanan meningkat ke atas gegendang telinga. Jika sistem imun badan tidak dapat mengawal jangkitan atau rawatan antibiotik lewat dimulakan, gegendang akan bocor. Apabila ada lubang, nanah bercampur darah akan mengalir keluar dari telinga.

Memandangkan tiada lagi nanah berkumpul, demam dan sakit itu akan hilang.

 

Imej 2: Gegendang telinga yang bocor yang penuh dengan mukus

Apa yang perlu saya lakukan untuk lubang di gegendang telinga saya?

Jika lubang itu kecil dan kering, dan tiada jangkitan susulan – ada kemungkinan lubang itu boleh tutup kembali. Gegendang telinga kanak-kanak biasanya tutup lebih awal kerana kecenderungan untuk sembuh lebih cepat.

Paling penting, telinga perlu kering. Apabila mandi, sila tutup telinga menggunakan bebola kapas kecil yang dicelup sedikit dengan minyak yang tidak sensitif kepada kulit (minyak bayi ialah salah satu jenis minyak yang disarankan). Ramai pesakit yang menyatakan kaedah ini lebih efektif daripada menggunakan alat sumbat telinga yang digunakan semasa berenang (swimming earplugs).

 

Imej 3:

Langkah 1 ambil satu bebola kapas

Langkah 2 koyak sedikit untuk saiz yang sesuai diletakkan di luar salur telinga

Langkah 3 celup atau basahkan sedikit dengan minyak

 

Imej 4: Letakkan bebola kapas yang dibasahkan dengan minyak di luar salur telinga sebelum mandi

 

Jangan guna putik kapas. Ini telah dibincang dengan panjang lebar dalam artikel sebelum ini (https://www.mmgazette.com/berapa-kerap-saya-perlu-membersihkan-telinga-dr-ahmad-nordin/)

Apabila mengalami URTI di masa hadapan atau penyakit lain yang menyebabkan hidung berhingus, sila ambil ubat antihistamin awal. Ini akan mengurangkan hingus dan juga lelehan air di telinga.

Sudah 1 tahun berlalu, tetapi masih ada lubang di gegendang telinga. Apa yang boleh dilakukan?

Anda perlu berjumpa dengan pakar ENT. Jika telinga kekal kering dalam masa tertentu, doktor ENT mungkin akan menyarankan anda untuk pembedahan. Miringoplasti ialah pembedahan untuk meletakkan sejenis graf (tisu kecil dari bahagian badan sendiri tertentu) di atas bahagian gegendang yang bocor. Tujuan utama pembedahan ini ialah untuk menghalang telinga daripada jangkitan berulang jika dibandingkan untuk menambahbaik pendengaran.

 

Imej 5: Gegendang telinga yang bocor dan kering, sesuai untuk pembedahan miringoplasti

Rujukan:

https://www.earq.com/blog/9-ways-to-protect-your-ears

https://www.msdmanuals.com/home/ear,-nose,-and-throat-disorders/middle-ear-disorders/otitis-media-chronic

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box