Panduan Bekerja Dalam Persekitaran Panas – Dr Lim Jac Fang

Beberapa minggu yang lepas sangat mencabar dan ramai bergelut dengan haba dari cuaca yang panas. Lebih-lebih lagi kepada pekerja yang perlu berada di luar dan juga tidak dilindungi sepenuhnya walaupun mereka bekerja di tempat teduh atau di dalam tanpa penyaman udara.

Manusia, secara lumrahnya berdarah panas dan proses biokimia yang berlaku dalam badan berlaku dalam julat suhu yang sangat kecil, seperti enjin kereta; itu sebabnya perubahan pada suhu operasi mengeluarkan isyarat kepada pemandu dan pemandu akan bertindak balas sewajarnya dengan memberhentikan kereta. Tetapi, untuk para pekerja/orang, adakah kita mempunyai isyarat untuk memberitahu bahawa kita beroperasi diluar julat suhu? Jawapannya ialah apabila suhu badan menurun, kita menggeletar dan apabila suhu badan meningkat, kita kenalinya sebagai demam. Seperti contoh kereta tadi, suhu yang tinggi akan menyebabkan enjin gagal atau terbakar; sama juga dengan manusia. Perbezaan suhu yang kecil boleh menyebabkan akibat yang serius pada kesihatan badan.

Badan manusia perlu sentiasa kekal pada suhu teras badan, 36.8 darjah Celcius dan untuk pekerja dan mereka yang bekerja di luar atau terdedah padah suhu yang tinggi, mereka perlu memahami dan mengawal faktor-faktor yang boleh mengubah suhu badan.

 

Stres haba

Stres haba terjadi apabila pekerja terdedah kepada beberapa factor; kombinasi jenis kerja, faktor persekitaran seperti aliran udara dan suhu, kelembapan dan haba sekeliling atau haba sinaran dan kadar pakaian atau kelengkapan perlindungan diri yang perlu digunakan ketika bekerja. Tindak balas badan terhadap perkara-perkara ini dinamakan keterikan haba (heat strain). Pada asasnya, lebih tinggi stres haba, lebih tinggi keterikannya; maksudnya kesihatan badan dan kerja akan terjejas. Badan perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan suhu stabil untuk fungsi dan kesihatan optimum melalui pelbagai cara. Pada 39°C, kita akan berasa panas atau mengalami demam, pada suhu 41°C kita mungkin kehilangan kemampuan untuk berpeluh iaitu salah satu fungsi fisiologikal penting dalam menstabilkan suhu badan dan pada 43°C kerosakan tisu akan bermula pada pelbagai organ dalam badan.

 

Cara badan mengawal suhu dikenali sebagai termoregulasi

Cara termoregulasi berfungsi adalah melalui vasodilasi iaitu meningkatkan aliran darah ke kulit menyebabkan kehilangan haba menerusi kulit. 2 hingga 4 juta kelenjar peluh juga membantu mengawal suhu badan menerusi penyejatan (berpeluh) dan merupakan cara utama mengawal suhu badan dalam kepanasan. Peluh masin kerana air dan elektrolit (garam) yang turut dikeluarkan bersama peluh. ‘Garam’ ini penting bagi pelbagai fungsi dalam badan. Kekejangan otot merupakan salah satu kesan daripada kekurangan garam dalam badan. Berapa banyak garam boleh berkurang ketika bekerja pada hari yang panas? Hampir 15 liter! Jumlah itu bersamaan dengan banyak botol air. Akibat kehilangan air (dehidrasi), fungsi badan dan produktiviti mula gagal. Prestasi mental dan fizikal semakin berkurang, risiko penyakit berkait dengan haba seperti stres haba dan strok haba meningkat. Kehilangan air daripada badan yang tinggi akan mengurangkan isipadu darah dan boleh membawa kepada masalah jantung dan kegagalan organ.

 

Jadi, bolehkah bekerja atau sambung bekerja di persekitaran panas?

Boleh, sekiranya perkara-perkara berikut boleh dilakukan. Penyesuaian iklim iaitu gabungan perubahan perilaku dan fisiologikal yang boleh mengurangkan keterikan yang dibawa oleh perubahan pada persekitaran semula jadi. Para pekerja boleh menyesuaikan diri dengan iklim panas dan meningkatkan tolerasi kepada suhu yang tinggi. Misalnya, pekerja pejabat yang perlu menyelia atau tugas mereka memerlukan mereka berada di persekitaran panas untuk masa tertentu. Pekerja-pekerja ini terdedah kepada persekitaran panas untuk tempoh masa yang pendek pada permulaannya dan ditingkatkan tempoh masa dedahan sehingga mereka telah menyesuaikan diri. Secara purata 7 hingga 10 hari diperlukan untuk penyesuaian iklim di tempat kerja. Pekerja yang sihat akan menyesuaikan diri lebih cepat dari pekerja yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

 

Strok haba

Strok haba merupakah kesan bekerja di tempat panas yang paling bahaya. Strok haba berlaku apabila badan kehilangan upaya mengekalkan suhu teras. Perkara ini membahayakan nyawa dan berlaku apabila suhu badan melebihi 40°C. Di peringkat ini, pekerja dalam bahaya mengalami strok haba. Kulit kering dan panas, suhu badan yang semakin meningkat, pitam dan sawan antara tanda-tanda mangsa mengalami strok haba.

Di tempat kerja, semua pekerja sepatutnya dilatih untuk memberi pertolongan cemas dan mengambil tindakan pantas untuk mengelakkan kematian. Alihkan mangsa ke tempat teduh yang lebih sejuk dan longgarkan pakaian. Penyejukan serta merta boleh dilakukan dengan menyembur atau membasahkan mangsa dengan air sejuk dan menggunakan kipas untuk penyejatan; atau pek ais boleh diletakkan pada anggota badan. Jika mangsa boleh minum, berikan hirupan air sejuk. Panggil pertolongan dan awasi tanda-tanda penting.

 

Letih panas

Walaupun letih panas kurang serius berbanding strok haba dan sebab utamanya kekurangan air, jika tidak diuruskan dengan baik boleh membawa kepada strok haba. Kulit lembap dan melekit, orangnya lemah/lesu, rasa loya dan muntah mungkin berlaku dan mangsa juga mungkin mengalami sakit kepala. Pertolongan cemas untuk diberikan adalah sama seperti untuk strok haba diikuti gantian air yang cukup. Awasi mangsa dan rujuk ke hospital.

 

Sinkop panas

Sinkop panas atau pengsan ialah kesan haba yang paling ringan yang juga disebabkan pengambilan air yang tidak cukup. Apabila lebih banyak bekalan darah disalurkan kepada kulit untuk penyejukan, kurang darah disalurkan ke otak lalu menyebabkan pengsan. Perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan tanpa amaran. Pertolongan cemas biasanya mencukupi.

 

Heat cramps

Kekejangan otot merupakan kesan daripada melakukan kerja berat di tempat panas dan disebabkan oleh ketidakseimbangan elektrolit (garam) yang disebabkan peluh berlebihan. Pengecutan otot anggota kaki biasanya berlaku. Air perlu diminum setiap 15-20 minit dalam persekitaran sebegitu dan pekerja perlu dinasihatkan supaya tidak bergantung kepada rasa haus. Akhir sekali adalah keadaan yang dipanggil ruam panas. Dalam persekitaran yang panas, peluh yang dihasilkan tidak dapat disejat sepenuhnya dan diburukkan lagi oleh liang kulit tersumbat. Penjagaan kulit adalah cara terbaik untuk mengelakkan perkara ini berlaku.

Pemeriksaan haba (thermal surveys) perlu dilakukan apabila pekerja perlu bekerja di tempat panas kerana keadaan ini boleh menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja seperti dijelaskan di atas. Kerja panas perlu dihadkan untuk melindungi kesihatan pekerja daripada terjejas akibat haba.

 

Apa yang boleh dilakukan apabila perlu bekerja di tempat panas?

Kesihatan keseluruhan perlu ditimbangkan ketika pengawasan perubatan. Faktor-faktor yang perlu ditimbang adalah obesiti, perubatan, umur dan tahap penyesuaian iklim kerana boleh menjejaskan kesihatan pekerja. Pengalihan udara yang cukup sama ada semula jadi atau mekanikal perlu digunakan sebanyak mungkin. Latihan pekerja untuk persekitaran panas perlu dilakukan terutama sekali untuk mengatasi kesan haba kepada kesihatan. Tidak lupa juga bekalan air minum yang cukup di tempat kerja yang boleh diperolehi secara percuma.

 

Dr Lim Jac Fang seorang pakar kesihatan dan salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/a-guide-to-working-in-a-hot-environment-dr-lim-jac-fang/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box