Darah Tinggi Pembunuh Senyap
Penyakit darah tinggi tidak mempunyai gejala dan tanda yang ketara. Walau bagaimanapun, darah tinggi yang tidak dikawal boleh menyebabkan komplikasi seperti kerosakan organ seperti jantung, buah pinggang, mata dan serangan strok.
Bolehkah Darah Tinggi Disembuhkan?
Penyakit darah tinggi tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dikawal. Amalan gaya hidup sihat dan terapi ubat-ubatan boleh membantu menurunkan tekanan darah ke paras normal.
Rawatan darah tinggi melibatkan terapi ubat-ubatan sepanjang hayat. Individu yang mengalami masalah darah tinggi perlu mengambil ubat secara berterusan, di samping hadir pada setiap temujanji yang ditetapkan oleh doktor. Pemantauan yang dilakukan semasa temujanji adalah satu keperluan untuk memastikan rawatan yang diterima individu berada di tahap optimum.
Ubat-Ubat Untuk Rawatan Tekanan Darah Tinggi
Terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat masalah darah tinggi. Setiap jenis ubat tersebut berbeza dari segi nama, jenis bahan aktif, dos, cara bertindak, serta kekerapan pengambilan.
Contoh-contoh kumpulan ubat darah tinggi ialah:
Kumpulan ubat | Contoh ubat | Info ubat | Kesan sampingan biasa |
Angiotensin Converting Enzyme (ACE) Inhibitor | · captopril· perindopril· enalapril | Bertindak merencatkan enzim ACE yang meningkatkan tekanan darah Memberikan pelindungan terhadap buah pinggang |
· pening kepala· batuk |
Angiotensin Receptor Blocker (ARB) | · losartan· irbesartan· telmisartan | Bertindak menyekat reseptor angiotensin, sejenis hormon yang meningkatkan tekanan darah. Memberikan pelindungan kepada buah pinggang |
· lemah badan· jantung berdebar |
Calcium channel blocker (CCB) | i. Dihydropyridine Contoh: Amlodipine, Nifedipine, Felodipine ii. Non-dihydropyridine Contoh: Verapamil, diltiazem |
Bertindak dengan mengurangkan denyutan jantung dan mengembangkan diameter salur darah. | · sembelit
· pening kepala · sembelit |
Beta blocker | · Metoprolol· Bisoprolol· Atenolol
· Labetalol |
Bertindak menyekat reseptor beta – mengurangkan kadar denyutan jantung dan menghalang pengecutan salur darah | · lesu· lemah tenaga seksual |
Alpha blocker | · Prazosin· Terazosin·
Individu yang mengambil ubat jenis ini dinasihatkan supaya tidak bangun mendadak dari katil sebaik bangun tidur, sebaliknya duduk di atas katil selama 5-10 minit sebelum bangun.
|
Bertindak menyekat reseptor alpha seterusnya mengurangkan tekanan darah tinggi. | tekanan darah turun mendadak sekiranya beralih posisi daripada keadaan baring kepada berdiri (orthostatic hypotension). |
Diuretic | i. Loop diuretic Contoh: frusemideii. Thiazide diuretic Contoh: hydrochlorothiazide, indapamide iii. Potassium-sparing diuretic
|
Menyingkirkan air berlebihan daripada peredaran darah melalui pengeluaran air kencing. | Individu yang mengambil diuretic dinasihatkan supaya mengambil ubat mereka pada waktu pagi atau sebelum jam 4 petang pada setiap hari. Ini bagi mengelakkan tidur individu tersebut terganggu pada waktu malam kerana diuretic merangsang pengeluaran air kencing. |
Kombinasi dua jenis ubat darah tinggi yang berlainan jenis juga boleh diberi.
Contoh: perindopril + indapamide, irbesartan + hydrochlorothiazide, amiloride + hydrochlorothiazide
Panduan Umum Pengambilan Ubat Darah Tinggi
Setelah individu mula mengambil ubat darah tinggi, doktor akan memeriksa semula tekanan darah secara berkala untuk memastikan tekanan darah turun ke sasaran yang telah ditetapkan. Sila rujuk doktor anda untuk mengetahui nilai-nilai tersebut.
Adalah penting untuk menjalankan ujian tekanan darah secara berkala, untuk memastikan keberkesanan rawatan yang diterima.
Rawatan darah tinggi untuk setiap individu adalah spesifik dari segi jenis ubat dan dos. Setiap individu tidak boleh bertukar-tukar ubat atau berkongsi ubat orang lain sekiranya bekalan ubat sudah habis (e.g. suami yang mempunyai masalah darah tinggi, menggunakan ubat darah tinggi isteri atau sebaliknya).
Kesan sampingan ubat darah tinggi biasanya hanya dialami untuk tempoh singkat sahaja, kebiasaannya dalam tempoh seminggu pertama. Walau bagaimanapun, individu yang dirawat perlu memberitahu doktor/ahli farmasi sekiranya tidak toleran/tidak mampu menahan kesan sampingan tersebut.
Pastikan ubat diambil sepanjang masa, termasuk pada hari temujanji klinik. Pengambilan ubat yang tidak konsisten akan menjadikan bacaan tekanan darah tidak tepat, seterusnya menyukarkan doktor untuk menentukan sama ada perlu menghentikan sesuatu jenis ubat, perlu meningkatkan/menurunkan dos, perlu menambah ubat lain dan sebagainya.
Individu wanita yang sedang menjalani terapi tekanan darah tinggi dan merancang untuk hamil, perlu memberitahu doktor bagi membolehkan penilaian semula dilakukan, sama ada perlu atau tidak ubat darah tinggi sedia ada ditukar kepada jenis lain. Bagi wanita hamil yang mengalami masalah tekanan darah tinggi, ubat darah tinggi yang biasa digunakan ialah labetalol, methyldopa dan nifedipine.
Mencapai Sasaran Tekanan Darah Melalui Rawatan Ubat & Gaya Hidup Sihat
Walaupun terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan untuk merawat masalah tekanan darah tinggi, amalan gaya hidup sihat juga penting untuk memastikan individu yang menjalani rawatan berjaya mencapai sasaran tekanan darah yang ditetapkan. Pengurangan makanan berlemak, berminyak, bergaram (termasuk monosodium glutamate) serta memperbanyakkan makanan berserat merupakan ciri pemakanan yang sesuai untuk individu yang menghidap darah tinggi. Aktiviti fizikal seperti senaman dan aktiviti yang membantu menurunkan berat badan juga mampu menurunkan tekanan darah.
Pendek kata, terapi ubat-ubatan perlu seiring dengan amalan gaya hidup sihat bagi memastikan tekanan darah terkawal, seterusnya mengelakkan komplikasi akibat tekanan darah tinggi.
Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia. Artikel ini ditulis sempena Hari Tekanan Darah Tinggi Sedunia.
Rujukan:
- Malaysian Society Of Hypertension, Ministry Of Health & Academy Of Medicine Of Malaysia (2014) Clinical Practice Guideline Management Of Hypertension 4th Edition. Retrieved 2016, Apr 25.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]