Panduan pengurusan ubat untuk perjalanan jauh – Ezzatul Raihah Pauzzi (Pegawai Farmasi)

Menjelang musim perayaan tidak lama lagi, sebilangan besar individu sudah tentu telah mula merancang persiapan untuk melakukan perjalanan jauh, misalnya untuk pulang ke kampung atau bercuti bersama-sama keluarga. Selain keperluan biasa yang perlu dirancang sebaik mungkin, sesetengah kumpulan individu sebenarnya harus juga menitikberatkan perancangan berkaitan pengurusan ubat-ubatan. Perkara ini penting, khususnya kepada pesakit kronik yang perlu mengambil ubat secara berterusan untuk mengawal keadaan penyakit yang dihidapi.

Pengurusan ubat-ubatan untuk kegunaan semasa dalam perjalanan jauh adalah penting untuk memastikan ubat-ubatan tersebut dibawa dengan cara yang betul dan selamat. Sekiranya diurus dengan baik, isu kerosakan ubat-ubatan dapat dielakkan dan keberkesannya juga masih dapat dikekalkan. Selain itu, langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko kesilapan pengubatan. Pada masa yang sama, pengurusan ubat yang baik membolehkan perjalanan yang telah dirancang berjalan dengan lancar.

 

Tip umum pengurusan ubat untuk perjalanan jauh

Pengurusan ubat untuk perjalanan jauh bermula dari persediaan sebelum perjalanan, semasa dalam perjalanan dan setibanya di destinasi yang dituju.

  • Sebelum memulakan perjalanan

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kuantiti ubat yang dibawa adalah mencukupi. Pesakit disarankan untuk membawa ubat bagi kegunaan sepanjang tempoh perjalanan dan seminggu selepas itu. Cara ini dapat mengelakkan masalah terputus bekalan ubat sekiranya berlaku tempoh perjalanan terpaksa dilanjutkan. Tarikh luput setiap ubat juga harus diperiksa untuk memastikan ubat yang dibawa masih boleh digunakan.

Ubat hendaklah disimpan di dalam bekas asal bersama-sama label ubat kerana maklumat penting seperti dos, cara pengambilan dan kaedah penyimpanan tertera di situ. Cara ini juga dapat memudahkan ubat dikenal pasti oleh pihak kastam di pintu keluar masuk sempadan negara.

Selain ubat-ubatan untuk penyakit kronik yang dihidapi, orang awam juga disaran membawa bekalan ubat-ubatan untuk sakit-sakit ringan seperti demam, sakit kepala, selesema, batuk, luka, gastrik, alahan kulit, cirit-birit dan beberapa lagi. Ubat-ubatan ini boleh dibeli atas nasihat ahli farmasi di kedai farmasi tanpa memerlukan preskripsi. Bukan itu sahaja, pesakit juga digalakkan untuk mendapatkan nasihat berkaitan dos, masa dan cara pengambilan bagi memastikan ubat-ubatan tersebut dapat diambil dengan cara yang betul.

Pastikan juga rekod perubatan peribadi seperti laporan kesihatan, kad alahan ubat dan salinan preskripsi dibawa bersama-sama. Rekod ini penting untuk dijadikan rujukan sekiranya berlaku kecemasan.

  • Semasa dalam perjalanan

Sepanjang perjalanan, ubat hendaklah disimpan di tempat yang kering dan jauh daripada sumber haba atau cahaya matahari. Sekiranya menaiki kenderaan darat, seperti kereta, van atau bas, ubat tidak seharusnya disimpan di dalam ruang penyimpanan bagasi. Bawa ubat bersama-sama di dalam kenderaan tersebut. Pesakit harus memastikan ubat tidak ditinggalkan di dalam kenderaan ketika berhenti di hentian rehat dan rawat. Hal ini demikian kerana ketika cuaca panas, suhu di dalam kenderaan tersebut boleh mencecah hingga 50°C dan berisiko merosakkan ubat.

Jika menaiki pesawat, pastikan semua ubat disimpan di dalam bagasi tangan agar mudah diambil tepat pada waktu pengambilannya. Ubat tidak sesuai disimpan di dalam bagasi yang didaftar masuk (check–in luggage) kerana suhu tempat penyimpanan bagasi yang mungkin tidak bersesuaian.

  • Sebaik tiba di destinasi

Apabila tiba di destinasi yang dituju, ubat hendaklah disimpan mengikut cara penyimpanan yang disarankan pada pek pembungkusan ubat. Antara perkara yang perlu dipatuhi ialah suhu penyimpanan ubat. Contohnya, jika perlu disimpan pada suhu 2-8°C, pastikan ubat tersebut disimpan di dalam peti sejuk. Ubat-ubatan yang tidak perlu disimpan pada suhu ini boleh disimpan pada suhu bilik.

Perayaan diketahui sebagai satu masa yang memberi peluang ahli keluarga berkumpul bersama-sama. Oleh sebab itu, ubat harus dipastikan disimpan di tempat tinggi dan sukar dicapai oleh kanak-kanak. Hal ini dapat mengelakkan kanak-kanak daripada termakan ubat yang boleh membahayakan mereka. Lebih baik lagi sekiranya ubat-ubatan yang dibawa disimpan berasingan daripada ubat-ubatan ahli keluarga yang lain untuk mengelakkan kekeliruan.

Pengurusan ubat yang memerlukan penyimpanan pada suhu 2-8°C

Sesetengah ubat perlu disimpan pada suhu 2-8°C untuk mengekalkan kestabilan, kualiti dan potensinya. Contoh ubat-ubatan dalam kumpulan ini termasuk insulin yang belum digunakan, suspensi antibiotik yang telah dibancuh dan sesetengah ubat titis mata. Oleh yang demikian, ubat-ubatan ini perlu dibawa di dalam bekas yang bersesuaian, contohnya seperti beg sejuk (cooler bag) yang dilengkapi dengan pek ais yang telah dibekukan.

Sepanjang perjalanan, beg sejuk yang berisi ubat harus diletakkan bersama-sama di tempat duduk penumpang. Jika berhenti rehat semasa dalam perjalanan, beg sejuk tersebut harus dibawa keluar. Sebaik sahaja tiba di destinasi, ubat-ubatan harus dipindahkan ke dalam peti sejuk supaya kualiti dan keberkesanannya kekal terpelihara.

 

Nasihat kepada pesakit dan orang awam

Pesakit disaran untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan perjalanan. Hal ini termasuklah dari segi bekalan ubat-ubatan dan dokumen yang harus dibawa. Selain itu, pesakit hendaklah sentiasa membaca label ubat dan mematuhi arahan penyimpanan yang disarankan.

Aspek pengurusan ubat-ubatan tidak seharusnya dipandang mudah ketika merancang perjalanan. Bekalan ubat yang dibawa dalam keadaan yang betul dan dengan kuantiti yang mencukupi dapat membantu pesakit kekal patuh kepada rawatan. Hal ini seterusnya dapat mengelakkan penyakit yang dialami menjadi tidak terkawal. Dalam situasi yang lain pula, ubat untuk sakit-sakit ringan yang dibawa membolehkan pesakit merawat gejala awal masalah kesihatan tersebut sebelum mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya perlu.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).

Rujukan :

  • Slaid Ubat & Perjalanan Jauh, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  • http://www.myhealth.gov.my/penyimpanan-ubat-yang-betul/
  • http://www.myhealth.gov.my/tips-semasa-perjalanan-jauh/
  • http://www.myhealth.gov.my/simpan-dalam-peti-sejuk-kekalkan/

 

Artikel ini ditulis oleh Ezzatul Raihah binti Pauzzi seorang pegawai farmasi di Pejabat Farmasi Bahagian Sri Aman, Sarawak untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box