Panduan Penjagaan Cermin Mata dan Kanta Lekap Sepanjang Wabak COVID-19 – Diana Mohamed (Pegawai Optometri)

Tangan yang terkontaminasi merupakan punca berlakunya penyebaran penyakit jangkitan respiratori seperti COVID-19. Apabila seseorang itu batuk atau bersin, tangan yang ditekup ke mulut mempunyai droplet yang mengandungi virus yang boleh berpindah ke permukaan lain sekiranya tangan tidak dibasuh dengan segera. Virus berkenaan kemudiannya boleh menular kepada orang lain apabila menyentuh permukaan tersebut. Oleh itu, di kala negara sedang dilanda pandemik COVID-19, terdapat kemungkinan pemakaian cermin mata dan kanta lekap menjadi perantara yang berpotensi untuk memindahkan virus berkenaan ke mata, telinga dan mulut. Artikel ini mengupas tentang penjagaan cermin mata dan kanta lekap yang perlu diambilpeduli oleh orang awam sepanjang musim pandemik COVID-19 ini.

 

PEMAKAIAN CERMIN MATA

Ketika memakai cermin mata, agak sukar untuk memastikan tangan anda tidak menyentuh langsung kulit muka. Kajian mendapati manusia mempunyai tabiat menyentuh muka sekurang-kurangnya 23 kali dalam setiap jam tanpa disedari (Kwok et al, 2015). Biasanya, pemakai cermin mata akan membetulkan kedudukan cermin mata sepanjang hari. Kajian terkini mendapati coronavirus boleh kekal berada pada permukaan cermin selama 9 hari. Oleh itu, adalah dinasihatkan agar anda membersihkan tangan terlebih dahulu sebelum mahupun selepas menanggalkan memakai cermin mata.  Cuci tangan dengan bersih menggunakan air dan sabun atau handsanitizer beralkohol sekurang-kurangnya 60%.  Pastikan sabun tangan dalam kuantiti yang mencukupi dan cuci dengan tangan selama 20 saat. Lap kering tangan menggunakan tisu dan pastikan anda menggunakan tisu untuk menutup paip air. Bagi meningkatkan hayat cermin mata anda, hendaklah menggunakan kedua-dua belah tangan ketika memakai dan menanggalkan cermin mata. Pastikan permukaan cermin mata berada di atas apabila meletakkan cermin mata di atas sesuatu permukaan agar ia tidak mudah calar.

 

MASALAH CERMIN MATA BERKABUT SEMASA MEMAKAI PENUTUP MUKA

Pemakaian penutup muka yang betul sangat penting untuk perlindungan diri daripada jangkitan dan bagi mengelakkan penyebaran droplet respiratori di kalangan pesakit COVID-19.  Semasa memakai penutup muka, pastikan penutup muka dipakai dengan betul dengan memastikan dawai di hidung ditekan bagi memastikan bahagian atas penutup muka benar-benar kemas. Ini adalah penting bagi mengelakkan wap hembusan nafas naik ke atas dan menyebabkan cermin mata anda berkabut yang akhirnya mengganggu pandangan anda. Kajian yang dilaporkan oleh Annals of the Royal College of Surgeons of Englandmendapati perbuatan mencuci cermin mata dengan sabun turut dapat mengelakkan masalah cermin mata berkabut apabila memakai penutup muka. Air sabun akan meninggalkan lapisan nipis filem surfaktan yang akan mengurangkan ketegangan permukaan cermin mata, menyebabkan molekul air dari hembusan nafas akan tersebar secara sekata dan mengelakkan kabut terbentuk (Malik & Malik, 2011).

 

KAEDAH MEMBERSIHKAN CERMIN MATA

Cermin mata perlu dibersihkan dengan dilalukan dengan air suam. Titiskan dalam jumlah yang kecil sabun jenis lembut seperti pencuci pinggan mangkuk atau syampu bayi ke tangan dan gosok permukaan depan cermin dan belakang, termasuk pad hidung cermin mata. Untuk cermin mata yang tidak berpad, gosok pada bahagian ’bridge’ cermin mata anda. Kawasan ini seringkali terdapat minyak muka dan kotoran habuk yang terperangkap. Namun, awas penggunaan sabun dalam kuantiti berlebihan boleh merosakkan lapisan salutan cermin mata anda. Alternatif lain adalah menggunakan pencuci cermin mata khas yang ada dijual dipasaran.

Keringkan cermin mata anda menggunakan kain cermin mata jenis microfiber yang bersih. Elakkan mengelap cermin mata menggunakan baju anda atau swap alkohol untuk cermin mata yang mempunyai lapisan multicoated.Ini boleh merosakkan lapisan tersebut pada cermin mata anda.

 

PEMAKAIAN KANTA LEKAP

Sebagai pemakai kanta lekap, anda seharusnya tahu kepentingan penjagaan kebersihan tangan sebelum memegang kanta lekap. Apatah lagi pada musim jangkitan virus COVID yang boleh berlaku melalui sentuhan tangan. Mencuci tangan menggunakan sabun dan air adalah lebih baik berbanding menggunakan handsanitizer beralkohol. Ini adalah kerana kandungan alcohol sebanyak 60% yang terkandung di dalam handsanitizer boleh merosakkan permukaan kanta sentuh. Sisa alcohol pada tangan juga menyebabkan kerengsaan pada mata sekiranya tersentuh semasa meproses memakai kanta lekap. Selepas mencuci tangan, keringkan tangan menggunakan tisu yang kering sebelum anda menyentuh kanta lekap sebelum memakainya.

 

TIP PENGGUNAAN KANTA LEKAP YANG SELAMAT

Pastikan anda mematuhi tempoh jangka hayat kanta lekap pakai buang anda. Ini bermakna kanta sentuh pakai buang anda 1 bulan tidak seharusnya dipakai setelah tamat tempoh. Pemakaian kanta sentuh pakai buang harian (daily disposable) pada waktu ini adalah pilihan terbaik memandangkan anda tidak terikat dengan kaedah penjagaan cecair pencuci kanta lekap. Hubungi segera optometris anda sebelum kanta lekap anda luput tempoh.

Teruskan pemakaian ubat titis (rewetting drops) untuk mengatasi masalah mata kering yang anda alami semasa memakai kanta lekap. Kemungkinan anda untuk menggosok mata menjadi lebih kerap apabila anda berhenti menggunakannya. Jangan lupa untuk basuh tangan sebelum anda menitiskan ubat titis tersebut. Sekiranya anda letih, elak menggunakan kanta lekap untuk mengelakkan kejadian tertidur dengan kanta lekap. Tidur dengan kanta lekap akan meningkatkan risiko ulser kornea. Jangan gunakan kanta lekap melebihi dari tempoh yang disarankan oleh optometris anda.  

Sekiranya anda tidak memakai kanta sentuh sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ini, pastikan kanta lekap dan bekas menyimpan kanta sentuh dibersihkan setiap hari. Cecair ‘conditioning’ yang digunakan untuk merendam dan menyimpan kanta sentuh juga perlu diganti baru setiap hari. Elakkan menyimpan kanta lekap anda menggunakan air saline. Bekas penyimpanan kanta lekap juga mesti diganti baru setiap bulan. Biasanya setiap pembelian cecair penjagaan kanta lekap ada disertakan bekas penyimpan kanta lekap. Oleh itu, pastikan anda buang bekas tersebut setiap bulan.

Andaikata anda mengalami masalah mata merah dan berasa kurang sihat seperti batuk dan selsema, berhenti daripada menggunakan kanta lekap. Kanta lekap itu hendaklah dibuang dan dapatkan rawatan selanjutnya dari pakar oftalmologi. Menurut American Academy of Ophthalmology (AAO), terdapat 1 hingga 3% pesakit COVID-19 mengalami masalah mata merah. Oleh itu, segera dapatkan rawatan selanjutnya dengan pakar oftalmologis.

 

KESIMPULAN

Akhir kata, jadi pemakai cermin mata dan kanta lekap yang bijak. Tips penjagaan cermin mata dan kanta lekap di atas bukan sahaja sesuai pada saat musim negara kita dilanda pandemik COVID-19 tetapi sesuai diamalkan pada bila-bila masa. Perlu diingatkan amalan mencuci tangan dengan kerap merupakan salah satu cara yang paling murah dan mudah untuk mengelakkan berlakunya jangkitan virus ini. Elakkan anda menyentuh mata, mulut dan hidung dengan tangan yang tidak dibasuh. Jangan lupa patuhi arahan kerajaan untuk patuhi jarak sosial dan kekal duduk di rumah bagi membantu negara kita mengatasi masalah pandemik ini. Kita mesti menang.

 

Diana Mohamed seorang pegawai optometris yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

RUJUKAN:

  1. Malik, S. S., & Malik, S. S. (2011). A simple method to prevent spectacle lenses misting up on wearing a face mask. Annals of the Royal College of Surgeons of England93(2), 168. https://doi.org/10.1308/003588411x12851639107313b
  2. Kwok, Yen & Gralton, Jan & Mclaws, ML. (2015). Face touching: A frequent habit that has implications for hand hygiene. American journal of infection control. 43. 112-4. 10.1016/j.ajic.2014.10.015.
  3. Staying healthy when wearing glasses and contact lenses, https://www.specsavers.com.au/covid19/eye-care
  4. Clean hands protect against infection, World Health Organization, https://www.who.int/gpsc/clean_hands_protection/en/
  5. Contact lens wear during COVID-19, https://www.aoa.org/covid-19-patient-resources/contact-lens-wear-during-covid-19
  6. How to Disinfect Your Glasses to Help Prevent COVID-19 https://www.newjerseyeyesite.com/2020/04/01/how-to-disinfect-glasses-to-help-prevent-covid-19-2020/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box