Paras Tumor Marker: Bukan Sebagai Saringan Kanser – Dr Shaiful Ehsan

Adakah anda pernah mendengar berkenaan tumor marker? Pernahkah anda menjalankan pemeriksaan kesihatan dan pengambilan darah melibatkan tumor marker? Saya yakin ada di antara kita telah tanpa sengaja atau sedari melakukan saringan kesihatan melibatkan tumor marker yang sudah tersedia termasuk dalam pakej saringan atau borang saringan. Adakah saringan ini perlu?

Tumor marker adalah bahan protein yang dihasilkan dan diremberskan keluar oleh sel-sel di dalam organ tertentu, ke dalam saluran darah, cecair badan mahupun air kencing. Tumor marker merupakan molekul atau bahan yang sering dikaitkan dengan keradangan melibatkan organ yang menghasilkan molekul tersebut. Namun, ianya boleh meningkat akibat jangkitan kuman, kecederaan, luka mahupun akibat faktor ketumbuhan dan kanser itu sendiri. Ianya juga boleh menjadi tinggi tanpa sebarang sebab iaitu ketika tiada sebarang penyakit atau radang berlaku. Lagi memeningkan, ianya juga boleh berada dalam paras normal dan rendah ketika berlakunya ketumbuhan atau kanser.

Justeru, ianya sangat tidak spesifik dan tidak boleh menjadi penanda aras samada bermulanya ketumbuhan atau tidak. Ianya bukanlah suatu yang murah dan agak kurang bermanfaat dari segi kos. Antara tumor marker yang popular adalah seperti prostatic specific antigen (PSA), CA 125, C 19.9, CEA, Alpha feto protein dan lain-lain. Namun kegunaannya yang lebih jelas dalam dunia perubatan adalah untuk menilai respon ketumbuhan terhadap rawatan atau mengesan ketumbuhan berulang setelah paras menjadi normal dan dirawat.

Antara kriteria terpenting untuk mengatakan saringan tersebut adalah wajar, ianya mestilah memenuhi ciri-ciri tersebut:

  • Penyakit tersebut adalah merupakan antara penyakit yang sangat penting.
  • Terdapat rawatan berkesan sekiranya penyakit tersebut dikesan awal.
  • Fasiliti untuk mengesan dan merawat tersedia ada.
  • Terdapat penilaiaan yang sesuai dan spesifik untuk memeriksa pesakit
  • Saringan atau penilaian yang dijalankan adalah sesuai, tepat dan diterima oleh masyarakat
  • Perkembangan penyakit dari segi peringkat permulaan sehingga tahap teruk dapat difahami.
  • Terdapat kriteria yang dapat menilai pesakit mana yang perlu dirawat.
  • Kos saringan dan pengesanan penyakit adalah munasabah.
  • Saringan dan pengesanan bukanlah satu peringkat sahaja tetapi secara berterusan dan berkala.

Justeru, adalah amat penting bagi pihak kesihatan meneruskan usaha memberi ilmu berkenaan saringan kanser secara berkesan. Ianya tidak semudah mengambil darah, tetapi lebih kepada beberapa siri prosedur yang berkait rapat kepada pengesanan dan pengenalpastian tanda-tanda awal kanser tersebut secara lebih tepat. Walau bagaimana pun, sekiranya ada di antara kita yang telah secara tidak sengaja menjalani saringan tumor marker dan didapati tinggi, bersegeralah berjumpa dengan pihak doktor untuk mendapat penerangan dan pemeriksaan lanjut, biarpun paras tumor marker ini tidaklah spesifik mahupun tepat dalam menilai tahap kesihatan.

Rujukan:

  • Tabayoyong W, Abouassaly R. Prostate Cancer Screening and the Associated Controversy. Surg Clin North Am. 2015;95(5):1023-1039. doi:10.1016/j.suc.2015.05.001
  • Schiffman JD, Fisher PG, Gibbs P. Early detection of cancer: past, present, and future. Am Soc Clin Oncol Educ Book. 2015;57-65. doi:10.14694/EdBook_AM.2015.35.57
  • Screening Guidelines for Primary Care – Clinical Consensus for Primary Care Doctors.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box