SIRI: MATA KITA DAN KUCING (BAHAGIAN PERTAMA)
KUCING DAN PARASITNYA, TOXOPLASMA GONDII
Apakah itu Toxoplasma gondii?
Toxoplasma gondii atau T. gondii merupakan sejenis parasit untuk kucing. Dipanggil parasit kucing kerana T. gondii menggunakan usus kucing untuk membiak. Selain kucing, T. gondii juga boleh dijumpai dalam tisu haiwan mamalia yang dijangkiti seperti lembu, ayam, kambing serta haiwan lain seperti burung dan tikus.
Berbalik kepada kucing, T. gondii akan wujud dalam najis kucing yang telah dijangkiti parasit ini. Dari sinilah kitaran jangkitan akan berlaku kerana haiwan-haiwan mamalia di atas akan terjangkit apabila terdedah pada najis kucing yang mengandungi T. gondii ini.
Bagaimana kita dijangkiti?
Terdapat 3 cara utama yang boleh menyebabkan kita dijangkiti parasit ini:
Pertama:Memakan daging haiwan yang telah dijangkiti oleh T. gondii. Risiko dijangkiti T. gondii ini adalah tinggi apabila daging yang dimakan tidak dimasak sepenuhnya atau dimakan mentah.
Kedua:Terdedah pada najis kucing yang dijangkiti. Risiko ini adalah tinggi ketika kita dalam proses untuk membersihkan bekas buangan najis kucing yang telah dijangkiti atau ketika berkebun. Bagi pemelihara kucing, sekiranya kucing yang dipelihara disajikan dengan makanan proses, anda tidak perlu terlampau panik ketika membersihkan bekas buangan mereka. Hal ini adalah kerana, risiko jangkitan T. gondii pada kucing peliharaan akan wujud sekiranya kucing peliharaan ini diberi daging mentah sebagai makanan.
Ketiga:Transmisi dari ibu mengandung kepada anaknya. Jangkitan kepada para ibu ini boleh terjadi melalui cara pertama dan kedua seperti yang telah dinyatakan di atas. Jangkitan ini berpotensi menyebabkan masalah kesihatan kepada bayi atau keguguran kandungan.
Apa kaitannya pula dengan mata manusia?
Apabila T. gondii memasuki badan manusia, ia akan membiak dan berubah bentuk dan merebak secara sistemik ke dalam tisu dan organ. Kehadiran parasit ini ke dalam tisu badan manusia akan menyebabkan kerosakan tisu secara setempat. Dalam bentuk yang lain, parasit ini boleh duduk lama di dalam badan tanpa menyebabkan sebarang reaksi dan simptom.
Mata adalah salah satu tisu dan organ yang boleh dijangkiti parasit ini. Simptom adalah bergantung pada bahagian mata yang dijangkiti dan tahap kekuatan immuniti badan individu.
Simptom dan penemuan klinikal :
Uveitis (Radang mata)
Pesakit akan mengadu penglihatannya kabur, mata merah serta sakit
Retinochoroiditis (Jangkitan pada lapisan retina dan choroid)
Sekiranya bahagian retina yang dijangkiti adalah bahagian macula (bahagian untuk penglihatan utama dan kawasan visual bahagian tengah) dan saraf mata, kemampuan melihat akan terjejas lebih teruk.
Congenital toxoplasmosis (jangkitan kongenital yang berlaku semasa bayi dalam kandungan)
Ibu mengandung yang dijangkiti T. gondii berpotensi besar untuk menjangkiti bayi dalam kandungan. Sebahagian besar kes mendapati kedua-dua mata bayi berpotensi untuk dijangkiti.
Penemuan klinikal adalah:
Retinochoroiditis (seperti diterangkan sebelum ini)
Juling
Nystagmus (bola mata bergerak sendiri tanpa dikawal)
Katarak / Selaput Kanta Mata
Microphthalmia (Bola mata dan strukturnya lebih kecil dan abnormal)
Apakah rawatannya?
Rawatannya bergantung kepada jenis penemuan klinikal pada pesakit. Penglihatan selepas rawatan bergantung kepada keterukan yang telah terjadi. Ia boleh jadi parut kekal yang tidak dapat dirawat secara ubat ubatan semata. Secara amnya, rawatannya termasuk ubat titis mata, beberapa jenis antibiotik, ubat anti radang dan pembedahan katarak sekiranya perlu. Pesakit hendaklah berbincang secara terus dengan doktor pakar mata dan tidak digalakkan membeli ubatan sendiri atau mendapatkan konsultasi secara atas talian. Perbincangan serius untuk jangkamasa panjang adalah penting.
Bagaimana untuk menghalang/mengawal jangkitan Toxoplasma gondii?
- Makanan berasaskan daging perlulah dimasak dengan betul.
- Menyediakan makanan proses kepada kucing peliharaan berbanding daging mentah.
- Disarankan untuk memakai sarung tangan ketika berkebun. Hal ini kerana, tanah atau rumput di kawasan berkebun mungkin tercemar dengan najis kucing yang mengandungi T. gondii. Selepas itu, tangan perlu dibasuh dengan menggunakan sabun dan air selepas berkebun.
- Memberi tunjuk ajar kepada anak-anak untuk sentiasa membasuh tangan selepas bermain di luar rumah dan sebelum makan.
- Sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak dan buah-buahan, perlulah dibasuh dengan betul sebelum dimakan.
- Disarankan untuk membersihkan bekas buangan kucing seelok-eloknya setiap hari bagi memastikan T. gondii tidak berjangkit kepada anda sekiranya kucing peliharaan terkena jangkitan T. gondii. T. gondii adalah dalam keadaan tidak aktif dan tidak berbahaya dalam jangkamasa 5 hari selepas dikeluarkan bersama-sama najis kucing.
- Bagi ibu mengandung, sekiranya anda ada membela kucing, disarankan untuk tidak mengendalikan proses pembersihan bekas buangan kucing. Hal ini boleh mengelakkan jangkitan sekiranya T. gondii hadir di dalam kucing peliharaan. Sekiranya tiada pilihan, anda perlu menggunakan sarung tangan dan seterusnya membasuh tangan menggunakan sabun dan air.
Reference:
- Centers for Disease Control and Prevention (https://www.cdc.gov/parasites/toxoplasmosis/)
- Melamed, J., Eckert, G. U., Spadoni, V. S., Lago, E. G., & Uberti, F. (2010). Ocular manifestations of congenital toxoplasmosis. Eye. https://doi.org/10.1038/eye.2009.140
- Ozgonul, C., & Besirli, C. G. (2016). Recent Developments in the Diagnosis and Treatment of Ocular Toxoplasmosis. Ophthalmic Research. https://doi.org/10.1159/000449169
- Paquet, C., & Yudin, M. H. (2018). No. 285-Toxoplasmosis in Pregnancy: Prevention, Screening, and Treatment. Journal of Obstetrics and Gynaecology Canada. https://doi.org/10.1016/j.jogc.2018.05.036
Penulis Utama:
Dr Siti Sarah Seri Masran
Doctor of Ophthalmology (UKM)
Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Pakar Bedah Mata / Oftalmologi di Klinik Pakar Kesihatan USIM, Nilai
Penulis Bersama:
Dr Zatul-‘Iffah Abu Hasan
Pensyarah (Parasitologi/Entomologi Perubatan) & AJK Pendidikan (Kesihatan) Majlis Belia Malaysia
PhD (Uni. of Leeds)
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]