Cuti Sekolah dan Patah Tulang Lengan – Dr Ahmad Mahyuddin

Sumber: www.pemcincinnati.com

Sumber: www.pemcincinnati.com

Musim cuti sekolah sudah hampir tiba lagi. Bagi kami di Jabatan Ortopedik, musim cuti ini memberi makna yang tersendiri. Saban tahun, pada musim inilah Wad Ortopedik akan dipenuhi dengan pesakit kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat kepatahan tulang lengan atau lebih dikenali sebagai Supracondylar Humerus Fracture.

Situasi ini selalunya terjadi apabila kanak-kanak terjatuh semasa sedang asyik bermain, lebih-lebih lagi semasa memanjat ‘monkey-bar’ di taman permainan atau pokok yang tinggi di kawasan perkarangan rumah. Biasanya kanak-kanak ini jatuh dengan keadaan siku mereka lurus ke hadapan sambil bahagian tapak tangan menekan ke tanah, untuk mengelakkan bahagian muka atau kepala daripada tercedera. Mekanisma jatuh tersebut dikenali sebagai Fall On Out-Stretched Hand dalam bahasa Inggeris dengan akronimnya, FOOSH.

Ini akan menyebabkan kepatahan tulang lengan pada bahagian atas siku mereka. Mereka biasanya datang ke unit kecemasan dalam keadaan kesakitan, siku yang bengkak dan kadangkala bengkok akibat trauma yang dialami. Dalam kes-kes yang serius, kepatahan ini boleh menyebabkan kecederaan pada saraf di bahagian lengan iaitu Median dan Ulnar Nerve, atau menekan salur darah utama, brachial artery yang boleh menyebabkan tangan pesakit mati atau gangrene.

Sekiranya kanak-kanak ini terjatuh dan mengadu rasa sakit pada bahagian siku mereka, atau siku mereka kelihatan bengkak dan bengkok, segeralah bawa mereka ke hospital bagi pemeriksaan lanjut. Ini adalah penting untuk memastikan kepatahan ini tidak berlaku.

Tahap Kepatahan

Secara asasnya Supracondylarfracture of Humerus ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap:

  1. Tahap Pertama – Kepatahan berlaku namun tidak beralih (undisplaced fracture)
  2. Tahap Kedua – Kepatahan berlaku namun sebahagian daripada tulang lengan itu (posterior cortex) tidak patah sepenuhnya
  3. Tahap Ketiga – Kepatahan berlaku dan beralih sepenuhnya (completely displaced fracture)

Rawatan

Rawatan bagi kanak-kanak ini bergantung kepada tahap kepatahan yang mereka alami.

Langkah pertama rawatan bermula dengan, kemasukan ke Wad Ortopedik bagi proses pemerhatian kecederaan; terutama sekali pada bahagian salur darah dan saraf lengan yang terlibat. Langkah ini penting untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak terus menggerakkan bahagian yang patah bagi mengelakkan tulang dibahagian tersebut daripada terus beralih. Selain itu, peredaran darah (blood circulation) akan direkodkan berserta dengan kepekatan gas oksigen (Oxygen saturation) di hujung jari-jari tangan yang terlibat. Untuk mengurangkan bengkak di bahagian lengan yang patah, kami akan meninggikan aras tangan mereka semasa berehat (elevation) dan tuam menggunakan ais.

Seterusnya, lengan anak anda akan dipasangkan dengan backslab, sejenis simen yang dinamakan Plaster of Paris, bagi mengelakkan kepatahan itu daripada beralih. Sekiranya ia beralih, kami mungkin akan memasang alat yang dipanggil traction bagi mengurangkan kebengkokan dan kesakitan anak anda.

Bagi rawatan kepatahan tahap pertama, pemasangan simen dari bahagian atas siku sehingga bahagian tangan adalah memadai. Tiada pembedahan diperlukan. Xray akan diambil selepas pemasangan simen bagi memastikan kepatahan tidak beralih.

Manakala untuk kepatahan peringkat kedua dan ketiga, prosedur tarikan atau Closed Manipulative Reduction (CMR) akan dilaksanakan. Sekiranya gagal, prosedur ini akan dilakukan di dewan bedah dengan menggunakan kamera khas yang dikenali sebagai Image Intensifier atau I/I. Kepatahan pada lengan anak anda akan dibetulkan ke kedudukan asal dan dipegang dengan menggunakan wayar stainless steel. Kedudukan tulang ini kemudiannya diperiksa semula dengan menggunakan mesin I/I selepas wayar stainless steel diletakkan.

Ia memerlukan teknik tarikan yang tertentu bagi memastikan tulang lengan anak anda berada dalam kedudukan tepat seperti mana sebelumnya. Sekiranya gagal dibetulkan dengan kaedah tarikan, barulah pembedahan akan dilakukan. Anak anda akan diberikan ubat bius penuh sepanjang prosedur tersebut.

Proses Pemulihan

Pesakit biasanya akan dibenarkan pulang dua hari selepas prosedur atau pembedahan dilakukan. X-ray akan dilakukan bagi memastikan kepatahan dan wayar berada ditempat yang betul. Wayar ini kemudiannya akan ditarik keluar selepas tiga minggu, dimana pada ketika itu, tulang-tulang baru atau soft callus telah mula terbentuk dan kepatahan sudah mula bercantum. Adalah amat penting bagi ibubapa untuk menggalakkan anak mereka melakukan fisioterapi untuk mendapatkan kembali pergerakan sendi siku yang normal. Kepatahan ini akan sembuh sepenuhnya dalam masa enam hingga lapan minggu.

Peringatan ikhlas dari saya, datanglah segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi kes-kes kepatahan seperti ini. Lupakanlah niat anda untuk berjumpa bomoh atau mendapatkan rawatan tradisional kerana ketidaktepatan dalam merawat kepatahan tulang ini akan menimbulkan masalah yang besar dikemudian hari. Anak anda akan datang dengan siku yang bengkok seperti selaras senapang, keadaan yang kami panggil ‘gun stock deformity’. Ini boleh terjadi sekiranya kepatahan Supracondylar humerus tidak ditarik dengan betul dan bercantum dengan tidak tepat. Sekiranya ini terjadi, kami perlu melakukan pembedahan besar, dengan cara mematahkan kembali tulang yang telah bengkok tersebut untuk membetulkan kembali kedudukan tulang ke kedudukan asalnya. Pergerakan siku serta percatuman kembali tulang daripada hasil pembedahan ini tidaklah setanding dengan hasil rawatan sekiranya ia diberikan perhatian yang lebih awal.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan

  1. Reza Omid, Paul D. Choi and David L. Skaggs. Supracondylar Humeral fracture in Children. J Bone Joint Surg Am. 2008;90:1121-1132.
  2. Mininder S. Kocher, James R. Kasser, Peter M. Waters, Donald Bae, Brian D. Snyder, M. Timothy Hresko, Daniel Hedequist, Lawrence Karlin, Young-Jo Kim, Martha M. Murray, Michael B. Millis, John B. Emans, Laura Dichtel, Travis Matheney and Ben M. Lee. Lateral Entry Compared with Medial and Lateral Entry Pin Fixation for Completely Displaced Supracondylar Humeral Fractures in Children. A Randomized Clinical Trial. J Bone Joint Surg Am. 2007;89:706-712

2 comments for “Cuti Sekolah dan Patah Tulang Lengan – Dr Ahmad Mahyuddin

  1. mohd zamri bin Abdul rashid
    December 1, 2014 at 11:54 am

    Salam doktor..bagaimana pula dgn kes Yang sy alami iaitu tulang siku lari..dalam erti kata lain tergeliat..tngn x dapat lurus.soalan sy boleh lg ke tngn sy diluruskan sprti normal blk.sy jatuh ketika umur 8 tahun Dan skrng umur sy 34 thn.terima doktor…hrp dpt jwpn dr doktor.

    • March 9, 2015 at 11:44 pm

      Waalaikumussalam wbt En Zamri,

      Encik perlu dapatkan pemeriksaan doktor pakar ortopedik bagi memastikan diagnosis sebenar encik. Kemungkinan diagnosis boleh jadi sendi terkehel kronik (chronic neglected elbow dislocation) atau kepatahan yg sudah bercantum secara tidak betul (Fracture malunion yg biasa terjadi akibat pergi berjumpa bomoh tulang atau bomoh patah).

      Sekiranya hendak dibetulkan, encik perlu menjalani pembedahan. Sy nasihatkan encik dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor pakar bagi penjelasan lanjut. Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box