“Masa saya sedang berjalan tadi, lutut saya saya tiba-tiba jammed doktor!”
“Apa maksud kamu jammed?” saya bertanya minta penjelasan. Kadangkala apa yang dinyatakan pesakit tidak sama dengan apa yang doktor fahami. ‘Jammed’ itu sendiri boleh membawa pelbagai maksud – tidak boleh diluruskan, tidak boleh dibengkokkan atau mungkin juga langsung tidak boleh bergerak.
“Lutut saya dalam keadaan bengkok tadi tapi tiba-tiba tak boleh nak luruskan”.
Tahukah anda simptom di atas disebut sebagai ‘locking’ oleh doktor dan ia amat sinonim dengan kecederaan pelapik sendi lutut?
Anatomi
Pelapik lutut atau Meniscus adalah sejenis tisu fibrocartilage yang terletak antara tulang peha (femur) dan tulang betis (tibia). Terdapat 2 meniscus di dalam setiap lutut kita iaitu medial meniscus dan lateral meniscus (lihat gambar).
Medial meniscus berbentuk seakan-akan huruf ‘C’ manakala lateral meniscus pula hampir membentuk sebuah bulatan. Sekiranya dipotong, keratan rentas meniscus menyerupai sebuah segitiga.
Fungsi utama meniscus adalah sebagai “shock absorber” lutut kita. Ia menyerap hentakan yang berlaku setiap kali kita berjalan, berlari dan melakukan aktiviti. Selain daripada itu, ia juga:
- Mengagihkan tekanan yang diterima setiap lutut
- Menambah kestabilan sendi lutut
- Membantu melicinkan pergerakan sendi lutut
- Memberi nutrisi kepada sendi lutut
- Deria proprioception manusia iaitu bagi membolehkan kita tahu kedudukan sendi lutut dan kaki kita semasa berjalan atau melakukan sebarang aktiviti
Setiap meniscus mempunyai bekalan darah yang mengalir masuk daripada bahagian luar (periphery) ke dalam. Ia mempunyai saluran darah yang tidak sekata di mana bahagian periphery amat kaya dengan saluran darah (Zone Merah-Merah) dan bekalan darah yang amat minimum pada bahagian dalam (central) atau pun Zon Putih-Putih. Di antara kedua zon ini pula terletaknya Zon Merah-Putih di mana bekalan darah adalah sederhana. Zon-zon ini menentukan kebarangkalian meniscus yang koyak boleh sembuh atau tidak sekiranya ia terkoyak.
Mekanisma Kecederaan
Meniscus kita boleh terkoyak akibat trauma iaitu kecederaaan yang berlaku kepada sendi lutut samada secara langsung atau tidak langsung. Ia boleh terkoyak jika kita terjatuh dan lutut terhantuk mengenai objek keras. Begitu juga dengan semasa bersukan. Meniscus boleh terkoyak akibat pivoting injury atau jika kita dijatuhkan oleh pemain lain.
Individu yang mempunyai lutut yang tidak stabil akibat kecederaan ligament ACL (Anterior Cruciate Ligament), PCL (Posterior Cruciate Ligament) dan sebagainya juga risiko bagi mendapat kecederaan meniscus setelah tempoh tertentu.
Simptom
Pesakit yang mengalami kecederaan meniscus akan mengadu kesakitan pada sendi lutut semasa berjalan. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada kedudukan bahagian meniscus yang koyak. Secara tipikal, ketika kecederaan berlaku, lutut pesakit kebiasaannya akan bengkak selepas beberapa jam peristiwa kecederaan berlaku dan kebengkakakan itu tidak berlaku secara mendadak. Simptom lain yang biasa berlaku bagi pesakit yang mengalami kekoyakkan meniscus adalah lutut bengkak, sakit dan kadangkala terasa tidak stabil.
Xray dan MRI
Xray secara amnya tidak perlu dilakukan kerana meniscus tidak dapat dilihat melalui xray. Namun Xray akan dilakukan sekiranya doktor merasakan terdapat kemungkinan ada kepatahan atau masalah lain yang berkaitan tulang.
MRI atau Magnetic Resonance Imaging adalah modaliti terbaik bagi melihat integriti meniscus.
Namun, cara terbaik atau gold standard adalah dengan melakukan diagnostic arthroscopy atau procedure bagi melihat sendi keadaan meniscus pesakit dengan menggunakan kamera di bilik bedah.
Rawatan
Kekoyakan meniscus yang tidak dirawat akan menyebabkan kesakitan pada lutut pesakit, terutamanya ketika berjalan. Sesetengah pesakit akan mengalami ‘locking’ atau lutut terkunci dalam keadaan bengkok dan ia tidak dapat diluruskan. Rawatan meniscus yang koyak dibuat berdasarkan beberapa faktor:
- Lokasi kekoyakkan: yang menentukan samada meniscus masih boleh sembuh atau tidak. Kekoyakan pada Zon Merah-Merah mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk sembuh manakala di Zon Putih-Putih, kemungkinan untuk sembuh jika dijahit adalah hampir tiada.
- Jenis kekoyakkan meniscus yang berlaku. Kekoyakkan longitudinal boleh dijahit manakala kekoyakkan jenis radial, degenerative atau ‘bucket-handle’ tidak dapat dijahit dan perlu distabilkan dengan membuang sebahagian daripada bahagian yang koyak (partial meniscectomy).
Pembedahan
Terdapat 2 cara yang biasanya dilakukan bagi merawat meniscus yang koyak.
- Meniscus repair
- Partial meniscectomy
Meniscus repair
Meniscus repair bermaksud kekoyakkan pelapik lutut anda akan dijahit kembali dengan menggunakan teknik khas. Ia terbatas bagi kekoyakkan pada bahagian luar (peripheral tear) di Zon Merah-Merah dimana bekalan darah adalah baik dan penyembuhan boleh berlaku. Ia juga dikhususkan buat beberapa jenis kekoyakkan tertentu sahaja seperti longitudinal tear.
Partial Meniscectomy
Partial meniscectomy bermaksud sebahagian daripada pelapik lutut anda dibuang atau di ‘trimmed’ bagi mengembalikan kestabilan pelapik lutut anda dan mengelakkan simptom ‘locking’, kesakitan dan kebengkakkan berlaku. Ia dilakukan sekiranya kekoyakkan pelapik lutut terjadi pada Zon Putih-Putih dan sekiranya kekoyakkan yang berlaku adalah dari jenis radial tear atau degerative tear.
Fisioterapi
Fisioterapi merupakan antara komponen terpenting dalam rawatan pelapik sendi yang koyak. Ia sebaiknya dimulakan sebelum pembedahan lagi bagi mengurangkan kesakitan dan kebengkakkan pada sendi dan meningkatkan kekuatan otot peha.
Pasca pembedahan, fisioterapi yang diatur berdasarkan jenis pembedahan yang dilakukan. Bagi meniscus repair, pesakit akan diminta bagi menggunakan tongkat (crutches) dan tidak akan dibenarkan berpijak bagi tempoh 6 minggu bagi memberikan masa bagi meniscus yang dijahit kembali sembuh. Sesetengah pesakit juga akan dipakaikan brace lutut selepas pembedahan bagi membolehkan doktor mengawal tahap pengerakkan sendi lutut pesakit.
Sekiranya partial meniscectomy dijalankan, pesakit akan dibenarkan berpijak mengikut perkembangan penyembuhan lutut beliau. Fisioterapi juga akan menfokuskan latihan-latihan bagi mendapatkan pergerakan sendi yang sepenuhnya.
Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan
- Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. P209-211
- Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller. P253-257
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]