Berdasarkan definisi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ubat-ubatan herba bermaksud herba, bahan herba, sediaan berbentuk herba dan produk herba yang telah siap diproses yang mengandungi bahan aktif yang terdiri daripada
- Bahagian tumbuhan atau
- Bahan lain dari tumbuhan
atau kombinasi kedua-duanya.
Ubat-ubatan herba mempunyai reputasi yang tersendiri di kalangan sesetengah kelompok masyarakat di Malaysia. Terdapat aliran fahaman yang meyakini bahawa ubat-ubatan herba merupakan ubat-ubatan yang lebih selamat berbanding ubat-ubatan moden. Hal ini bertitik tolak daripada sentimen bahawa ubat-ubatan herba diperoleh daripada tumbuhan dan bukan melalui proses tindak balas kimia; oleh itu ubat-ubatan herba diyakini kurang memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan berbanding ubat-ubatan moden. Di samping itu kepercayaan turun temurun berkenaan keberkesanan sesuatu produk ubat herba turut mempengaruhi pengguna untuk memilih menggunakan ubat-ubatan herba berbanding ubat-ubatan moden.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pengeluar ubat-ubatan herba melakukan pemalsuan produk terhadap ubat-ubatan herba yang dikeluarkan oleh pihak mereka. Pemalsuan yang dimaksudkan disini ialah, ubat-ubatan moden turut dicampurkan ke dalam ubat-ubatan herba yang dihasilkan oleh mereka. Faktor utama hal tersebut dilakukan ialah untuk memastikan ubat-ubatan herba yang dihasilkan mereka memberikan kesan yang diinginkan, seterusnya menjadikan ubat-ubatan herba tersebut laris di pasaran. Dalam erti kata lain, terdapat pengeluar ubat-ubatan herba yang tidak meyakini keberkesanan herba yang mereka gunakan dalam penghasilan produk mereka lantas menyebabkan mereka mencampurkan ubat-ubatan moden ke dalam produk ubat-ubatan herba.
Tindakan mencampurkan ubat-ubatan moden ke dalam ubat-ubatan herba boleh mendatangkan bahaya dan mudarat kepada para pengguna. Antaranya ialah:
- Kebanyakan ubat-ubatan moden yang dicampurkan bersama ubat-ubatan herba merupakan ubat-ubatan terkawal. Contoh: steroid, ubat pelangsing (sibutramine & bupropion). Pesakit perlu mendapat penilaian doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan tersebut bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini.
- Pencampuran ubat-ubatan moden dan ubat-ubatan herba tersebut akan menghasilkan produk yang dikhuatiri mempunyai dos yang tidak seragam. Contoh: apabila 1500 mg serbuk sildenafil dicampurkan dengan 1 kg akar tongkat ali, diproses menjadi serbuk dan dimasukkan ke dalam kapsul, kuantiti sildenafil di dalam setiap kapsul yang dihasilkan mungkin tidak seragam. Sekiranya kuantiti ubat-ubatan moden tersebut melebihi dos yang dibenarkan, pengguna berisiko mengalami kesan toksik ubat akibat terlebih dos.
- Ubat-ubatan moden yang dicampurkan dengan ubat-ubatan herba mungkin mengalami tindak balas kimia yang menghasilkan bahan toksik terhadap pengguna.
Berikut merupakan senarai jenis-jenis ubat-ubatan moden yang kerap dikesan terdapat di dalam sampel produk ubat-ubatan herba (senarai berikut tidak terhad kepada ubat-ubatan yang disenaraikan di dalam artikel ini sahaja);
Corticosteroid
- Corticosteroid merupakan ubat moden yang digunakan untuk rawatan penyakit radang dan lelah (asma). Contoh: prednisolone, dexamethasone
- Penggunaan untuk jangka masa lama (melebihi 3 bulan) boleh menyebabkan pengguna mengalami masalah tekanan darah tinggi, Sindrom Cushing dan osteoporosis
- Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh menguatkan sendi dan urat, merawat resdung dan luka selepas bersalin
Sibutramine
- Sibutramine merupakan ubat moden yang pernah diluluskan untuk rawatan berat badan berlebihan. Telah ditarik balik dari pasaran pada tahun 2010
- Penggunaan sibutramine meningkatkan risiko serangan jantung dan strok
- Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh menurunkan berat badan
Antihistamine
- Antihistamine merupakan ubat moden yang digunakan untuk rawatan selsema, resdung dan reaksi alahan. Contoh: cetirizine, chlorpheniramine, dexchlopheniramine
- Boleh menyebabkan kesan mengantuk. Tidak digalakkan mengendalikan sebarang jentera dan mesin selepas mengambil ubat tersebut
- Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh merawat masalah resdung
Ubat anti radang bukan steroid (Non-steroidal anti inflammatory drugs, NSAIDs)
- NSAIDs merupakan ubat moden yang digunakan sebagai penahan sakit. Contoh: meloxicam, ibuprofen, diclofenac sodium, mefenamic acid
- Penggunaan berpanjangan tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang
- Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh merawat masalah sakit sendi, sakit gigi dan bengkak
Sildenafil
- Sildenafil merupakan ubat yang digunakan untuk rawatan kegagalan fungsi erectile di kalangan lelaki dan juga tekanan darah tinggi pulmonary
- Penggunaan pada dos yang tinggi boleh mengakibatkan kegagalan fungsi jantung
- Kerap dikesan di dalam produk herba dan tradisional yang didakwa boleh merawat kegagalan fungsi seksual lelaki
Pengguna ubat-ubatan herba dinasihatkan agar mendapatkan ubat-ubatan herba yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengelakkan daripada terbeli produk ubat-ubatan herba palsu di pasaran. Penggunaan ubat-ubatan herba palsu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berpotensi mendatangkan bahaya bukan sahaja ke atas kesihatan bahkan nyawa pengguna tersebut. Maklumat lanjut berkenaan ubat-ubatan boleh didapati di laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi Malaysia, www.pharmacy.gov.my
Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Rujukan:
- Laman web WHO, http://www.who.int/medicines/areas/traditional/definitions/en/
- Drug Information Handbook, Lexicomp
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]