Kecanggihan internet pada masa kini membuka akses kepada orang ramai untuk memperoleh pelbagai barangan melalui pembelian atas talian. Pembelian di atas talian (on-line) menjadikan urusniaga pembelian dan penjualan barang-barangan, termasuk ubat, makanan tambahan dan kosmetik kini tidak lagi terbatas di dalam sempadan sesuatu negara. Seorang penjual kosmetik dari Bandung, Indonesia boleh menerima tempahan dan bayaran daripada pembeli dari Bandar Seri Begawan, Brunei manakala pembeli tersebut akan menerima produk yang dibeli melalui penghantaran pos atau kurier.
Senario sebegini menimbulkan cabaran yang rumit buat penguatkuasa undang-undang bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Penjualan melalui atas talian membolehkan penjual-penjual produk tiruan dan berbahaya untuk mengambil kesempatan memasarkan produk mereka, tanpa perlu takut premis dan stor simpanan produk mereka akan diserbu. Malah sekiranya pengguna mengalami masalah akibat penggunaan sesuatu produk yang dijual secara atas talian, penjual boleh sebebasnya menyembunyikan diri dan melepaskan tangan daripada bertanggungjawab. Lambakan produk palsu yang dicemari dengan ubat moden seperti sildenafil, sibutramine, bupropion dan bahan tambah kosmetik berbahaya seperti hidrokuinon dan raksa boleh dipasarkan kepada golongan sasaran yang lebih luas melalui internet. Kesan-kesan sampingan yang berbahaya akibat produk-produk tersebut bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan untuk merawat kesan sampingan tersebut, malah dalam sesetengah keadaan mampu mengancam nyawa pengguna.
Menyedari berkenaan bahaya penularan urusan jual beli atas talian dan pengiriman ubat/kosmetik melalui pos, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui cabang penguatkuasaannya, Bahagian Penguatkuasa Farmasi telah melibatkan diri secara aktif dalam membanteras penjualan ubat dan kosmetik tiruan melalui pos. Bahagian Penguatkuasa Farmasi juga turut menjalinkan hubungan dengan agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia, Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Cybersecurity Malaysia untuk mengesan penjualan produk-produk yang menyalahi undang-undang. Pada tahun ini misalnya, kesemua agensi tersebut berganding bahu menjayakan Operasi Pangea VIII yang diselia oleh Interpol. Operasi Pangea merupakan operasi tahunan yang dijalankan serentak di seluruh dunia yang menyasarkan penjualan dan pengiklanan ubat-ubatan dan kosmetik tiruan. Tindakan penguatkuasaan yang dikoordinasi oleh Interpol ini telah melibatkan sebanyak 115 buah negara dan 236 agensi penguatkuasa. Rampasan ubat-ubatan di seluruh dunia sepanjang operasi tersebut dianggarkan bernilai sebanyak RM304 juta, di mana produk bernilai RM1.2 juta telah dirampas melalui operasi yang dijalankan di Malaysia sahaja. Jumlah rampasan yang tinggi menggambarkan betapa seriusnya masalah ini, dan betapa pentingnya komitmen berterusan bukan sahaja daripada pihak penguatkuasa, malah pengguna untuk sama-sama berusaha menghentikan industri ini yang mendatangkan mudarat kepada orang ramai.
Usaha yang berterusan untuk membanteras masalah penjualan produk berbahaya melalui atas talian ini memerlukan kerjasama pelbagai agensi dan orang ramai. Oleh demikian,sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat berkenaan penjualan ubat-ubatan palsu dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, laporkan kepada Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri.
Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]