Pemantauan Virus Zika oleh KKM

Screen Shot 2015-12-04 at 16.42.16

Pada tahun 2015, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan kejadian virus Zika di beberapa negara seperti Brazil, Columbia, Suriname, Chile dan Paraguay. Penyakit ini menunjukkan gejala dan tanda-tanda yang menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, sakit di belakang mata, konjunktivitis dan ruam. Peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali atau otak kecil juga dikaitkan dengan jangkitan virus Zika seperti mana yang dilaporkan di negara Brazil.

Screen Shot 2015-12-04 at 16.40.53

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kapasiti untuk menguji virus Zika iaitu di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Kedua-dua makmal ini melakukan pemantauan kehadiran virus Zika melalui survelan yang dilakukan terhadap beberapa klinik dan hospital sentinel di negara ini. Sampel-sampel yang dikesan negatif untuk ujian antigen denggi NS1 daripada pesakit-pesakit yang disyaki denggi akan dilakukan ujian untuk mengesan virus Zika. Sehingga 30 November 2015, sejumlah 236 sampel telah diuji (222 sampel diuji di MKAK dan 14 diuji di IMR), namun tiada sampel yang dikesan positif untuk virus Zika. Pemantauan kejadian virus Zika ini juga akan dilakukan secara berterusan oleh MKAK dan IMR.

Screen Shot 2015-12-04 at 16.41.36

Virus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi. Pada masa ini tidak ada vaksin untuk mencegah dari jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika. Rawatan yang diberikan adalah hanya untuk mengurangkan gejala yang dihidapi pesakit. Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan gejala dan tanda-tanda seperti yang telah dinyatakan, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran supaya pengesanan awal dapat dilakukan.

Oleh itu, sama seperti langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah dan mengawal denggi; KKM menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan aktiviti cari dan musnah bagi mengurangkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya. Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk menggunakan repellent dan memakai baju berlengan panjang serta berseluar panjang. Tindakan pencegahan yang dilakukan ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko jangkitan virus Zika tetapi juga demam denggi.

Terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

4 Disember 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box