Pembaziran Insulin : Punca dan Langkah Mengatasinya- Norvena Hisyam

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2011 melaporkan prevalens penyakit diabetes di Malaysia adalah 15.2% (18 tahun ke atas) dan 20.8% (30 tahun ke atas)1. Kaedah rawatan menggunakan insulin dalam mengawal paras gula dalam darah terbukti berjaya mengurangkan risiko komplikasi diabetes dalam tempoh jangka panjang. Walau bagaimanapun, berdasarkan data nasional yang diterbitkan pada tahun 2015, hanya 64% sahaja pesakit diabetes di Malaysia yang patuh pada rawatan insulin2. Kajian multinasional pula mendapati 72.5% daripada pesakit diabetes tidak mematuhi rawatan insulin.3

Peratus ini amat membimbangkan kerana ia menjurus kepada pembaziran dana kerajaan selain mudarat kepada pesakit itu sendiri. Tambahan pula, insulin juga termasuk dalam kategori enam ubat yang kerap dibazirkan oleh pesakit4. Kita sedia maklum, penyakit diabetes yang tidak terkawal akan menyebabkan kompilasi yang lebih serius seperti :

 

 

 

  1. Masalah mata (buta)
  2. Kegagalan fungsi buah pinggang 
  3. Kehilangan fungsi saraf
  4. Sakit jantung
  5. Angin ahmar
  6. Ulser kaki
  7. Kegagalan fungsi seksual

KAJIAN FAKTOR PEMBAZIRAN INSULIN DI KALANGAN PESAKIT

Berikutan itu, satu kajian dijalankan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Melaka dalam tahun 2016 bagi mengkaji faktor utama berlakunya pembaziran insulin ini. Ia dijalankan secara temubual terhadap 400 orang pesakit diabetes di 16 buah klinik kesihatan di negeri Melaka5.

Hasil temubual ini, didapati tiga faktor utama berlakunya pembaziran insulin yang tidak digunakan pesakit iaitu :

Faktor pesakit itu sendiri tidak menggunakan insulin dengan optima (64.75%)

  • Kurang kefahaman pesakit
  • Tiada alat untuk menyukat gula dalam darah bagi ubahsuai dos semasa di rumah
  • Takut kesan sampingan insulin
  • Persepsi negatif terhadap insulin

 

Faktor pembekalan insulin berlebihan (22.75%)

  • Pertindihan preskripsi hospital/klinik di mana pesakit mendapat bekalan berganda dari yang sepatutnya

 

Kesukaran penggunaan pen insulin di kalangan pesakit (12.5%)

  • Teknik penggunaan pen kurang difahami

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN PEMBAZIRAN

Untuk mengatasinya, kajian ini turut mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan bagi mengurangan pembaziran insulin di kalangan pesakit. Antaranya ialah :

  1. Memperkasakan kemahiran kaunseling di kalangan anggota kesihatan bagi membantu pesakit mengatasi persepsi negatif terhadap rawatan.
  2. Semakan baki insulin oleh Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi sebelum bekalan insulin seterusnya diberikan kepada pesakit. Langkah ini juga bertujuan mengesan lebih awal tahap kepatuhan pesakit terhadap rawatan yang diterima.
  3. Menggalakkan pemulangan katrij insulin kosong secara one–to–one Langkah ini membantu pesakit mengoptimumkan penyimpanan ubat yang selamat di tempat kediaman. Penyimpanan insulin yang tidak optima boleh mengurangkan keberkesanan ubat tersebut.

Langkah-langkah yang dicadangkan ini memerlukan kerjasama daripada kedua-dua belah pihak iaitu dari kalangan anggota kesihatan mahupun kalangan pesakit. Isu pembaziran ubat tidak akan surut tanpa tindakan untuk mengatasinya. Meskipun tidak diterbitkan statistik yang tepat akan nilai pembaziran ubat yang berlaku di fasiliti kesihatan di Malaysia, namun pembaziran sebegini tidak harus dibiarkan terus berlaku.

INFORMASI TEPAT DAN PANTAS

Kepentingan kefahaman pesakit dalam menggunakan ubat-ubatan mereka dalam rawatan penyakit yang dihadapi tidak boleh diambil ringan. Selain berhubung terus dengan pengamal perubatan yang bertauliah, pesakit boleh mendapatkan informasi yang tepat dan pantas melalui :

  1. Laman Sesawang Bahagian Perkhimatan Farmasi : http://www.knowyourmedicine.gov.my/
  2. Laman Sesawang Bahagian Pendidikan Kesihatan : http://www.infosihat.gov.my

Video-video khususnya berkenaan penggunaan pen insulin juga boleh dimuat turun untuk panduan seisi keluarga.

Perjuangan ke arah PEMBAZIRAN UBAT SIFAR masih panjang, namun ia bermula dari langkah pertama. Mulakan sekarang!

Rujukan

  1. Institute for Public Health. The Fourth National Health and Morbidity Survey 2011 (NHMS IV 2011). Ministry of Health, Malaysia;2011.
  2. Clinical Practice Guidelines Management Of Type 2 Diabetes Mellitus(5th Ed.)
  3. Peyrot M, Barnett AH, Meneghini LF, Schumm-Draeger PM.Insulin adherence behaviours and barriers in the multinational   Global Attitudes of Patients and Physicians in Insulin Therapy study. Diabet Med. 2012;29(5):682–689.
  4. MA Hassali, S Azuwana,I Mohamed Izham, KA Harith,A. Mahmoud,S. Fahad, P. Subish The Characteristics of Drug Wastage at the Hospital, Tuanku Jaafar Seremban, Malaysia: A Descriptive Study.
  5. Mengurangkan Jumlah Lebihan Katrij Insulin Yang Tidak Digunakan Oleh Pesakit Diabetes di Klinik Kesihatan di Melaka ; Anida et al. Malaysian Journal of Public Health Medicine (Supplement 1) 2017.

 

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Artikel ini diterbitkan sempena Hari Diabetes Sedunia pada 14 November 2017.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box