Mungkin ada segolongan kecil dari anda yang pernah membaca artikel saya mengenai kelenjar leher yang bengkak di MMG (https://www.mmgazette.com/bengkak-kelenjar-leher-perlukah-saya-risau-dr-ahmad-nordin/). Saya ada menyatakan bahawa kelenjar tersebut boleh menjadi satu struktur yang keras kepada lembut yang berisi nanah.
Saya ingin memberi peringatan kepada sesiapa yang sedang menjamu selera sekarang, anda mungkin hilang selera makan selepas melihat imej-imej selepas ini.
Keadaan ini biasanya bermula dengan bengkak kecil yang menyakitkan dan sejurus itu akan adanya demam. Kadangkala mungkin terdapatnya sakit gigi , sakit tekak, susah menelan, jangkitan kulit kepala atau gejala kepala dan leher yang lain- bergantung dengan tempat asal jangkitan.
Kita perhatikan di sini (imej 1), leher kiri bengkak dan merah. Kami tandakan di lapisan kulit di mana belahan akan dilakukan.
Kami biasa menjalankan imbasan Computed Tomography (CT scan) untuk menganalisa sejauh mana kumpulan nanah tersebut dan untuk memastikan tiada struktur utama di leher termasuk dalam kandungan nanah (imej 2). Ini memandangkan wujudnya pelbagai ruang di leher yang berhubung antara satu sama lain di leher.
Pembedahan biasanya dijalankan dengan bius penuh. Kawasan pembedahan disterilkan dengan ‘povidone iodine’ dan dilapis dengan kain. (Imej 3)
Belahan pertama dilakukan dengan pisau tajam di kulit. (Imej 4)
Pembedah seterusnya dilakukan dengan mesin diatermi (imej 5). Ini mengurangkan kesan perdarahan. Saya pernah menyatakan kegunaan mesin diatermi dalam artikel tonsil saya sebelum ini ( https://www.mmgazette.com/pembedahan-tonsil-bagaimanakah-caranya-dr-ahmad-nordin/ )
Bahagian sisi kulit ditarik dengan ‘retractor’. Pembedahan diteruskan sehingga kapsul nanah ditemui. Satu belahan kecil akan dilakukan. Setelah lapisan kapsul tersebut bocor, nanah akan mencurah keluar. Satu sampel kultur dan sensitiviti bakteria akan diambil dengan putik kapas steril dan akan disimpan di media yang sesuai sebelum dihantar ke makmal (imej 6)
Belahan dalam kemudian dilebarkan dengan ‘artery forcep’ yang tumpul untuk memudahkan lebihan nanah melimpah keluar (imej 7). Dalam pesakit ini, lebih kurang 30ml nanah dikeluarkan.
Kumpulan nanah biasanya ada beberapa ruang terpisah oleh beberapa selaput nipis. Ruang tersebut perlu dipecah untuk mengeluarkan kumpulan nanah dari ruang-ruang yang lebih kecil ini. Cara dengan menggunakan jari bersarung tangan adalah cara yang selamat untuk mengelakkan kecederaan pada struktur utama di sekelilingnya (imej 8)
Ruang nanah tersebut dicuci dengan cecair steril untuk membersihkan nanah dan darah. Ini dilakukan berulang kali sehingga cecair yang keluar menjadi jernih (imej 9).
Seterusnya, kain kasa reben (ribbon gauze) diletakkan ke dalam ruang kosong tersebut (imej 10). Ini mencegah ruang tersebut dari menjadi sempit. Ruang ini perlu ada tempat untuk bendalir atau lebihan nanah mengalir dalam beberapa hari berikutnya. Jika kulit tersebut tutup terlalu awal, nanah akan terperangkap dan masalah yang sama akan berulang.
Akhirnya, luka tersebut ditutup dengan kain kasa dan ‘pressure dressing’ (imej 11). Luka tersebut akan dibuka untuk pemeriksaan pada hari berikutnya.
Cucian luka akan dilakukan setiap hari. Setelah luka tersebut bersih dan demam telah reda, pesakit dibenarkan pulang. Dia perlu pergi ke klinik untuk mencuci luka setiap hari sehingga luka tersebut menjadi bersih. Dengan penjagaan rapi, kebanyakkan luka akan tutup dan sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan jahitan.
Saya berharap saya telah memberi sedikit pengetahuan dan juga mengekalkan selera makan bagi segelintir dari kalangan pembaca MMG.
Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- http://www.entslc.com/neck-abscesses accessed
- http://www.throatdisorder.com/surgeries/neck-abscess-incision-and-drainage
Assalamualaikum..Pada 20/6/2014 saya telah menjalani pembedahan seperti yang di atas di hospital pantai. Saya perlu datang ke klinik tiap 2 hari untuk dressing sehingga pada 6/7/2014 doktor mendapati lymph node saye di keliling luka masih bengkak.FNAC telah dilakukan. Untuk pengetahuan doktor biopsy dan FNAC telah dilakukan sebelum pembedahan dan keputusan mendapati saya bebas dari kanser dan TB. Apa yang merunsingkan adalah saya mendapati leher saya rasa tegang dan sakit ketika hendak mendongak mahupun tegak. Apakah harus dilakukan? Perlukah saya mendapatkan rawatan fisioterapi? Dan apakah kemungkinan bengkak pada leher saya belum surut?Terima kasih doktor.
Waalaikumussalam Noorhaezah,
Alhamdulilah tiada kanser atau TB dikesan. Biasanya luka tersebut akan tutup dengan sendirinya dalam beberapa minggu. Ada juga patut berjumpa doKtor ENT semula sekiranya masih ada bengkak dalam beberapa minggu akan datang. Kemungkinan ujian lanjut atau FNAC ulangan perlu dilakukan sekiranya bengkak nodus limfa lebih dari 1cm, berganting dengan pendapat pakar anda.
Leher biasanya agak tegang kesan dari jangkitan leher dan proses pemulihan tisu dengan pembentukan tisu parut. Kami tidak menghantar pesakit secara rutin ke fisioterapi, tetapi sekiranya anda risau, anda boleh berjumpa fisioterapi apabila luka tersebut sudah sembuh/ tutup. Anda boleh melakukan regangan/ stretching sendiri secara ringan jika anda boleh.
Bengkak tersebut mungkin berulang sekiranya anda menghidapi kanser, TB atau kencing manis. Ujian ulangan perlu dilakukan sekiranyanya berulang untuk mengecualikan penyakit tadi dan penyakit lain yang amat jarang berlaku. Insyaallah anda akan sembuh seperti majoriti pesakit yang lain.