Pemeriksaan pergigian dan rawatan pergigian akibat gigi rosak atau sakit tidak terkecuali berlaku pada setiap individu yang sedang menjalani ibadah puasa. Setiap kali mengunjungi klinik gigi, persoalan yang selalu ditanya ialah “batal ke puasa kalau saya buat rawatan gigi”. Rawatan pergigian secara amnya, tidak dianggap sebagai pekara yang boleh membatalkan puasa.
Pekara rutin yang selalu dilakukan di klinik pergigian dan tidak menyebabkan batal puasa ialah:
- Pemeriksaan pergigian
- Tampalan gigi
- Rawatan akar gigi
- Membuat gigi palsu termasuklah pengambilan acuan gigi
- Pengambilan x-ray mulut
- Pemberian ubat bius sebelum mencabut gigi
- Cabutan gigi
- Tertelan air liur semasa rawatan
- Berkumur
- Berus dan flos gigi
- Scaling (membuang karang gigi)
- Prosedur korona dan jambatan
Mulut yang berbau akan menyebabkan orang sekeliling tidak selesa dengan kita. Ini selalunya terjadi jika kebersihan mulut tidak dijaga dengan baik. Tambahan pula jika pesakit mempunyai masalah gusi. Jika berpuasa, bau mulut akan lebih teruk kerana kekurangan air liur. Janganlah disebabkan puasa, kita membiarkan gigi kita tidak digosok sehingga menimbulkan bau mulut yang tidak menyenangkan orang sekeliling. Justeru itu pesakit yang mempunyai masalah gusi digalakkan mengamalkan tabiat kebersihan mulut yang optimum.
Dalam Islam, galakan bersugi/memberus gigi setiap kali solat adalah asas dalam amalan Muslim tanpa mengira sama ada berpuasa atau tidak.
Daripada sudut yang lain pula, jika rawatan pergigian memudaratkan pesakit yang berpuasa, contohnya pembedahan gigi bongsu atau peletakan implan pergigian, mereka dikategorikan orang yang sakit dan diharuskan untuk berbuka. Prosedur sedemikian memerlukan pesakit untuk mengambil ubat selepas rawatan seperti ubat antibiotik atau ubat tahan sakit.
Islam itu adalah agama yang mudah dan tidak membebankan pengikutnya. Islam juga agama yang sangat mementingkan kebersihan dan juga kesihatan. Justeru itu, diharapkan segala kekeliruan tentang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian dalam bulan puasa dapat difahami. Janganlah disebabkan puasa, kita abaikan kebersihan mulu, dan meludah merata-rata. Janganlah disebabkan puasa kita sanggup menanggung sakit gigi. Datanglah ke klinik pergigian seperti biasa.
Selamat berpuasa.
Dr. Anis Ezrina adalah seorang pakar pergigian restoratif yang sangat mementingkan pendidikan pesakit terhadap masalah pergigian. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]