Hari ini, saya membantu pakar pembedahan membuang kes ketumbuhan di testis di bilik pembedahan. Lelaki itu berusia dalam lingkungan 35 tahun.
Kata pakar yang melakukan pembedahan, golongan lelaki sepatutnya peka dengan keadaan diri sendiri dan harus melakukan pemeriksaan-sendiri testis secara berkala. Adalah dinasihatkan supaya pemeriksaan sendiri dilakukan setiap bulan, ini sama seperti ‘self-breast examination’ yang dilakukan oleh wanita.
Seperti ketumbuhan di payudara, ketumbuhan di testis, terutamanya kanser, adalah merbahaya dan boleh meragut nyawa jika terlewat dalam mendapatkan rawatan. Kes ini biasanya berlaku pada golongan lelaki berusia 15-35 tahun dan boleh merebak dengan pantas.
Secara umumnya, ketumbuhan di testis ini tidak diketahui puncanya tetapi ia boleh berlaku disebabkan trauma pada testis, jangkitan kuman atau pengaruh hormon pada sel kanser.
Namun terdapat beberapa situasi di mana kanser testis lebih cenderung terjadi :
- Testis tidak turun ke dalam kantung testis (skrotum) sebelum lahir. Keadaan ini dipanggil sebagai ‘undescended testes’
- Sejarah keluarga menghidap kanser testis
- Sejarah menghidap kanser testis di satu belah testis sebelum ini
- Perkembangan abnormal testis, zakar atau buah pinggang semasa kecil
Kebiasaannya, seseorang individu akan perasan sesuatu yang ganjil apabila mereka mendapati ada pembesaran luar biasa pada testis tetapi tidak ada rasa sakit. Akan tetapi, ada juga situasi di mana mereka mengadu sakit dan akan merasa kantung zakar sedikit berat. Ketumbuhan testis juga selalunya berlaku pada sebelah bahagian testis sahaja.
KAEDAH PEMERIKSAAN SENDIRI TESTIS
Pertama : Pemeriksaan sendiri perlu dilakukan dihadapan cermin. Pegang sebelah bahagian testis dan periksa menggunakan tangan satu lagi. Anda juga boleh melakukan pemeriksaan selepas mandi kerana kantung zakar anda dalam keadaan lembut dan ‘relax’ semasa itu.
Kedua : Kenal pasti saiz testis. Kedua-duanya mestilah lebih kurang sama. Dalam keadaan normal, salah satu testis akan tinggi sedikit (biasanya sebelah kiri) dan saiz kedua-duanya adalah sedikit berbeza antara satu sama lain. Kedua-dua testis juga terpisah antara satu sama lain.
**Anda perlu ambil perhatian jika salah satu kelihatan luar biasa besarnya.
Ketiga : Lakukan pemerikaaan secara memutar sisi ke sisi testis anda. Anda cuba rasa jika ada bentuk luar biasa, atau benjolan luar biasa pada kantung kedua-dua testis.
**Ketika pemeriksaan, anda boleh rasa struktur lembut seperti tiub getah di bahagian atas testis. Struktur itu dipanggil epididimis. Tiub ini akan mengalirkan air mani dan sperma semasa ejakulasi.
Keempat :Jika anda rasa ketulan keras dan sensasi seperti kegatalan luar biasa, keluaran discaj berwarna dengan bau kurang enak, anda perlu segera berjumpa dengan doktor.
APA PERLU ANDA LAKUKAN JIKA MENJUMPAI KETULAN ATAU ABNORMALITI ?
Dapatkan pemeriksaan segera daripada doktor !
Saya masih ingat lagi satu kes, di mana pesakit datang selepas 3 bulan pembedahan membuang sebelah testisnya. Sel kansernya telah merebak menjadi lebih agresif akibat lambat mendapatkan rawatan. Pesakit tersebut memilih rawatan tradisional dan tidak pergi ke temujanji yang ditetapkan.
Kanser testis dapat diubati secara sepenuhnya dan dapat mengelakkan ianya daripada merebak ke organ lain jika anda mendapatkan rawatan segera.
Siasatan lanjut melalui ‘ultrasound scan’ atau CT scan boleh dilakukan dan jika keputusan menunjukkan terdapat ketumbuhan, kebiasaannya pembedahan membuang sebelah testis akan dilakukan.
Rawatan lain seperti kemoterapi dan radioterapi juga akan dijalankan jika ia masih boleh dikawal.
Nota kaki:
Anda masih lagi boleh memberikan zuriat kepada pasangan walaupun mempunyai satu testis sahaja.
Penulis :
Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah
(Jururawat Terlatih yang bertugas di dewan bedah dan mempunyai minat dalam bidang penulisan)
Kini di dalam tahun terakhir Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan (Kepujian) di Universiti Mahsa.
Dr Anis Nabillah Mohd Azli
(Pegawai Perubatan Pembedahan di PPUKM)
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]