Salah satu kaedah untuk mengawal paras gula dalam darah di kalangan pesakit kencing manis ialah melalui pengambilan insulin. Insulin merupakan hormon yang terdapat di dalam badan manusia yang bertindak memastikan gula yang larut dalam darah diserap masuk ke dalam lemak dan otot, seterusnya membolehkan gula tersebut digunakan untuk menghasilkan tenaga.
Puasa merupakan ibadah yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Ramadhan. Di Malaysia, tempoh seseorang Muslim berpuasa kebiasaannya antara 12-14 jam, bergantung kepada lokasi sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak. Bagi pesakit kencing manis, sekiranya keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan, mereka dibolehkan untuk tidak berpuasa. Walaubagaimanapun, berdasarkan satu kajian bertajuk Epidemiologi Diabetes dan Ramadan, ramai pesakit kencing manis memilih untuk berpuasa. Terdapat beberapa cabaran dan masalah yang mungkin timbul apabila pesakit kencing manis memilih untuk berpuasa seperti dehidrasi (kehilangan air dalam badan), hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah) atau hiperglisemia (paras gula berlebihan dalam darah). Oleh demikian, pengetahuan berkenaan penggunaan insulin semasa berpuasa merupakan perkara yang penting supaya pesakit tidak mengalami kesan buruk yang mungkin timbul semasa berpuasa.
Berdasarkan kajian Epidemiologi Diabetes & Ramadhan,terdapat peningkatan jumlah komplikasi di kalangan pesakit kencing manis jenis I dan II yang berpuasa, seperti mengalami kesan hipoglisemia atau hiperglisemia yang teruk. Oleh demikian terdapat dua aspek penting dalam pengurusan pesakit yang menggunakan insulin yang ingin berpuasa iaitu pengubahsuaian dos & waktu untuk mengambil insulin dan pemantauan paras gula dalam darah secara bersendirian di rumah.
Sebagai contoh, sekiranya pesakit mengambil insulin pracampur (kod warn: coklat) pada kadar 32 unit pagi dan 28 unit malam, pada bulan puasa dos insulin tersebut akan disilangkan di mana dos pada waktu pagi perlu diambil pada waktu berbuka puasa, dan dos pada waktu malam perlu diambil pada waktu sahur. Bagi sesetengah pesakit pula, kuantiti dos insulin yang diambil sewaktu sahur mungkin perlu dikurangkan sebanyak 20%-50% untuk mengelakkan hipoglisemia. Bagi pesakit yang mengambil insulin melalui kaedah basal bolus (menggunakan dua jenis insulin: insulin kod warna kuning & hijau), jumlah pengambilan insulin mungkin perlu dikurangkan daripada empat kali sehari kepada tiga kali sehari. Kaedah untuk mengubahsuai jumlah dan kekerapan dos insulin adalah berbeza daripada satu individu dengan individu yang lain, oleh demikian pesakit dinasihatkan agar berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan kaedah yang paling sesuai dan ideal untuk pesakit itu sendiri.
Selain daripada pengubahsuaian dos & waktu untuk mengambil insulin, pesakit diabetes turut digalakkan untuk membeli alat pengukur paras gula dalam darah dan melakukan pemeriksaan paras gula dalam darah secara kerap sekiranya mereka ingin berpuasa. Berdasarkan Garispanduan Praktikal Untuk Pengurusan Diabetes Semasa Ramadan yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia, pesakit yang terkelompok dalam kategori berisiko sederhana dan berisiko tinggi dinasihatkan agar memantau paras gula dalam darah mereka sebanyak 5 kali sehari iaitu sebelum sahur, 2 jam selepas sahur, tengahari, sebelum berbuka puasa dan 2 jam selepas berbuka puasa. Pesakit juga digalakkan supaya tidak meneruskan puasa mereka sekiranya paras gula mereka < 3.9 mmol/l atau >16.7mmol/l pada bila-bila masa sewaktu berpuasa. Pesakit juga digalakkan untuk berbuka sekiranya mereka pitam, berasa keliru atau pening kepala.
Kawalan terhadap paras gula dalam darah masih perlu diberikan perhatian yang khusus oleh pesakit kencing manis semasa berpuasa. Oleh demikian, para pesakit kencing manis digalakkan supaya merujuk doktor dan ahli farmasi sebelum meneruskan niat untuk berpuasa.
Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]