“Stok ubat tahan sakit saya di rumah dah habis. Boleh doktor bagi yang baru? Saya terlampau kerap pening kepala dan demam”
Situasi sebegini berlaku hampir setiap hari. Ramai di kalangan masyarakat kita terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit bagi setiap kondisi patologikal yang dialami, tanpa mengira tahap keterukan kondisi tersebut. Contoh kondisi lazim yang memerlukan ubat tahan sakit adalah seperti migrain, sakit disebabkan keradangan seperti osteoarthritis, sakit pinggang, sakit otot, sakit belakang yang disebabkan oleh disk tergelincir atau ‘slipped disc’ dan juga kesakitan akibat penyakit kronik seperti kanser.
Bagi mengawal dan merawat kesakitan secara efektif, anda perlu lah menyesuaikan jenis ubat dengan tahap kesakitan. Ingatlah bahawa tiada ubat tahan sakit tunggal yang boleh meredakan semua jenis kesakitan. Ubat yang digunakan untuk kesakitan sederhana adalah tidak efektif untuk kesakitan yang teruk. Jika ubat tahan sakit diambil secara berpanjangan serta melebihi dos yang disyorkan, ini boleh mengakibatkan pelbagai kesan sampingan, ketagihan dan juga tolerans. Oleh yang demikian, amatlah penting untuk kita mengenal pasti jenis-jenis dan kelas ubat tahan sakit, kegunaannya, dos dan kesan sampingan.
Ubat tahan sakit yang juga dikenali sebagai analgesik secara generalnya boleh dikelaskan kepada tiga kumpulan utama iaitu; paracetamol, ubat anti-radang bukan steroid atau ‘non-steroidal anti-inflammatory drugs’ (NSAID) dan opioid.
JENIS-JENIS ANALGESIK
Paracetamol (acetaminophen) yang juga lebih dikenali dengan ‘trade name’ nya iaitu Panadol adalah ubat tahan sakit yang paling dikenali umum dan digunakan secara meluas kerana ia boleh didapati tanpa preskripsi doktor. Ia boleh bertindak sebagai analgesik dan juga anti-piretik (agen yang mengurangkan suhu badan). Paracetamol boleh digunakan untuk jenis kesakitan yang ringan dan sederhana seperti sakit kepala, sakit belakang, sakit gigi, demam selesema, sakit menstrual, sakit sendi dan sakit otot. Paracetamol disyorkan untuk digunakan bersama ubat tahan sakit yang lebih kuat untuk kesakitan yang lebih teruk. (Rujuk panduan pengambilan analgesik di bawah). Dos paracetamol yang selamat adalah 1 tablet bersamaan 500mg, diambil sebanyak 2 tablet setiap 4-6 jam. Dos maksima adalah sebanyak 8 tablet/24jam.
Oleh kerana penggunaan paracetamol adalah selamat secara relatif, ia seringkali diambil mudah. Perlulah diingatkan bahawa, paracetamol tidak boleh diambil melebihi daripada dos maksima iaitu 4g/24jam. Antara kesan sampingan pengambilan paracetamol adalah ruam, kegatalan dan reaksi alahan. Pengambilan paracetamol melebihi dos maksima boleh mengakibatkan toksisiti dan seterusnya kegagalan hepar serta kematian. Risiko ini meningkat dengan pengambilan alkohol secara kerap.
Ubat tahan sakit yang kedua lazim digunakan adalah ‘non-steroidal anti-inflammatory drugs’ (NSAIDs). Berikut merupakan ringkasan jenis klasifikasi, contoh, kegunaan dos dan kesan sampingan NSAIDs.
Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) | |||
Klasifikasi | Prototaip | Tidak selektif | Selektif COX-2 |
Contoh dan trade name lazim | Aspirin (Aspirin Bayer) | Ibuprofen (Brufen)
Naproxen (Vimovo) Mefenamic acid (Ponstan) Diclofenac (Voltaren) Piroxicam Meloxicam (Mobic) |
Celecoxib (Celebrex)
Etoricoxib (Arcoxia) Parecoxib (Dynastat) |
Kegunaan | Melegakan sakit kepala, sakit gigi, sakit otot, neuralgia dan simptom demam selesema.
Juga boleh digunakan sebagai anti-platlet bagi mencegah trombosis |
Untuk kesakitan ringan, sederhana dan teruk.
Melegakan kesakitan sederhana akibat migrain, sakit gigi, pos-pembedahan. Melegakan kesakitan akibat keradangan seperti rheumatoid, osteoarthritis, spondilitis, sakit otot, sakit belakang, serangan gout akut, kecederaan fizikal.
|
Melegakan kesakitan akut dan kronik.
Melegakan kesakitan sederhana dan teruk akibat keradangan seperti osteoarthritis, rheumatoid, spondilitis, sakit gigi, kesakitan pos-pembedahan. |
Dos | 500 mg x 1-2 tablet tds
Dos maksima: 8 tablet/24 jam |
Ibuprofen : 400 mg tds
Naproxen : 500 mg bd Mefenamic acid :500 mg tds Diclofenac : 50-200 mg qd Piroxicam : 10-20 mg qd Meloxicam : 7.5-15 mg qd |
Celecoxib : 200 mg qd
(Dos maksima: 800 mg/24 jam) Etoricoxib : 30-120 mg qd (Dos maksima: 120 mg/24 jam) Parecoxib : 40 mg IM/IV (Dos maksima 80 mg/24jam) |
Kesan sampingan | Pendarahan perut, ulser perut, alahan,
trombositopenia, salicylism. |
Ulser perut, gastritis, anemia, ruam, edema, loya, muntah, diarrhea, kepeningan, vertigo, dan gangguan visual. | Kurang kesan sampingan terhadap perut berbanding aspirin dan NSAID tidak selektif (kerana hanya bertindak ke atas enzim COX-2), alahan, ruam, kepeningan. |
bd: dua kali sehari; tds: tiga kali sehari; qd: satu kali sehari
qds: empat kali sehari
IM: suntikan intramuskular; IV: suntikan intravenus
Analgesik jenis opiod juga dikenali sebagai analgesik narkotik yang bertindak ke atas reseptor opioid di otak dan saraf tunjang. Analgesik jenis ini adalah ubat tahan sakit yang paling kuat, yang digunakan untuk mengawal kesakitan kronik seperti sakit akibat penyakit terminal dan juga kesakitan yang tidak reda dengan pengambilan paracetamol dan NSAID. Berbeza dengan paracetamol dan NSAIDs, penggunaan opioid secara berpanjangan dan dos yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang lebih serius serta boleh menyebabkan kebergantungan, ketagihan dan juga tolerans. Tolerans dicirikan dengan keperluan meningkatkan dos untuk mencapai kelegaan kesakitan. Kebergantungan terhadap opioid adalah tindak balas semula jadi tubuh dan ia tidak membawa maksud yang sama dengan ketagihan. Ketagihan dicirikan oleh tingkah laku seperti penggunaan opioid tanpa kawalan serta mengambil secara berterusan tanpa mengira kesan kesan buruk yang akan dihadapi. Ini seterusnya boleh mendatangkan maut. Oleh yang demikian, amatlah penting untuk kita mengenal pasti jenis, kegunaan, dos dan kesan sampingan agar pengambilan opioid dilakukan secara terkawal.
Opioid boleh dikelaskan berdasarkan kekuatan aktivitinya seperti berikut;
Analgesik opioid | |||
Klasifikasi | Opioid kuat | Opiod sederhana | Opiod lemah |
Contoh | Morphine
Pethidine Fentanyl |
Buprenorphine
Oxycodone |
Codeine (digabung bersama paracetamol)
Tramadol |
Kegunaan | Mengawal kesakitan sederhana dan teruk seperti pos-pembedahan
Sebagai agen tambahan kepada ubat bius |
Mengawal kesakitan teruk yang tidak dibaikpulih oleh analgesic bukan opioid. | Mengawal kesakitan ringan, sederhana dan teruk, yang tidak dibaikpulih oleh analgesik bukan opioid. |
Dos | Morphine: 5-20mg IM/SC setiap 4 jam
Pethidine: 25-100 mg SC/IM atau 25-50mg IV setiap 3-4jam. Fentanyl: 50-100mcg IM |
Buprenorphine: 5mcg IM/IV.
Dos maksima: 0.3mg Oxycodone: 5mg setiap 4-6 jam |
Codeine: 8mg setiap 4-6 jam.
Tramadol : 50-100mg. Dos maksima: 400mg
|
Kesan sampingan | Respiratory depression (gangguan respiratori seperti kesukaran bernafas), loya, muntah, kepeningan, berpeluh, sembelit, sedasi, ketagihan dan tolerans. | Kepeningan, mulut kering, loya, muntah, ruam pruritus, gangguan sistem CNS dan gastrousus. | Loya, muntah, mulut kering, kepenatan. Kurang kesan gangguan pernafasan berbanding opioid kuat. |
IM: suntikan intramuskular; IV: suntikan intravenus; SC: suntikan subkutaneus
PANDUAN UMUM PENGAMBILAN ANALGESIK
- Kenal pasti jenis kesakitan
Analgesik tidak boleh diambil secara sebarangan. Jenis analgesik bergantung kepada jenis kesakitan yang dialami.
Kesakitan | Deskripsi dan contoh |
Kesakitan akibat keradangan (inflammation) | Disebabkan aktivasi kepekaan (sensitization) laluan nociceptive oleh mediator seperti sitokin.
Contoh: Kecederaan akibat terseliuh, rheumatoid, osteoarthritis, gout, spondilitis, sakit otot, sakit sendi, sakit belakang |
Sakit kepala | Terdapat beberapa jenis seperti migrain, tension, kluster dan sinus |
Kesakitan neuropatik | Disebabkan oleh kecederaan atau gangguan pada saraf seperti neuralgia, neuropati periferi |
Kesakitan nosiseptif | Kecederaan/kerosakan pada saraf nosiseptor seperti luka, luka terbakar, kepatahan. |
Kesakitan akibat penyakit kronik | Kanser. Kesakitan juga boleh disebabkan oleh rawatan kemoterapi. |
- Kenal pasti masalah kesihatan lain yang dialami sebelum mengambil analgesik.
Pesakit yang perlu memastikan maklumat ubat lain yang diambil bersama dan sejarah penyakit dimaklumkan kepada doktor sebelum mengambil ubat analgesik supaya pemilihan jenis analgesik yang sesuai dapat ditentukan. Sebagai contoh, pesakit yang mempunyai trombosis yang mengambil warfarin adalah tidak digalakkan mengambil NSAIDs. Ini kerana interaksi kedua-dua jenis ubatan ini boleh menyebabkan risiko pendarahan yang teruk.
- Kenal pasti intensiti kesakitan
Selain jenis kesakitan, intensiti kesakitan juga memainkan peranan penting dalam mementukan jenis analgesik. Ia boleh dicirikan berdasarkan panduan skala kesakitan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, di mana “0” = tidak sakit dan “10” = sakit kuat. Pemilihan analgesik berdasarkan intensiti kesakitan pula boleh dirujuk kepada panduan tangga analgesik oleh WHO seperti berikut;
Sumber: Twycross R, Lickiss N. 1996. Pain control and the World Health Organization Analgesic Ladder. JAMA: 275: 835.
Untuk kesakitan ringan, pesakit disyorkan mengambil paracetamol atau NSAIDs tidak selektif seperti ibuprofen. Untuk kesakitan sederhana atau kesakitan yang tidak reda dengan pengambilan paracetamol/NSAIDs, opioid lemah/ sederhana boleh diambil bersama paracetamol atau NSAID. Untuk kesakitan yang teruk, opioid kuat seperti morphine boleh digunakan. Jika kesakitan ini tidak berjaya diredakan, tambahkan analgesik bukan opioid.
Walau bagaimanapun, pemilihan analgesik bukanlah bergantung kepada tangga analgesik WHO semata-mata. Ia juga perlu mengambil kira faktor lain seperti interaksi ubat dan kesan sampingan.
- Memahami dos dan kesan sampingan ubatan
Sebelum mengambil apa jua jenis analgesik, amatlah penting bagi pesakit untuk mematuhi dos yang ditetapkan dan jangan sesekali menukar dos tanpa konsultasi doktor. Pesakit juga perlu memahami risiko kesan sampingan yang boleh terjadi. Apabila berlaku sebarang kesan sampingan, pesakit perlu berhenti mengambil ubat serta-merta dan dapatkan nasihat daripada pegawai perubatan.
- Amalkan gaya hidup yang sihat
Walaupun terdapat banyak jenis analgesik untuk merawat pelbagai kesakitan, amalan gaya hidup sihat adalah penting untuk memastikan pesakit tidak terlalu bergantung kepada analgesik secara berterusan. Pesakit perlu sentiasa mengambil diet yang seimbang, kurangkan pengambilan makanan yang berminyak, bergaram dan manis. Pesakit juga perlu melakukan aktiviti fizikal seperti fisioterapi dan senaman untuk memastikan kesihatan dan kekuatan tubuh badan.
Rujukan:
- Pain Management Handbook. Ministry of Health 2013. ISBN: 978-967-0399-38-6
- World Health Organization,(2009). WHO’s Pain Relief Ladder. who.int/cancer/palliative/painladder/en/
- MIMS Malaysia 2017.
Disediakan oleh,
Dr. Nadia Mohd Effendy,
Pakar Farmakologi dan pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]