Susu ibu merupakan diet terbaik buat bayi yang baru dilahirkan. Antara faedah penyusuan susu ibu kepada bayi di antaranya ialah susu ibu memberikan nilai nutrisi yang lebih baik berbanding susu formula, membantu melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan mengurangkan risiko alahan kepada bayi. Oleh demikian Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia, di mana semua ibu digalakkan menyusui anak mereka dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga enam bulan dan meneruskannya sehingga anak tersebut berumur 2 tahun. Pada umur 6 bulan, makanan pelengkap pula perlu dimulakan sebagai tambahan kepada susu ibu.
Walaupun terdapat kebimbangan berkenaan ubat yang diambil oleh ibu yang menyusukan anak berkemungkinan memberikan kesan terhadap anak yang sedang menyusu, buat masa kini cuma sedikit maklumat dan bukti klinikal yang ada berkenaan hal tersebut. Oleh demikian, potensi sesuatu ubat samada dapat memberikan kesan atau tidak terhadap anak yang menyusu boleh dijangka berdasarkan:
- Kuantiti ubat atau metabolit aktif ubat yang meresap ke dalam air susu dan diterima oleh anak yang menyusu (bergantung kepada ciri-ciri farmakokinetik ubat tersebut di dalam badan ibu e.g. peratus ubat yang diserap masuk ke dalam salur darah, peratus ubat yang dirembeskan ke dalam kelenjar susu dan separuh hayat ubat di dalam badan ibu)
- Tahap keberkesanan penyerapan, pengedaran dan perkumuhan ubat oleh anak yang menyusu
- Kesan ubat terhadap anak yang menyusu
Secara amnya, kuantiti ubat yang dipindahkan dari sistem peredaran darah ibu yang menyusukan anak ke dalam susu ibu jarang-jarang sekali mampu memberikan kesan kepada anak yang menyusu – terutamanya ubat-ubatan yang sukar diserap oleh saluran makanan dan ubat-ubatan yang disuntik melalui salur darah.
Walaupun demikian, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam kes sekiranya ubat yang dimakan oleh ibu yang menyusukan anak tersebut boleh meresap dan hadir dalam kuantiti yang signifikan di dalam air susu badan ibu tersebut. Contohnya:
- Ubat yang hadir di dalam susu ibu tersebut mungkin boleh menyebabkan reaksi alahan
- Ubat dari kumpulan statin, Fluvastatin, merupakan ubat yang dikumuhkan oleh hati. Sekiranya bayi yang menyusu tersebut merupakan bayi pra-matang atau mengalami jaundice (kekuningan), risiko untuk berlakunya kesan toksik ubat agak sedikit tinggi.
- Ubat jenis phenobarbital boleh menghalang refleks bayi untuk menyusu
Berikut merupakan jadual ubat-ubatan yang perlu diberi perhatian jika diambil oleh ibu yang menyusukan anak. Walau bagaimanapun suka untuk diingatkan di sini, maklumat yang dipaparkan di sini bukanlah maklumat yang lengkap dan muktamad. Para pembaca dinasihatkan agar menggunakan maklumat yang diberikan sebagai panduan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi berkenaan langkah terbaik untuk tujuan rawatan – sama ada perlu mengambil ubat tersebut dan menghentikan penyusuan anak, atau menghentikan penyusuan anak untuk tempoh tertentu atau penukaran terhadap rawatan/ubat alternatif yang lain.
Ubat | Keterangan |
Acarbose | Elakkan penyusuan |
Acetazolamide | Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan |
Acyclovir | Kuantiti signifikan di dalam air susu, syarikat pengeluar menyarankan penggunaan dengan berhati-hati |
Alkohol(terdapat di dalam beberapa jenis sediaan galenikal seperti Aqueous Morphine) | Pengambilan kuantiti yang banyak boleh memberi kesan kepada bayi dan mengurangkan kadar kekerapan bayi untuk menyusu |
Alfentanil | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan dalam tempoh 24 jam selepas ubat diambil |
Allopurinol | Dikesan di dalam susu ibu – kesan terhadap bayi tidak diketahui |
Amiodarone | Elakkan penyusuan |
Antihistamine(merangkumi ubat-ubatan untuk rawatan selsema,batuk dan alahan) | Syarikat pengeluar menyarankan penyusuan dielakkan sepanjang tempoh ubat diambil bagi ubat-ubatan berikut:
|
Aspirin | Elakkan penyusuan – risiko Reye’s Syndrome |
Atovaquone | Elakkan penyusuan |
Azithromycin | Elakkan penyusuan |
Barbiturates(e.g Phenobarbitone) | Elakkan penyusuan |
Captopril | Elakkan penyusuan |
Carbamazepine | Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan |
Cephalexin | Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah) |
Cefadroxil | Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah) |
Cefuroxime | Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah) |
Celecoxib | Elakkan penyusuan |
Clopidogrel | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Colchicine | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Corticosteroids(e.g. Prednisolone) | Kemungkinan tiada kesan terhadap bayi sekiranya dos maksimum prednisolone 40 mg sehari |
Cyclosporin | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Domperidone | Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan |
Enoxaparin | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Enalapril | Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan |
Felodipine | Elakkan penyusuan |
Itraconazole | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Ketoconazole | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Loperamide | Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan |
Mefenamic Acid | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Metronidazole | Elakkan penyusuan |
Methyldopa | Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan |
Mycophenolate Mofetil | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Penicillin(e.g. Amoxicillin, Cloxacillin) | Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah) |
Perindopril | Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Statin (e.g. Atorvastatin, Fluvastatin) |
Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan |
Sulphonamides (e.g. Sulphamethoxazole) |
Elakkan penyusuan sekiranya anak mengalami demam kuning |
Vitamin D | Langkah berjaga-jaga sekiranya diambil dalam dos yang tinggi – boleh mengakibatkan hypercalcaemia terhadap anak yang menyusu |
Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- British National Formulary