Pengenalan – Apa itu Angiografi koronari?
Pada asasnya, angiografi koronari ialah satu prosedur yang membolehkan pakar kardiologi untuk menandakan kawasan-kawasan tersumbat di dalam pembuluh darah dalam jantung. Prosedur ini dilakukan menggunakan imbasan X-ray secara langsung bersama cecair kontras untuk menampakkan pembuluh darah yang ingin dilihat dengan jelas. Prosedur ini membantu doktor menggambarkan tahap keterukan penyakit dan sejauh mana pembuluh darah tersumbat dan ini membolehkan doktor memutuskan tindakan pencegahan lanjut.
Mengapakah Angiografi Koronari dilakukan?
- Keputusan ujian “Exercise stress test” yang positif – perubahan pada rakaman elektrik jantung ketika peningkatan aktiviti menunjukkan potensi koronari tersumbat.
- Serangan jantung terbaru
- Alat saringan elektif sebelum menjalani pembedahan injap jantung
- Gejala sakit dada akibat penyakit jantung yang tidak dapat dijelaskan
- Pemeriksaan untuk kegagalan jantung
- Ulangan sakit dada akibat penyakit jantung beberapa tahun selepas pembedahan pintas untuk menentukan halangan dalam graf
Prosedur Angiografi Koronari
Berikut ialah apa yang boleh dijangka sepanjang prosedur:
- Agen pengebas – anestetik setempat – akan disuntik di lokasi cucukan supaya anda tidak berasa sakit. Beberapa saat akan berlalu sebelum doktor memasukkan jarum dan memulakan prosedur angiografi koronari.
- Wayar panduan yang panjang akan dimasukkan ke dalam lubang cucukan jarum. Wayar ini dipandu ke jantung. Dengan kendalian yang cermat, wayar tersebut ditambat pada pembuluh darah dan cecair kontras dimasukkan untuk menerangkan pembuluh darah.
- Sepanjang prosedur, anda dibenarkan bercakap dengan doktor. Sedikit rasa tidak selesa dan debaran sekali-sekala mungkin dirasai ketika prosedur dan sesetengah pesakit melaporkan rasa pedih di bahagian dada apabila cecair kontras dimasukkan. Ketika prosedur, anda mungkin diminta untuk menarik nafas dalam, batuk, atau menggerakkan lengan untuk membantu doktor dalam aspek teknikal prosedur tersebut.
Komplikasi
Rasa sakit, pendarahan, dan lebam setempat dijangka berlaku pada lokasi pencucukan dan sekali-sekala boleh berlaku pembengkakan. Perkara-perkara akan sembuh dalam masa lebih kurang seminggu.
Komplikasi sistemik lain termasuk :
- Serangan jantung (kurang daripada 1 dalam 1000 pesakit)
- Strok (kurang daripada 1 dalam 1000 pesakit)
- Koyak pada pembuluh nadi utama jantung
- Kadar denyutan jantung dan irama yang tidak sekata
- Alahan kepada cecair kontras
- Kerosakan buah pinggang disebabkan cecair kontras
- Jangkitan di lokasi cucukan
- Pendedahan radiasi
Meskipun membaca senarai komplikasi mungkin membimbangkan sesetengah pihak, pesakit perlu tahu bahawa risiko-risiko tersebut sangat jarang berlaku ketika keadaan elektif berbanding situasi kecemasan. Oleh kerana keselamatan pesakit adalah keutamaan, pakar kardiologi dan ahli kumpulannya akan memerhatikan tanda-tanda awal komplikasi dan mengelakkannya. Sekiranya terdapat sebarang masalah, prosedur akan dihentikan.
Keputusan
Keputusan pemeriksaan angiografi koronari tersedia untuk anda serta merta. Pakar kardiologi biasanya mengiringi anda keluar daripada suit angiografi dan memberitahu dapatan pemeriksaan tersebut dan menjelaskan cara pengurusan terbaik sama ada ubat-ubatan oral, angioplasti koronari, atau pembedahan pintasan jantung.
Selepas prosedur
Disarankan untuk hindar daripada mengangkat barangan berat menggunakan tangan di mana cucukan pembuluh darah dilakukan, dan serta-merta ke hospital apabila berlaku pendarahan.
Rumusan
Rumusannya, angiografi koronari merupakan prosedur yang selamat dengan risiko minima.
Dr. Chiam Keng Hoong seorang pakar perubatan dalaman dan pemegang MRCP yang bertugas di Sabah. Rencana ini diterjemahkan dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/the-abcs-of-a-coronary-angiography-dr-chiam-keng-hoong/ oleh Nur Nadhirah.
Rujukan
- Morteza Tavakol MD et. al; Risks and Complications of Coronary Angiography: A Comprehensive Review; Global Journal of Health Science; Vol. 4, No. 1; January 2012
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]