Pengenalan Kepada Khidmat Dialisis Peritoneal – Mark Cheong

Sumber gambar: National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases – NIH

 

Apakah Itu Dialisis Peritoneal?

Dialisis peritoneal (DP) adalah rawatan dialisis yang digunakan sebagai alternatif kepada hemodialisis (HD) bagi pesakit yang mengalami penyakit buah pinggang teruk. Ketika dialisis peritoneal, peritoneum pesakit yang terletak di bahagian abdomen bertindak sebagai lapisan yang menapis cecair dan bahan-bahan lain yang terlarut dalam darah. Bahan kumuh dari badan pesakit dikeluarkan selang semalam ketika pesakit sedang tidur (dialisis peritoneal automatik) atau menerusi penukaran kerap sepanjang hari (dialisis peritoneum ambulatori berterusan).

DP sering dijalankan sebagai alternatif kepada hemodialisis. Manfaat utama DP ialah pesakit tidak perlu ke pusat perubatan dengan kerap untuk dialisis. Komplikasi utama DP ialah jangkitan.

Terdapat dua jenis dialisis peritoneal :

1) Dialisis Peritoneum Ambulatori Berterusan

2) Dialisis Peritoneum Automatik

 

Dialisis Peritoneum Ambulatori Berterusan (DPAB)

Dengan Dialisis Peritoneum Ambulatori Berterusan (DPAB), pesakit perlu melakukan sendiri dialisis 3-5 kali sehari. Graviti akan mengalirkan dialisat keluar masuk dari rongga peritoneum menerusi sambungan tiub dan beg. DPAB memerlukan pesakit untuk menyambungkan tiub dan beg mengandungi dialisat steril kepada kateter peritoneum. Bag ini ditinggikan ke paras bahu, membolehkan larutan tersebut mengalir ke peritoneum. Bahan kumuh dan lebihan cecair mengalir dari darah menerusi membran peritoneal pesakit (lapisan abdomen) yang bertindak sebagai penapis, dan ke dalam dialisat. Apabila ini lengkap, semua cecair dan bahan kumuh dari rongga peritoneum pesakit disalir keluar dan digantikan dengan larutan segar.

 

Dialisis Peritoneum Automatik (DPA)

Dialisis peritoneum automatik (DPA) dilakukan oleh mesin yang dinamakan “cycler” ketika pesakit sedang tidur. Seperti DPAB, DPA menggunakan membran peritoneal pesakit sebagai penapis untuk mengeluarkan bahan kumuh dan cecair berlebihan dari darah pesakit kepada larutan dialisat. Mesin DPA mengawal secara automatik pengaturan masa pertukaran dan mengeluarkan larutan terpakai dan mengisi rongga peritoneal dengan larutan baru berdasarkan kadar pertukaran yang ditentukan. Untuk rawatan tambahan, larutan dialisis dibiarkan dalam rongga peritoneal pesakit seharian. Rongga peritoneal kebanyakan dewasa boleh mengandungi dua hingga tiga liter cecair.

Kebaikan dan Keburukan Dialisis Peritoneum

Walaupun dialisis peritoneum berfungsi hampir sama kepada hemodialisis, terdapat beberapa kebaikan dan keburukan yang membezakan dialisis peritoneum daripada hemodialisis.

 

Kebaikan

  • Menyesuaikan masa rawatan dialisis mengikut gaya hidup pesakit;
  • Tahap berdikari pesakit;
  • Lawatan ke unit dialisis berkurangan (biasanya sebulan sekali);
  • Dialisis dijalankan ketika masa tidur sesetengah pesakit;
  • Rawatan berterusan lebih ringan dan lebih mirip kepada fungsi semulajadi buah pinggang;
  • DP mudah alih dan lebih kebebasan;
  • Kurang pantang cecair dan pemakanan;
  • Tiada jarum diperlukan; serta
  • Kawalan tekanan darah yang lebih baik.

Keburukan

  • Pesakit perlu dilatih dengan baik;
  • Akses kateter tetap diperlukan;
  • Terdapat risiko jangkitan;
  • Sesetengah pesakit mungkin mengalami garis pinggang yang lebih besar (kerana membawa cecair tambahan); dan
  • Ruang penyimpanan diperlukan di rumah pesakit

Tambahan kepada kebaikan dan keburukan yang disenaraikan di atas, kebanyakan penyelidikan menunjukkan risiko relatif kematian pada pesakit di hemodialisis pusat perubatan berbanding dialisis peritoneal berubah dengan masa dengan risiko lebih rendah untuk dialisis peritoneal, terutama sekali dalam tiga bulan pertama dialisis. Kebaikan dari segi kemandirian dialisis peritoneal berterusan untuk 1.5-2 tahun, tetapi dengan masa, risiko kematian akibat peritoneal dialisis menjadi sama atau lebih besar daripada hemodialisis di pusat perubatan, bergantung pada faktor-faktor pesakit. Dengan itu, kemandirian dialisis peritoneal terbaik pada awal dialisis.

Kajian kebaikan dan keburukan dialisis peritoneal menunjukkan bahawa dialisis peritoneal boleh menjadi alternatif yang baik untuk pesakit yang memerlukan dialisis tetapi berhasrat untuk meneruskan aktiviti-aktiviti harian termasuk keupayaan untuk bekerja sepenuh masa. Dengan ini, kadar produktiviti pesakit-pesakit dialisis dapat ditingkatkan dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta terus menyara keluarga masing-masing.

Mr Mark Cheong seorang ahli farmasi yang kini bertugas di Kuala Lumpur. Beliau juga sedang mengikuti kursus ijazah kedoktoran dalam kesihatan awam. Maklumat lanjut boleh didapati di ruangan The Team. Rencana ini diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/introduction-to-peritoneal-dialysis-services-mr-mark-cheong/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan:

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box