Penggunaan Flos: Untuk Gigi Tahan Lebih Lama & Jangka Hayat Lebih Panjang – Dr Edward Tay

Mungkin ini pernah berlaku kepada anda?

Doktor gigi anda menasihatkan anda untuk menggunakan flos atau anda pernah membaca tentang manfaat penflosan. Anda pulang ke rumah dan cuba menggunakan flos. Anda mendapati ia agak sukar dan anda berputus asa.

Sekiranya ini yang berlaku pada anda, anda tidak keseorangan. Sebenarnya, kebanyakan orang sukar untuk mengamalkan pemflosan. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak menggunakan flos setiap hari. Dalam artikel ini, anda akan mengetahui manfaat kesihatan menggunakan flos, alat-alat pemflosan yang ada dan teknik untuk pemflosan yang lebih mudah.

Manfaat menggunakan flos

Sesetengah orang mungkin berfikir, kenapa pemflosan sering ditekankan? Bukankah memberus gigi sahaja sudah mencukupi? Bukankah pemflosan sekadar aktiviti nilai tambah? Fahaman tersebut salah. Pemflosan bukan sekadar aktiviti “tambahan”. Malahan, pemflosan adalah sama penting, mungkin lebih penting daripada memberus gigi. Ada kawasan yang tidak dapat dicapai oleh bulu berus gigi kita disebabkan oleh susunan gigi kita. Apabila kita makan, ada sisa makanan yang terlekat celah gigi kita. Malahan berus gigi yang terbaik pun tidak boleh menggantikan tugas flos. Terdapat plak yang terperangkap di bawah gusi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar yang perlu dikeluarkan. Kawasan tersebut adalah kawasan yang mudah terdedah kepada kerosakan gigi.

Gusi dan tulang alveolar (gusi) membentuk asas yang menyokong gigi. Maka anda tidak boleh mengabaikan aspek rutin kebersihan mulut jika anda mahu gigi anda bertahan lama.

Plak Gigi -> mengeras menjadi tartar -> Gingivitis -> Periodontitis -> Gigi menjadi goyah -> Kehilangan gigi

Pemflosan bukan sekadar untuk kebersihan mulut, malah kajian menunjukkan kaitan antara penyakit periodontal dengan isu kesihatan yang lain seperti:

  • Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)
  • Kadar kelahiran yang rendah untuk bayi yang baru lahir
  • Inflammatory bowel diseases (penyakit radang usus)

Malahan untuk warga tua, tabiat pergigian yang lebih baik berkait dengan jangka hayat yang lebih panjang. Ini bermakna sekiranya anda ingin memenjangkan tempoh hayat anda, anda perlu menggunakan flos.

Alat pemflosan

Dahulu kala, flos dibuat daripada gentian sutera yang dipintal untuk membentuk benang yang panjang. Pada masa kini, flos biasanya diperbuat daripada filamen nilon atau tali tangsi plastik yang selamat untuk gigi dan gusi apabila digunakan dengan betul.

Pergi ke mana-mana farmasi atau pasar raya dan anda akan melihat pelbagai jenis flos di pasaran.

 Berlilin atau Tidak Berlilin

Lapisan lilin membantu flos untuk meluncur melalui celah gigi anda dengan lebih mudah. Ini terpulang kepada kehendak anda. Jika ruang di antara gigi anda ketat atau anda memakai pendakap gigi, penggunaan flos berlilin mungkin membantu anda.

Berperisa atau tanpa perisa

Kebanyakan flos mempunyai bau pudina. Antara perisa flos yang popular termasuk gandapura (wintergreen) dan kayu manis (cinnamon).

Dengan Pemegang atau Tiada Pemegang

Sesetengah orang lebih suka menggunakan alat flos dengan pemegang untuk mengelakkan kotoran dan mungkin lebih mudah untuk mencapai bahagian belakang gigi.

Tap Gigi (Dental tape)

Lebih baik digunakan sekiranya jarak gigi anda “lebih luas daripada biasa” ruang atau anda bergigi palsu.

Super Floss

Sejenis flos ortodontik dengan benang flos yang sesuai untuk membersihkan pendakap gigi, gigi palsu dan jurang yang luas di antara gigi.

Alat Flos menggunakan air

Sejenis inovasi baharu yang menggunakan tekanan air untuk menanggalkan plak. Berupaya  menghapuskan bakteria terbenam di antara gigi dan di bawah gusi untuk kesihatan mulut yang lebih baik. Kelemahan alat ini adalah agak mahal dan bersaiz besar menyebabkan sukar dibawa bersama ketika berjalan/melancong.

Cara Pemflosan

 

 

Teknik pemflosan dalam masa satu minit ditunjukkan dalam video. Apabila anda menguasai kemahiran tersebut, anda dapat membersihkan ruang antara gigi dengan lebih berkesan dan lebih cepat. Oleh itu, tanamkan tabiat pemflosan, tidak kira sesibuk mana pun anda. Hanya 60 saat yang diperlukan. Anda mungkin mengalami kesakitan atau pendarahan gusi semasa beberapa hari pertama menggunakan flos. Ini merupakan perkara biasa. Jika pendarahan masih berterusan selepas seminggu menggunakan flos, sila rujuk doktor gigi anda.

Saya hanya mula menggunakan flos pada tahun 3 di fakulti pergigian. Kesedaran timbul selepas melihat kesan kurang bersih mulut pesakit saya yang mengakibatkan masalah gigi dan kehilangan gigi. Sekiranya saya tidak menggunakan flos untuk satu tempoh masa, gusi saya cenderung untuk menjadi bengkak, yang merupakan salah satu tanda keradangan gingiva (gingival inflammation). Kebanyakan pesakit saya mendapat manfaat daripada tabiat menggunakan flos. Kadang kala, tabiat ini boleh dipupuk dengan sedikit motivasi, ketekunan dan disiplin untuk peningkatan yang besar dalam kebersihan oral.

Untuk pengetahuan anda, mulut adalah bahagian yang paling kotor dalam badan. Terdapat banyak bakteria yang wujud di bahagian mulut. Jika kebersihan tidak dijaga, pelbagai masalah akan timbul seperti kerosakan gigi dan penyakit gusi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 60-90% daripada kanak-kanak sekolah dan hampir 100% orang dewasa mempunyai kaviti gigi di seluruh dunia.

Oleh itu, saya berharap anda dapat memulakan tabiat menggunakan flos setiap hari. Memulakan tabiat ini bakal menjimatkan beratus-ratus, malahan beribu-ribu ringgit yuran rawatan pergigian yang disebabkan oleh kebersihan mulut. Sebagaimana kata papatah, mencegah lebih baik daripada mengubati! Banyak masalah gigi yang boleh dielakkan dan pilihan ada di tangan anda.

Dr. Edward Tay adalah doktor gigi dengan minat mendalam perihal pencegahan dalam bidang pergigian dan mendidik masyarakat tentang penjagaan oral.

Rujukan:

  • http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs318/en/
  • http://www.ada.org/en/science-research/ada-seal-of-acceptance/product-category-information/floss-and-other-interdental-cleaners
  • http://www.myhealth.gov.my/en/flossing/

Artikel ini diterjemah oleh Nurul Aini Ahmad daripadahttps://www.mmgazette.com/flossing-try-this-for-lasting-teeth-longer-life-dr-edward-tay/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box