Angina merupakan keadaan yang menyebabkan rasa sakit atau tidak selesa pada bahagian dada yang kemudiannya boleh merebak ke bahagian leher, lengan, bahu dan belakang badan. Angina sering berlaku semasa seseorang individu melakukan aktiviti fizikal atau dalam keadaan stres, namun angina juga boleh berlaku walaupun semasa keadaan rehat.
Punca dan gejala angina
Angina lazimnya dikaitkan dengan masalah jantung. Contohnya, apabila terdapat saluran darah yang tersumbat atau sempit akibat mendapan lemak pada dinding salur darah yang mengganggu pengaliran darah ke jantung. Apabila keadaan ini berlaku, jantung perlu berdegup dengan lebih kuat untuk berfungsi secara optimum hingga menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan pada dada. Selain itu, gejala lain angina termasuklah pening, keletihan, rasa loya, berpeluh secara berlebihan dan kesukaran bernafas.
Peranan ubat glyceryl trinitrate dalam merawat angina
Kebiasaannya, gejala angina akan hilang secara beransur-ansur selepas individu yang mengalaminya berhenti daripada melakukan aktiviti dan berehat. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, ubat masih diperlukan untuk membantu mengurangkan gejala angina. Ubat tersebut ialah glyceryl trinitrate (GTN) yang merupakan sejenis ubat dalam kumpulan nitrat.
Ubat GTN terdapat dalam bentuk tablet sublingual dan semburan. Ubat GTN dalam bentuk tablet sublingual perlu diletakkan di bawah lidah manakala ubat GTN jenis semburan perlu disembur di bawah lidah untuk menghasilkan kesan yang diingini. Kawasan di bawah lidah mempunyai banyak saluran darah yang membantu penyerapan ubat dengan lebih cepat. Ubat GTN bertindak dengan mengembangkan saluran darah supaya peredaran darah ke jantung menjadi lebih lancar dan otot jantung mendapat bekalan oksigen yang mencukupi dalam tempoh yang pantas.
Cara penggunaan ubat GTN yang betul
Sekiranya mengalami serangan angina serta sesak nafas, pesakit dinasihatkan untuk berhenti daripada melakukan sebarang aktiviti pada ketika itu. Pesakit hendaklah duduk, bertenang, tidak panik dan bernafas seperti biasa.
- Tablet sublingual GTN
Pesakit hendaklah meletakkan sebiji tablet sublingual GTN di bawah lidah dan membiarkan tablet tersebut larut sendiri. Tablet sublingual GTN tidak boleh dikunyah, dihisap atau ditelan. Jika gejala masih berterusan selepas 5 minit, pesakit boleh meletakkan sebiji lagi tablet sublingual GTN. Hanya 3 biji tablet sublingual GTN yang digunakan pada satu-satu masa.
- Semburan GTN
Pesakit hendaklah menyembur satu hingga dua semburan ubat ke bawah lidah. Pesakit perlu menutup mulut dengan segera dan tidak menyedut ubat yang disembur ke dalam tekak. Hanya 3 kali semburan GTN yang boleh digunakan pada satu-satu masa.
Pesakit akan berasa pedas atau seperti mencucuk-cucuk di bawah lidah semasa atau selepas menggunakan ubat GTN. Keadaan ini merupakan tindak balas biasa bagi penggunaan ubat GTN yang menunjukkan bahawa ubat tersebut sedang meresap masuk ke saluran darah di bawah lidah.
Sekiranya pesakit tidak berasa lega dalam tempoh 15 minit, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera. Pesakit juga diingatkan agar tidak bersendirian atau memandu berseorangan ke hospital.
Kesan sampingan bagi penggunaan ubat GTN
Antara kesan sampingan yang biasa berlaku termasuklah sakit kepala, pening, loya, muntah, pitam atau degupan jantung yang laju terutamanya jika pesakit terus bangun atau berdiri selepas penggunaan ubat GTN. Kesan sampingan ini dapat dikurangkan melalui pergerakan pesakit berdiri atau bangun secara perlahan-lahan. Elakkan memandu atau mengendalikan mesin selepas menggunakan ubat GTN.
Bukan semua pesakit yang menggunakan ubat GTN akan mengalami kesan sampingan. Kesan sampingan kebiasaannya bersifat sementara dan pulih dengan sendiri. Namun begitu, pesakit hendaklah mendapatkan pemeriksaan lanjut di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami kesan sampingan yang berpanjangan.
Cara penyimpanan ubat GTN
Ubat GTN harus disimpan jauh daripada sumber cahaya, haba, kelembapan yang tinggi dan capaian kanak-kanak. Tablet sublingual GTN perlu disimpan di dalam botol legap. Botol hendaklah sentiasa ditutup dengan ketat.
Tablet sublingual GTN akan luput selepas 8 minggu dari tarikh pertama botol dibuka. Selepas tempoh ini, ubat tablet sublingual tidak boleh lagi digunakan kerana dikhuatiri tidak lagi berkesan. Ubat GTN jenis semburan pula boleh digunakan hingga tarikh luput yang tercatat pada bekas semburan.
Nasihat untuk orang awam
Pesakit yang kerap mengalami gejala angina disarankan untuk sentiasa membawa ubat GTN dan apabila diperlukan, mereka hendaklah menggunakan dengan cara yang betul. Pesakit yang mengandung atau menyusukan anak pula hendaklah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan ubat GTN. Selain itu, kaedah penyimpanan ubat GTN haruslah dipatuhi untuk menjamin keberkesanannya.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh Puan Mai Nordhiya binti Meor Nor Azian (Pegawai Farmasi UF13, Hospital Batu Gajah) & Puan Ng Wei Yee (Pegawai Farmasi UF14, Hospital Batu Gajah) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.
Rujukan:
- http://www.myhealth.gov.my/en/tablet-glyceryl-trinitrate-gtn/
- Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna – Glyceryl Trinitrate
- https://www.heart.org/en/health-topics/heart-attack/angina-chest-pain
- https://www.nhs.uk/conditions/angina/
- https://www.nhs.uk/medicines/glyceryl-trinitrate-gtn/how-and-when-to-take-glyceryl-trinitrate-gtn/
- https://www.mims.com/malaysia/drug/info/glyceryl-trinitrate/patientmedicine/glyceryl-trinitrate-sublingual
- https://www.healthhub.sg/a-z/medications/glyceryl-trinitrate