Doktor gigi anda mungkin akan mengesyorkan agar gigi anda dicabut atas beberapa sebab. Antara sebab-sebab yang lazim adalah kerosakan gigi, trauma atau kesesakan gigi. Sejurus selepas gigi anda dicabut, anda harus memikirkan tatacara penjagaan yang boleh membantu melegakan anda serta mempercepat proses penyembuhan. Berikut merupakan beberapa petua yang boleh memudahkan anda untuk pulih:
Mengawal Pendarahan
Selepas gigi dicabut, doktor gigi anda akan segera meletakkan kain kasa atau ‘gauze’pada tempat berkenaan untuk anda gigit. Gigit atau pegang gauze tersebut dengan kuat agar ia tetap di tempatnya selama lebih kurang 30-45 minit bergantung pada pendarahan yang berlaku. Jika pendarahan berterusan, jangan risau, pendarahan yang sedikit adalah perkara biasa dan mungkin kelihatan lebih teruk daripada yang sebenarnya oleh kerana darah tersebut bercampur dengan air liur yang banyak. Anda juga boleh melembapkan uncang teh dengan air, lipat uncang tersebut dan menggigitnya selama 30 minit. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku pendarahan yang banyak dan berlanjutan selama satu atau dua jam, hubungilah doktor gigi anda. Sebaik sahaja pendarahan berkurang, darah beku akan terbentuk. Penting untuk diingat bahawa darah beku tersebut membantu penyembuhan, oleh itu ia tidak seharusnya diganggu atau dicungkil keluar.
Mengawal kesakitan dan jangkitan
Setelah gigi dicabut, anda akan berasa sedikit sakit. Ambil dos ubat tahan sakit yang pertama sebelum rasa kebas betul-betul hilang. Jika antibiotik diberikan, teruskan mengambilnya seperti yang diarahkan, sungguhpun tanda-tanda serta simptom-simptom jangkitan kuman sudah tiada lagi.
Mengurangkan bengkak
Anda mungkin akan mengalami kebengkakan selepas gigi dicabut. Sejurus selepas prosedur, letakkan pek ais pada rahang anda, di sebelah tempat gigi yang dicabut selama 20 minit dan alihkan selama 20 minit, diselang-selikan selama 24 jam yang pertama. Selepas 48 jam, tuam bahagian tersebut untuk melancarkan aliran darah serta mempercepat penyembuhan. Kebiasaannya, bengkak akan surut selepas 48 jam.
Diet
Kira-kira 2 jam selepas prosedur, rasa kebas akan beransur hilang dan anda boleh mula makan dan minum. Walau bagaimanapun, anda hanya boleh minum air dan makan makanan lembut sahaja untuk dua hari yang pertama. Selama tempoh ini, kunyah menggunakan bahagian yang sihat, pilih makanan yang sejuk atau yang bersuhu bilik, dan minum air yang banyak. Elakkan makanan yang pedas, air panas, serta air berkarbonat selama 3 hingga 4 hari, untuk mengelakkan iritasi dan melecur. Jika beberapa gigi telah dicabut, minum sekurang-kurangnya enam gelas air pada hari pertama untuk mengganti semula jumlah kehilangan darah.
Kebersihan mulut
Ketika memberus gigi, gosok bahagian berhampiran gigi yang dicabut dengan lembut. Bahagian lain boleh diberus seperti biasa. Jangan sekali-kali mencucuk tempat gigi yang dicabut itu dengan jari, dan elakkan menyentuh bahagian tersebut dengan lidah untuk mengelakkan darah beku dari tercungkil keluar, kerana ini akan membantutkan proses penyembuhan.
Pada hari pertama gigi dicabut, sebolehnya kumur dengan lembut menggunakan air garam yang suam (1 sudu teh garam dicampur ke dalam segelas air suam) selepas makan. Berkumur dengan cara ini akan membantu mengeluarkan cebisan makanan dan kotoran yang mungkin tersekat di bahagian gigi yang dicabut, dan membantu penyembuhan serta mengurangkan risiko jangkitan kuman.
AMARAN: Jangan berkumur atau meludah dengan kuat!
Jangan merokok dan elakkan minuman beralkohol
Selepas gigi anda dicabut, jangan merokok selama sekurang-kurangnya dua hari kerana ia boleh menjejaskan proses penyembuhan. Pergerakan yang terlibat semasa menghisap rokok boleh menggerakkan darah beku dan mengakibatkan kesakitan pada soket gigi. Minuman beralkohol perlu dielakkan selama 24 jam, kerana ia boleh melambatkan proses penyembuhan.
Bucu tajam soket gigi
Oleh kerana gusi sembuh dengan lebih cepat berbanding tulang, lidah anda mungkin boleh merasai bucu tajam pada bahagian soket gigi yang dicabut. Kadangkala sebahagian kecil tulang boleh muncul di permukaan luka. Sungguhpun perkara ini adalah normal dan tidak berbahaya, jika ia mengganggu anda dan anda tidak mahu menunggu untuk ia keluar dengan sendirinya, anda boleh meminta doktor gigi anda untuk mengeluarkannya.
Jahitan
Jika luka anda perlu dijahit, jahitan tersebut mungkin perlu dikeluarkan oleh doktor gigi anda, atau ia mungkin akan diserap selepas satu atau dua minggu. Pakar bedah pergigian anda akan memaklumkan anda tentang perkara ini.
Rehat secukupnya
Elakkan bersenam secara berlebihan atau mengangkat benda-benda berat selama sekurang-kurangnya satu hingga dua hari selepas prosedur. Penggunaan tenaga akan menyebabkan lebih banyak darah dipam, meningkatkan kadar denyutan jantung dan menyebabkan pendarahan berterusan. Berehatlah pada siang hari, dan tidur awal pada waktu malam. Apabila baring, tinggikan sedikit bahagian kepala dengan menggunakan dua bantal atau duduk dengan separa bersandar pada malam yang pertama.
Sila hubungi atau berjumpa doktor gigi anda dengan segera jika anda mengalami mana-mana isu berikut:
- Sakit menjadi lebih teruk sehari selepas prosedur
- Pendarahan yang banyak dan sukar dikawal
- Bahagian sekitar gigi yang dicabut menjadi semakin bengkak
- Gatal-gatal atau ruam selepas mengambil ubat-ubatan
Dr Marini Ismail ialah Pegawai Pergigian yang sedang berkhidmat di Selangor.
Rujukan:
- Watson S. 6 Steps to Recovery After Oral Surgery [Internet]. About.com Health. 2015 [cited 21 February 2015]
- Chestnutt I, Gibson J. Churchill’s pocketbook of clinical dentistry. Edinburgh: Churchill Livingstone; 2002
Artikel ini telah diterjemah dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu oleh Dr Aini Hanan Azmi.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]