Penjagaan Gigi Palsu – Dr Husna Razak

Sumber: dentalcarematters.com

Sumber: dentalcarematters.com

Sepertimana gigi asli, gigi palsu juga harus dijaga kebersihannya dengan teliti. Ini adalah untuk mengelakkan pengumpulan plak berbakteria pada gigi palsu yang seterusnya boleh menyebabkan penyakit oral seperti denture stomatitis (radang mukosa mulut) dan jangkitan kulat Candida, serta mengekalkan kesihatan gigi asli jika masih ada.

  1. Gigi palsu baharu mungkin akan terasa aneh ketika mula-mula dipakai. Perkara ini adalah normal walaupun anda sudah terbiasa memakai gigi palsu sebelum ini. Mulut anda memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan gigi palsu baharu.
  2. Jika memakai gigi palsu baharu, anda dinasihatkan untuk mengambil makanan lembut perlahan-lahan dengan suapan yang kecil. Kunyah makanan tersebut dengan kedua-dua belah gigi (kanan dan kiri serentak) jika boleh.
  3. Bersihkan gigi palsu anda setiap hari dengan teliti untuk membuang lapisan plak berbakteria yang melekat pada gigi palsu tersebut, terutamanya pada waktu malam sebelum anda masuk tidur.
  4. Guna berus gigi lembut untuk membersihkan plak dari celah-celah gigi palsu dengan air yang bersih. Anda disarankan untuk melapik gigi palsu dengan tuala atau membersihkannya dalam sebekas air bersih untuk mengelakkan ia patah sekiranya terjatuh.
  5. Sekiranya anda menggunakan produk untuk membersihkan/merendam gigi palsu, sila ikut arahan pengilang ketika menggunakan produk tersebut- rujuk label produk. Setelah selesai, bilas dengan air bersih dengan banyak untuk membuang sisa-sisa produk pembersih tersebut.
  6. Jangan sesekali guna produk pembersih untuk mencuci gigi palsu di dalam mulut anda!
  7. Gigi palsu tidak boleh direndam dalam produk peluntur yang mengandungi sodium hypochlorite (contohnya Clorox) lebih daripada 10 minit. Rendaman melebihi 10 minit boleh merosakkan gigi palsu anda.
  8. Mencuci gigi palsu dengan air panas boleh menyebabkan gigi palsu anda berubah bentuk dan rosak
  9. Simpan gigi palsu anda dalam bekas tertutup yang diisi air bersih ketika tidur. Anda dinasihatkan untuk ‘merehatkan’ mulut anda selama beberapa jam setiap hari. Pemakaian gigi palsu berpanjangan (24 jam sehari) dapat meningkatkan risiko mendapat denture stomatitis.
  10. Produk pelekat gigi palsu, jika digunakan, harus dibersihkan daripada gigi palsu setiap hari. Walaupun pelekat gigi palsu dapat menjadikan pemakaian gigi palsu lebih selesa, anda disarankan untuk berjumpa doktor gigi anda jika masalah gigi palsu longgar atau tidak stabil yang dialami berpanjangan. Pembetulan gigi palsu sedia ada atau pembuatan gigi palsu baharu boleh meningkatkan kualiti gigi palsu anda.
  11. Pelekat gigi palsu harus digunakan dalam jumlah yang hanya cukup untuk membuatkan gigi palsu tersebut melekat pada rahang, bukannya melebihi keperluan.
  12. Produk pelekat gigi palsu yang mengandungi zink boleh menyebabkan kesan sistemik pada badan anda, contohnya rasa kebas pada kaki dan tangan serta masalah keseimbangan, jika digunakan dengan tidak betul atau melebihi keperluan. Oleh itu, anda digalakkan untuk menggunakan produk alternatif yang tidak mengandungi zink. Anda juga dinasihatkan untuk merujuk label produk untuk mengetahui cara penggunaan produk tersebut dengan betul.
  13. Sekiranya anda terpaksa menggunakan produk pelekat dalam jumlah yang banyak melebihi saranan pihak pengeluar/pengilang, ini mungkin bermakna gigi palsu anda tidak muat (fit) dengan betul. Namun begitu, jangan sesekali cuba untuk mengubahsuai gigi palsu anda sendiri. Serahkan kepada yang pakar.

Gigi palsu yang tidak dijaga boleh berubah warna dan mempunyai bau yang tidak menyenangkan sekiranya dibiarkan berpanjangan. Adalah penting untuk anda berjumpa dengan doktor gigi anda setiap tahun untuk pemeriksaan walaupun anda sudah tiada gigi asli. Doktor gigi bukanlah hanya memeriksa gigi tetapi juga bahagian mulut yang lain seperti pipi, gusi dan lidah untuk mengesan penyakit berkaitan dengan pemakaian gigi palsu.

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang sedang bertugas di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box