Penjagaan Pesakit Strok – Mohd. Alif Idham Abd. Hamid

SIRI CERIA SEPANJANG USIA

Strok merupakan penyakit yang melibatkan otak yang mengawal sistem saraf manusia seperti pergerakan badan, tingkahlaku manusia, daya ingatan dan juga pernafasan. Ianya berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu. Aliran darah yang berterusan ke otak dapat memastikan bekalan oksigen dan nutrien untuk otak sentiasa mencukupi. Sekiranya saluran darah di otak pecah atau tersumbat, bekalan darah akan terhenti.

Pesakit yang mengalami strok memerlukan jagaan yang rapi dan baik untuk membolehkan mereka pulih, sihat dan dapat menjalani kehidupan seharian. Pesakit strok juga memerlukan jangkamasa yang tertentu untuk terus sihat dengan menjalani fisioterapi dan rehabilitasi.

Berikut adalah langkah-langkah penjagaan pesakit strok:

  1. Penjagaan Mengikut Diet Yang Telah Ditetapkan.

Pesakit strok diberikan diet yang telah ditetapkan oleh pakar diet di hospital. Untuk bakal penjaga pesakit strok, ini penting untuk memastikan pesakit strok juga menerima diet yang sesuai dan baik dalam proses penyembuhan pesakit strok tersebut. Kerap bertanya kepada pakar diet tentang makanan yang sesuai dan berkhasiat. Jika pesakit strok tersebut menggunakan Tiub Nasogastrik, pastikan anda mendapat info yang tepat daripada pakar diet berkenaan dengan susu yang sesuai dan sukatannya. Untuk cara memberi susu menggunakan Tiub Nasogastrik, anda boleh mendapatkan nasihat dari jururawat yang bertauliah. Begitu juga dengan ubat-ubatan. Pastikan pesakit memakan ubat yang telah diberi mengikut masa yang telah ditetapkan.

  1. Rehabilitasi dan Fisioterapi

Strok akan menyebabkan pesakit hilang keupayaan dari segi aktiviti fizikal seharian seperti bersenam, melipat pakaian, berkebun, memegang alatan utensil, berjalan dan pelbagai aktiviti yang melibatkan fizikal. Dengan mengikuti program rehabilitasi yang telah ditetapkan oleh pihak hospital ataupun Organisasi Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organisation, NGO) yang membantu pesakit dalam proses rawatan dan membantu mereka dalam berdikari sendiri semaksima yang mungkin. Untuk fisioterapi, ianya penting untuk mengembalikan keupayaan pesakit yang sudah kurang apabila diserang penyakit strok. Pesakit dan penjaga akan diajar dengan senaman yang bersesuaian mengikut kemampuan untuk membolehkan pesakit mencapai tahap kesihatan fizikal yang lebih baik. Proses ini tidak semestinya tertumpu di pusat rehabilitasi ataupun hospital sahaja. Ianya perlu ada kesinambungan di rumah.

  1. Komunikasi antara Pesakit dan Penjaga

Pesakit strok kebanyakannya akan mengalami perubahan dari segi emosi. Emosi mereka tidak seperti sebelum mereka diserang penyakit tersebut. Ada dikalangan mereka yang cepat marah dan cepat bersedih. Ini penting kepada penjaga apabila berkomunikasi dengan pesakit kerana ianya mampu menambahkan tekanan kepada pesakit. Komunikasi yang baik membolehkan penjaga memahami apa yang pesakit mahukan. Dalam masa yang sama juga, empati amat penting kepada penjaga pesakit strok dan ianya memerlukan kekuatan jiwa dan kesabaran yang tinggi. Kebanyakan pesakit strok juga hilang upaya untuk bercakap dengan lebih baik dan teratur. Oleh sebab itu, mereka dihantar menjalani rawatan terapi percakapan (speech therapy). Terapi ini juga boleh dipraktik di rumah supaya keupayaan bertutur pesakit strok akan lebih baik mengikut teknik yang telah ditetapkan oleh pakar.

  1. Lebihkan Aktiviti Riadah Bersama Keluarga

Aktiviti riadah antara aktiviti yang bagus untuk pesakit strok kerana ianya membantu mereka dalam menjalani proses pemulihan. Aktiviti yang sesuai seperti bersiar-siar di taman, melancong, mengunjungi rumah sanak saudara dan pelbagai lagi. Ini membantu pesakit kerana sokongan ahli keluarga adalah amat penting dalam proses pemulihan ini. Kita tidak boleh membiarkan pesakit strok merasakan mereka keseorangan. Ada kalanya, pesakit strok merasakan mereka telah menyusahkan orang disekeliling mereka. Maka dengan itu, sokongan ahli keluarga perlu untuk memberikan satu perasaan yang selesa kepada pesakit dalam proses pemulihan tersebut.

  1. Penjagaan Kesihatan Mental Pesakit dan Penjaga

Mental pesakit dan penjaga juga perlu dititikberatkan dalam proses pemulihan. Pesakit juga perlu berada dalam keadaan yang tenang dan tidak tertekan. Mereka juga tidak boleh dilayan seperti budak kecil yang perlu dimarahi kerana keadaan mereka yang sememangnya memerlukan kesabaran apabila menjaga pesakit strok. Banyakkan aktiviti terapi minda seperti mendengar muzik, alunan ayat-ayat suci, dan juga melihat gambar-gambar lama. Ini boleh membantu mereka rasa lebih tenang dan menguatkan minda mereka dalam masa yang sama. Penjaga pesakit strok juga tidak boleh dibiarkan kerana bebanan yang melampau akan menjadikan mereka burnout. Bincang dengan ahli keluarga tentang giliran menjaga pesakit strok dan jangan biarkan seorang sahaja yang menjaga pesakit tersebut. Perlu ada kerjasama antara satu sama lain.

Langkah-langkah ini adalah penting sewaktu pasca strok bukan sahaja penjagaan pesakit, malahan juga kebajikan penjaga juga perlu dititiberatkan. Penyakit strok boleh diubati jika ianya dirawat dengan baik dan mengikut apa yang telah disarankan oleh pakar-pakar yang berkenaan.

Rujukan:

  1. Farizah Mohd Hairi, Choo Wan Yuen, Noran Naqiah Hairi. (Eds) (2019). Panduan Penjaga Warga Emas. Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur
  2. Program CERgAS, Panduan Senaman di Rumah, 2014 (ISBN 978-967-99923-5-5)

Mohd Alif Idham Bin Abd Hamid memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) (Komunikasi Antarapersonal) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2014. Beliau pernah menjadi seorang Penolong Penyelidik di bawah Projek PEACE ‘Prevent Elder Abuse and negleCt initiativE’ selama 6 tahun (2014 – 2020) di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Beliau kini menyambung pengajiannya di peringkat PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia dan masih berkhidmat sebagai Penolong Penyelidik di jabatan yang sama.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box