Penjagaan Pesakit Terlantar- Dr Eva Mahirah Zulkifli

elderly1

Picture source: straits times.com

Ramai di antara kita yang memikul amanah menjaga ahli keluarga atau kenalan yang terlantar. Tidak kisahlah terlantar disebabkan oleh kemalangan (contoh: pendarahan otak, kecederaan saraf tunjang) atau penyakit (contoh: strok, kanser), menjaga orang yang terlantar adalah tanggungjawab yang berat yang memerlukan kesabaran dan kekuatan terutamanya bagi penjaga utama (primary caregiver). Selain daripada primary caregiver, ahli keluarga yang lain juga memainkan peranan yang penting untuk membantu meringankan bebanan.

Pesakit yang terlantar berisiko untuk mendapat komplikasi-komplikasi seperti darah beku pada salur darah di kaki (deep vein thrombosis), salur darah paru-paru tersumbat (pulmonary embolism), luka-luka badan (pressure sores), sendi keras dan mengerekot (joint contractures), jangkitan kuman pada paru-paru (pneumonia), dan lain-lain. Oleh itu, bagi mengurangkan risiko berlakunya komplikasi-komplikasi ini di samping memastikan keselesaan pesakit, primary caregiver perlu memastikan perkara-perkara di bawah dilaksanakan:

  1. Ubah posisi pesakit sekurang-kurangnya 2 jam sekali

Bayangkan betapa sakit dan lenguhnya kita kalau duduk di dalam kereta selama 4 jam tanpa henti. Begitulah orang yang terlantar jika tidak dialih posisi mereka. Selain untuk keselesaan pesakit, ini sangat penting untuk mengelakkan luka-luka badan (pressure sores). Pressure sores boleh berlaku bukan sahaja di belakang dan punggung, tetapi juga di tumit, buku lali, pinggul, siku, bahu, belakang kepala, cuping telinga dan mana-mana bahagian badan yang tertekan untuk jangka masa lama.

  1. Mandikan pesakit sekurang-kurangnya sekali sehari

Jika pesakit masih boleh bergerak atau ada bantuan yang cukup, mandikan pesakit di bilik air. Jika tidak, lakukan di atas katil dengan menggunakan tuala atau span basah (sponge bath). Gunakan air yang suam. Ketika memandikan pesakit, periksa badan pesakit untuk luka atau apa-apa masalah lain. Mandi membersihkan dan menyegarkan, sekaligus menceriakan pesakit.

  1. Jaga kebersihan mulut (oral hygiene) pesakit sekurang-kurangnya sekali sehari

                 Ini termasuklah memberus gigi dan membersihkan lelangit, bahagian dalam pipi dan lidah dengan menggunakan tuala kecil yang bersih. Penjagaan kebersihan mulut yang baik boleh mengelakkan jangkitan kuman dan juga memberi keselesaan kepada pesakit.

  1. Tukar pakaian dan alas pesakit setiap hari

Pakaian dan alas pesakit akan dikotori oleh kulit mati, cecair tubuh, najis, dan sisa makanan yang boleh menjadi tempat pembiakan kuman. Untuk memudahkan tugas pembersihan, lapik tilam dengan alas plastik, kemudian cadar, dan kemudian satu lagi alas kain sebelum membaringkan pesakit. Alas kain itu boleh kerap ditukar dan digunakan juga untuk membantu memposisikan pesakit. Lampin pesakit perlulah ditukar dengan kerap.

  1. Gerakkan sendi-sendi pesakit sekurang-kurangnya 3 kali sehari

Bermula dari bawah, gerakkan pergelangan kaki, lutut, pinggul, jari-jemari, pergelangan tangan, siku dan bahu untuk mengelakkan sendi menjadi keras dan mengerekot (joint contractures). Sambil itu, bolehlah urut badan pesakit dengan lembut untuk melancarkan peredaran darah.

  1. Dudukkan pesakit ketika makan atau minum

Ini bagi mengelakkan pesakit tersedak yang boleh menyebabkan makanan atau minuman masuk ke dalam paru-paru dan seterusnya menyebabkan jangkitan kuman. Dudukkan pesakit ketika makan atau minum dan sekurang-kurangnya setengah jam selepas itu.

  1. Mendapatkan peralatan seperti ripple mattress, doughnut pillow, dan TED stockings

Alat-alat ini membantu mengelakkan pressure sores dan darah beku pada kaki.
Jika mampu, boleh dapatkan di farmasi. Namun, alat-alat ini bukanlah pengganti ubah posisi dan menggerakkan sendi pesakit.

  1. Bersembang dengan pesakit

Ini dapat merangsang otak pesakit dan bagi pesakit yang sedar, ia dapat mengurangkan kebosanan dan tekanan jiwa pada pesakit.

  1. Simpan rekod perubatan pesakit

Tulis di dalam satu buku nota diagnosis, senarai ubat beserta dos, prosedur yang pernah dilakukan pada pesakit, dan masalah-masalah lain. Kemaskini setiap kali masuk hospital atau jumpa doktor. (Boleh minta tolong doktor tuliskan diagnosis.) Catitkan juga kebiasaan-kebiasaan pesakit seperti kekerapan buang air besar, warna najis, dan kuantiti makanan atau susu yang diambil pesakit. Beri buku tersebut pada penjaga seterusnya jika berganti.

  1. Minta bantuan!

Menjaga ahli keluarga yang terlantar memberi impak yang besar pada tenaga, kewangan dan emosi primary caregiver. Jangan segan untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga atau rakan tidak kira bantuan tenaga atau duit. Berkongsilah pengalaman dengan rakan yang juga sedang menjalani perkara yang sama.

Bagi ahli-ahli keluarga yang lain yang tidak menjadi primary caregiver atas apa jua sebab, tanggungjawab anda termasuklah:

  1. Berusaha untuk mengambil alih tugasan primary caregiver walaupun sekejap. 2 atau 3 bulan sekali, ambil alih selama 1 atau 2 minggu sekurang-kurangnya untuk memberi rehat kepada yang telah penat. Ambil cuti jika bekerja.
  2. Bantu dari sudut kewangan. Lampin, susu, peralatan perubatan, sewa ambulans, bayaran jururawat swasta, bayaran pembantu rumah, semuanya memerlukan wang. Perlu juga ingat primary caregiver selalunya tidak dapat bekerja.
  3. Fahami kesusahan primary caregiver. Dengar luahan hati mereka dan jangan mengkritik atau menyindir cara jagaan mereka. Tolong mereka mendapatkan bantuan jika anda sendiri tidak dapat membantu.

Menjaga orang yang sakit memang tanggungjawab yang berat. Hanya Tuhan yang mampu membalasnya. Ikhlaskan hati, banyakkan berdoa dan tolong-menolong antara satu sama lain, insyaAllah dipermudahkan.🙂

Dr. Eva Mahirah Zulkifli seorang Pegawai Perubatan yang menyedari kepentingan pendidikan kesihatan kepada pesakit dan ahli keluarga pesakit. Artikel ini diolah semula oleh beliau berdasarkan perkongsian beliau di kumpulan FB Masyarakat Kena Tahu (Ori).

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box