Penjelasan Tentang Ubat Batuk – Mark Cheong

Source: www.hcwreview.com

Source: www.hcwreview.com

Tatkala memasuki sesebuah farmasi sambil berjalan ke arah rak di mana tersusunnya ubat batuk dan terlihatlah pelbagai jenama ubat batuk, setiap satunya terpampang bukti kehebatan tersendiri pada botolnya. Terdapat juga ubat batuk yang amat dikenali, hasil daripada liputan meluas melalui pengiklanan di kaca televisyen. Walaupun terdapat pelbagai jenis ubat batuk, hakikatnya kebanyakannya terdiri daripada bahan buatan yang sama. Persoalannya; apakah kandungan ubat batuk itu dan apakah fungsi mereka?

Guaifenesin adalah satu antara bahan-bahan yang kebiasaannya terdapat dalam ubat batuk. Kandungan Guaifenesin ini dikategorikan sebagai expectorant. Expectorant membantu membuang kahak dan rembesan-rembesan yang lain melalui saluran pernafasan, mengurangkan kerengsaan serta ketidakselesaan pada saluran pernafasan. Guaifenesin adalah selamat untuk diberikan kepada kanak-kanak. Ia tidak mengandungi amaran penting atau tiada kesan sampingan yang berkaitan serta tiada interaksi yang signifikan terhadap preskripsi ubat-ubatan yang lain. Pesakit kencing manis juga boleh mendapatkan formulasi guaifenesin yang bebas gula.

Terdapat beberapa jenis bahan lain yang wujud dalam kandungan ubat penahan batuk (atau dikenali sebagai Antitussive). Ini termasuklah ‘codeine’ (di mana ia agak sukar didapati melalui pembelian-di-kaunter pada masa kini), pholcodeine dan dextromethorphan. Antitussive sering diambil sebagai ubat untuk batuk yang tidak produktif , namun kajian menunjukkan bahawa ubat ini tidak membawa sebarang faedah. Oleh itu, kebanyakan doktor mengakui tentang peranan ubat penahan batuk yang agak terhad, sebaliknya menyarankan agar para pesakit memperbanyakkan amalan meminum air.

Source: www.hcwreview.com

Source: www.hcwreview.com

Codeine, pholcodeine dan dextromethorphan perlu diambil dengan berhati-hati kerana berpotensi memberikan kesan sampingan terhadap ubat-ubatan lain yang telah dibekalkan terdahulu. Antara kesan-kesan sampingannya ialah membawa kepada pelalian dan juga boleh mengakibatkan sembelit. Pesakit asma juga perlu berhati-hati dalam pengambilan ubat-ubatan ini kerana secara teori ia boleh membawa respiratory depression (istilah perubatan yang digunakan untuk menggambarkan sebarang keadaan di mana kadar pernafasan seseorang individu di bawah 12-nafas setiap minit atau bermakna kesukaran bernafas). Codeine, pholcodeine dan dextromethorphan harus dielakkan oleh wanita hamil pada usia trimester ketiga kandungan.

Kebanyakan campuran dan persediaan ubat batuk yang ada mengandungi antihistamin dan terdapat beberapa jenis antihistamin yang biasa digunakan adalah termasuk diphenhydramine, chlorpheniramine, promethazine dan triprolidine. Antihistamin dianggap dapat membantu; dengan mengeringkan rembesan dari saluran pernafasan, manakala kesan sedatif boleh membantu seseorang yang mengalami batuk untuk mempunyai tidur malam yang lebih baik. Antara kesan-kesan sampingan antihistamin adalah seperti mulut kering, sembelit dan juga pelalian. Penggunaan antihistamin kepada kanak-kanak perlu dilakukan dengan berhati-hati, manakala untuk kanak-kanak yang berumur kurang dari 2 tahun adalah tidak digalakkan; melainkan jika terdapat kebenaran dari doktor.

En. Mark Cheong ialah seorang Ahli Farmasi yang bertugas di Kuala Lumpur. Beliau mempunyai minat terhadap strategi langkah-langkah kesihatan awam. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk ‘The Team’ dalam ruangan ini.

Artikel ini diterjemah dari “https://www.mmgazette.com/demystifying-cough-medicines-mr-mark-cheong/” oleh Cik Raja Maizatul Azaria.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • British National Formulary, Edisi 66, September 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box