Pentingnya Vaksin Influenza – Dr Mohammad Hj. Che’ Man

Virus influenza?

Merupakan punca kepada jangkitan saluran paru-paru akut yang disebabkan oleh Influenza A dan B. Ianya adalah penyakit epidemik yang terjadi hampir setiap tahun terutama sekali pada waktu musim sejuk di kawasan yang beriklim khatulistiwa.

Golongan veteran dan individu yang mempunyai masalah penyakit kronik adalah antara pesakit yang berisiko tinggi mendapat komplikasi teruk daripada jangkitan virus influenza, termasuklah kematian.

Golongan muda selalunya tidak terlalu terkesan dengan virus influenza kerana kebiasaannya, penyakit ini adalah ‘self-limiting’ atau dalam bahasa mudah, sistem imunisasi mereka dapat mengawal penyakit ini daripada menjadi lebih teruk. Terdapat beberapa jenis virus influenza yang sering menyerang manusia,  contohnya influenza A H1N1, influenza A H3N2 dan 2 jenis influenza B yang berlainan struktur.

 

Vaksin influenza!

Amalan pengambilan vaksin influenza adalah sangat digalakkan untuk mengelakkan jangkitan virus ini. “United States Advisory Committee on Immunization Practices” (ACIP) telah menyarankan pengambilan vaksin Influenza pada setiap tahun. Vaksin ini amat digalakkan untuk mereka yang berumur 6 bulan dan individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Influenza, orang tua, para pekerja kesihatan dan sesiapa yang berhubung dengan pesakit jangkitan virus Influenza.

Vaksin ini bukan hanya mengurangkan risiko jangkitan, malah ia juga dapat mengurangkan tahap keseriusan penyakit ini bagi mereka yang telah dijangkiti oleh virus Influenza.

Sistem penjadualan imunisasi yang dilaksanakan di negara kita menggalakkan kanak-kanak untuk mengambil vaksin influenza semasa bayi. Melalui pelaksanaan ini, ternyata kita dapat melihat penurunan kadar jangkitan virus influenza dikalangan kanak-kanak yang tidak disuntik atau divaksin, sekaligus menunjukkan keberhasilan “herd immunity’ di dalam sesebuah komuniti.

Vaksin ini juga sangat di syorkan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kongenital paru-paru atau jantung dan juga kepada pesakit “Human Immunodeficiency Virus” (HIV).

Pencegahan Influenza:

Centres for Disease Control and Prevention (CDC) sangat menyarankan supaya suntikan vaksin influenza diberi kepada bayi berumur 6 bulan dan ke atas untuk setiap tahun bagi mencegah jangkitan virus berbahaya ini. Keberkesanan vaksin ini untuk melindungi mereka daripada virus influenza ini adalah dalam 70 hingga 90%.

Jenis-jenis vaksin influenza:

  1. Vaksin influenza yang dimatikan (Inactivated vaccine)
    Jenis yang biasa diberikan dan selamat untuk ibu mengandung. Ianya diberikan melalui suntikan ke dalam otot (intramuscular injection).
  1. Vaksin influenza yang dilemahkan (Live attenuated vaccine)
    Hanya di berikan kepada mereka yang berumur 2 hingga 49 tahun serta tidak mempunyai penyakit kronik. Ianya diberikan dalam bentuk ‘spray’ ke hidung. Jenis ini jarang didapati di Malaysia.

*Jenis vaksin yang terkini dapat melindungi individu daripada 4 jenis jangkitan virus influenza (Quadrivalent vaccine) iaitu influenza A H1N1, influenza H3N2 dan 2 jenis influenza B yang berlainan strukturnya.

Cara-cara pengambilan:

  • Diberikan secara ‘Intramuscular’ (cucuk ke dalam otot) :
    Untuk orang dewasa, warga emas dan kanak-kanak berumur 8 tahun dan ke atas, di sarankan suntikan vaksin di bahagian otot bahu (otot deltoid) manakala untuk kanak-kanak berumur 6 bulan sehingga 8 tahun, disarankan pada bahagian tepi peha (anterolateral region)
  • Tidak boleh dicampur dengan vaksin yang lain dalam satu ‘syringe’
  • Vaksin ini perlu digoncang sebelum suntikan
  • Dos untuk orang dewasa dan warga emas : 0.5mls setiap satu tahun
  • Dos untuk kanak-kanak :
    Untuk kanak- kanak berusia 6 bulan sehingga 3 tahun adalah 0.25mls untuk 2 dos. Dos kedua diberikan selepas sebulan.

Untuk kanak- kanak berumur 3 tahun ke atas dos diberikan adalah 0.25mls sekali sahaja.

 

Kesan sampingan akibat suntikan vaksin influenza:

Kesakitan di kawasan suntikan (paling biasa) sebanyak 10 hingga 70%. Kesan lain termasuklah :

  1. Demam
  2. Keletihan
  3. Sakit- sakit otot
  4. Sakit kepala
  5. Kesan alergi
  6. Pening

 

 

Perhatian!!

  • Vaksin ini tidak boleh diberikan kepada mereka yang mempunya alahan/alergi kepada suntikan vaksin ini (alahan dikenal pasti ketika suntikan sebelumnya)
  • Kanak-kanak yang mempunyai alergi kepada telur ayam dan antibiotik ‘neomycin’ juga mempunyai risiko alergi kepada vaksin ini.
  • Ianya boleh diberikan kepada ibu mengandung serta menyusukan anak.
  • Dinasihatkan supaya melewatkan suntikan sekiranya pesakit mengalami demam panas.
  • Vaksin influenza tidak dapat melindungi diri dari jangkitan virus influenza secara total.

Rujukan:

  1. Seasonal Influenza Vaccination Resources for Health Professionals : Centers for disease control and prevention (CDC)
  2. Paediatric Protocol for Malaysian Hospital, 3rdEdition
  3. World Health Organization (WHO): Seasonal Influenza Vaccine

ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN

PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA

(MD.UKM, MMED.USM)

DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE

KULLIYYAH OF MEDICINE, IIUM KUANTAN

PAHANG.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box