Apa itu penyakit asma?
Penyakit asma adalah penyakit keradangan paru-paru yang kronik. Ia merangkumi sejarah gejala- gejala pernafasan seperti bunyi berdehit (wheezing), kesukaran bernafas, sesak dada dan batuk. Sekiranya ada gejala-gejala tersebut, doktor akan menjalankan ujian lanjutan yang dipanggil spirometry untuk mengesahkan diagnosis penyakit asma. Pemeriksaan ini dijalankan untuk mengukur aliran udara masuk dan keluar daripada paru-paru.
Faktor pencetus untuk penyakit asma adalah berbeza daripada seorang individu ke individu yang lain. Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan berlakunya serangan asma adalah termasuk:
- Jangkitan saluran pernafasan dan paru-paru
- Alahan kepada habuk, hama, debunga atau bulu haiwan
- Terdedah kepada asap, bahan kimia dan pencemaran udara
- Terdedah kepada cuaca yang ekstrem, cuaca sejuk, berangin atau lembap
- Suasana rumah atau bilik yang berhabuk, lembap dan berkulat
- Tekanan (Stress)
- Emosi berlebihan
- Aktiviti fizikal
- Sesetengah ubat-ubatan seperti ubat anti-radang
- Alahan kepada makanan tertentu
Penyakit asma semasa pandemik COVID-19
Umum mengetahui yang negara kita dilanda pandemik COVID-19 sejak bulan Januari 2020. Pandemik yang melanda ini menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat bukan sahaja dari sudut kesihatan fizikal, bahkan dari sudut kesihatan mental dan status sosial. Kebimbangan ini turut dirasai di kalangan mereka yang menghidap penyakit asma. Berikut merupakan antara persoalan yang mungkin selalu difikirkan oleh seorang pesakit asma di waktu pandemik ini.
Adakah seorang pesakit asma akan lebih mudah untuk menghidap jangkitan COVID-19? Sekiranya dijangkiti, adakah pesakit asma senang untuk mendapat jangkitan pada tahap yang teruk?
Tidak. Berdasarkan garispanduan yang dikelurkan oleh Global Initiative for Asthma (GINA) 2021 menyatakan bahawa risiko pesakit asma untuk mendapat jangkitan COVID-19 adalah sama seperti masyarakat umum. Sekiranya dijangkiti, risiko untuk mendapat jangkitan yang teruk atau kematian adalah tidak bertambah untuk seorang pesakit asma. Walau bagaimanapun, risiko kematian adalah meningkat untuk pesakit asma yang memerlukan rawatan berterusan ubat steroid yang diambil secara makan, bagi mengawal serangan asma. Justeru itu, adalah penting untuk meneruskan kawalan asma yang baik seperti yang disarankan oleh doktor.
Adakah selamat untuk pesakit asma meneruskan pengambilan ubat-ubatan asma pada ketika pandemik COVID-19?
Ya. Adalah penting untuk setiap pesakit asma untuk meneruskan rawatan ubat-ubatan asma yang disarankan oleh doktor seperti biasa ketika pandemik COVID-19. Ini termasuklah ubat yang mengandungi inhaled corticosteroid [ICS] (ubat corticosteroid yang disedut); sama ada secara bersendirian atau dalam bentuk kombinasi bersama ubat long-acting beta agonists (LABA). Pesakit perlu dipastikan bahawa teknik penggunaan ubat-ubatan asma adalah betul, supaya ubat tersebut boleh mencapai bahagian dalam paru-paru. Sekiranya ubat ICS diberhentikan, kemungkinan untuk mendapatkan serangan asma adalah tinggi. Pesakit juga perlu sentiasa bersedia dengan ubat penyelamat seperti short-acting beta agonists (SABA), yang perlu diambil sekiranya terdapat tanda-tanda serangan asma.
Bolehkah pesakit asma mengambil sedutan gas (nebulizer) semasa pandemik COVID-19?
Kaedah sedutan gas (nebulisers) boleh menyebarkan partikel virus melalui udara sekurang-kurangnya pada jarak 1 meter yang berhampiran. Penggunaan nebulizers adalah dihadkan kepada rawatan asma yang mengancam nyawa (life-threatening asthma) di pusat rawatan yang khas. Sebagai alternatif, pesakit akan dibenarkan untuk menggunakan alat sedutan (pressurised metered-dose inhaler) bersama-sama alat tambahan seperti spacer, mouthpiece atau topeng muka (face mask). Penggunaan alat sedutan sendiri adalah amat digalakkan bagi mengurangkan risiko penyebaran virus COVID-19 kepada orang lain.
Adakah selamat untuk pesakit asma menerima suntikan vaksin COVID-19?
Secara umumnya, vaksin COVID-19 adalah selamat untuk kebanyakan pesakit asma. Reaksi alahan kepada vaksin adalah jarang berlaku. Namun, sebagai langkah keselamatan, vaksin tidak diberi kepada pesakit yang mempunyai sejarah reaksi alahan yang teruk kepada bahan pengawet vaksin seperti polyethylene glycol. Pesakit asma dinasihatkan untuk merujuk doktor sekiranya mempunyai sejarah reaksi alahan sebelum menerima suntikan vaksin COVID-19. Data terbaru daripada garispanduan GINA 2021 menyimpulkan bahawa suntikan vaksin COVID-19 adalah digalakkan kepada pesakit asma, selepas mengambil kira kebaikan menerima suntikan dan risiko ke atas pesakit asma sekiranya dijangkiti virus COVID-19.
Apakah perkara lain pesakit asma perlu lakukan ketika musim pandemic COVID-19 ini?
Pesakit asma dinasihatkan untuk mempunyai pelan tindakan asma (written asthma action plan). Pelan tindakan ini penting untuk seseorang pesakit asma mengenalpasti keadaan asma yang semakin teruk, cara penggunaan ubat sedutan dan bila perlu mendapatkan rawatan perubatan. Walaupun pesakit asma sudah lengkap divaksin, mereka dinasihatkan untuk terus memakai pelitup muka dan mengelakkan kontak rapat daripada orang lain semasa di tempat awam. Pesakit asma juga dianjurkan untuk mengambil suntikan vaksin influenza secara tahunan.
Kesimpulan
Kawalan asma yang baik adalah penting di musim pandemic COVID-19 bagi mencegah jangkitan yang serius. Pesakit asma disaran mendapatkan rawatan dengan kadar yang segera sekiranya mengalami tanda-tanda serangan asma, kerana di musim pandemik ini, adalah sukar untuk membezakan gejala tersebut berpunca daripada serangan asma atau sebahagian daripada gejala untuk jangkitan COVID-19. Mencegah daripada faktor pencetus asma boleh membantu pesakit daripada mendapat serangan asma, seterusnya daripada mendapat jangkitan COVID-19 yang serius.
Rujukan:
- Global Strategy for Asthma Management and Prevention Updated 2021 (Global Initiative for Asthma)
- COVID-19: Questions and answers. UpToDate.com.
Ditulis oleh,
Dr Mohd Aizuddin bin Abd Rahman
Pakar Perubatan Keluarga,
Jabatan Perubatan Keluarga,
IIUM Kuantan.