Penyakit Buah Pinggang Kronik & Ibadah Puasa – Dr Nur Hidayati

Sumber: www.thekidneydiseasesolutions.com

Sumber: www.thekidneydiseasesolutions.com

Setiap kali bulan Ramadhan menjelang, seringkali para doktor menerima banyak soalan serta kemusykilan dari para pesakit samada mereka boleh menjalani ibadah puasa. Seperti yang kita tahu, Islam secara prinsipnya tidak memberatkan umatnya terhadap sesuatu perkara melainkan sekadar yang termampu. Bagi golongan yang berpenyakit kronik – terdapat kelonggaran atau rukhsah bagi mereka dalam menjalankan ibadah seperti berpuasa.

Namun, walaupun diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa, majoriti pesakit berpenyakit kronik cenderung untuk tetap menjalani ibadah berpuasa. Malah mengikut kajian EPIDIAR (Epidemiology of Diabetes and Ramadan) 1 yang melibatkan 13 negara – didapati kebanyakan daripada 12,243 pesakit beragama Islam di dalam kajian ini tetap memilih untuk berpuasa semasa bulan Ramadhan. Malah dalam sebuah kajian yang dilakukan di salah satu institusi perubatan tertiari Malaysia, didapati bahawa kebanyakan pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan dialisis berjaya menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan selamat. 2 Oleh itu, pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis tidak perlu risau untuk berpuasa jika keadaan kesihatan mereka adalah stabil.

Namun, adalah diingatkan bahawa pesakit buah pinggang kronik yang memilih untuk berpuasa supaya berbincang dengan doktor sebelum menjalani ibadah puasa. Ini adalah penting untuk memastikan tidak berlaku komplikasi buruk semasa pesakit menjalani ibadah puasa.

Bagi pesakit yang menjalani hemodialisis atau dialisis peritoneal, kedua-dua rawatan berkenaan didapati tidak membatalkan puasa selagi tidak melibatkan pemberian glukos, penambahan darah ataupun bahan bernutrisi melalui darah. 3 Amat ditekankan bahawa pesakit tidak sepatutnya menghentikan rawatan dialisis mereka semata-mata untuk menjalani ibadah puasa.

Bagi sesetengah pesakit dialisis peritoneal – mereka juga boleh memilih untuk melakukan rawatan tersebut pada waktu malam menggunakan mesin Automated Peritonel Dialysis (APD). Bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis, mereka boleh juga meneruskan ibadah puasa pada hari yang tidak melibatkan rawatan dialisis.

Bagi pesakit buah pinggang kronik yang tidak mampu menjalani ibadah puasa, mereka diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa. Malah, jika pesakit mengalami komplikasi seperti masalah tekanan darah tinggi, kandungan darah gula yang rendah (hipoglisemia), kandungan gula terlalu tinggi hingga menyebabkan komplikasi seperti ‘diabetic ketoacidosis’ dan sebagainya – mereka seharusnya membatalkan puasa mereka atas sebab memudaratkan kesihatan.

Pesakit buah pinggang kronik juga dinasihatkan untuk menjaga pemakanan mereka dengan lebih rapi semasa menjalani ibadah puasa. Mereka perlu mengurangkan pengambilan garam, protein, kolesterol, masakan manis (bagi yang menghidap kencing manis) dan kurangkan makanan yang mengandungi fosfat yang tinggi.

Pengambilan air pada jumlah yang tepat ketika bersahur dan berbuka adalah penting untuk mengelakkan komplikasi paru-paru berair yang boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Bagi pesakit yang menjalani rawatan dialisis atau mengambil ubatan diuretik, mereka perlu merujuk kepada doktor untuk mengetahui jumlah sebenar air yang diperlukan. Kebanyakan pesakit mengambil air dalam jumlah yang kurang dari biasa semasa berpuasa. Maka, bagi pesakit ini, jumlah dos ubat diuretik itu mungkin perlu dikurangkan atau perubahan masa mengambil ubat itu perlu dilakukan.

Diharap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat meringankan dilema pesakit buah pinggang kronik untuk menjalani ibadah puasa. Perlu diingatkan juga bahawa tahap kesihatan bagi setiap individu khususnya bagi pesakit buah pinggang kronik adalah berbeza. Oleh itu, untuk kepastian dan penjelasan lebih jelas, sila berjumpa dengan doktor anda untuk mengetahui jika tahap kesihatan anda membenarkan anda untuk menjalani ibadah puasa.

Dr Nur Hidayati merupakan doktor pakar bahagian perubatan dalaman di sebuah universiti tempatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di The Team.

Rujukan:

  1. Salti I, Bénard E, Detournay B, Bianchi-Biscay M, Le Brigand C, et al. (2004) A population-based study of diabetes and its characteristics during the fasting month of Ramadan in 13 countries: results of the epidemiology of diabetes and Ramadan 1422/2001 (EPIDIAR) study. Diabetes Care 27:2306–2311
  2. Wan Md Adnan WAH, Zaharan NL, Wong MH, Lim SK (2014) The Effects of Intermittent Fasting during the Month of Ramadan in Chronic Haemodialysis Patients in a Tropical Climate Country. PLoS ONE 9(12): e114262. doi:10.1371/journal.pone.0114262 (ISI-Cited Publication)
  3. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/status-puasa-bagi-pesakit-yang-menerima-rawatan-dialisis-peritonial

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box