Penyakit Henoch-Schonlein Purpura – Dr La Reina Sangaran

Henoch Schonlein Purpura atau lebih dikenali sebagai HSP adalah suatu penyakit di mana terjadi keradangan pada pembuluh darah kecil di dalam badan. Penyakit ini biasanya menyerang saluran darah kecil pada kulit, sendi, usus, dan buah pinggang. Salur darah yang radang boleh menyebabkan kebocoran sel darah ke dalam kulit dan menyebabkan ruam yang dipanggil purpura.

Apakah yang menyebabkan penyakit Henoch-Schonlein Purpura?

Penyebab pasti penyakit HSP masih tidak diketahui. Namun, dijangka bahawa penyakit HSP boleh dicetuskan oleh jangkitan seperti virus atau bakteria. Penyebab lain yang mungkin termasuk ubat-ubatan, makanan dan gigitan serangga. Sesetengah orang mungkin mempunyai risiko genetik yang menyebabkan mereka lebih rentan terhadap penyakit ini. Penyakit HSP berlaku apabila sistem imun tidak berfungsi dengan normal. Protein yang dipanggil immunoglobulin A (IgA) yang biasanya berfungsi untuk melawan jangkitan akan berkumpul di dalam saluran darah dan menyebabkan saluran darah menjadi radang.

 

Siapakah yang boleh mendapat penyakit HSP?

HSP biasanya terjadi pada kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 10 tahun, namun penyakit ini juga boleh terjadi pada semua peringkat umur. Lazimnya, penyakit ini terjadi 2 kali ganda lebih kerap pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

 

Bagaimanakah doktor mendiagnosa penyakit HSP?

Biasanya penyakit HSP boleh didiagnosa dengan mengambil sejarah penyakit dan membuat pemeriksaan badan. Doktor juga akan memeriksa tekanan darah dan menjalankan ujian air kencing untuk mengenal pasti jika buah pinggang terserang. Kadang-kadang, ujian darah perlu dijalankan untuk melihat fungsi buah pinggang dan jika parah mungkin memerlukan ujian biopsi buah pinggang di mana doktor mengambil sedikit sampel daripada buah pinggang untuk diperiksa di makmal. Jika kanak-kanak tersebut mengalami sakit perut yang teruk, doktor mungkin perlu menjalankan ujian ultrasound untuk mengenal pasti jika terdapat masalah usus tersumbat.

 

 

Bagaimanakah penyakit ini dirawat?

Lazimnya, penyakit HSP tidak mempunyai rawatan yang khusus dan kebanyakan kanak-kanak sembuh tanpa rawatan. Kanak-kanak yang tidak boleh makan atau minum, mempunyai sakit perut yang teruk, tekanan darah yang terlalu tinggi dan masalah buah pinggang perlu dirawat di hospital.

  • Ubat-ubatan yang biasanya digunakan dalam rawatan HSP adalah:
  • Ubat tahan sakit seperti Paracetamol
  • Ubat anti radang seperti Ibuprofen
  • Jika kanak-kanak mengalami sakit sendi atau sakit perut yang teruk, ubat
  • steroid mungkin perlu diberikan untuk meredakan radang.
  • Ubat-ubatan immunosuppresif seperti Mycophenolate Mofetil, Cyclophosphamide dan Rituximab mungkin perlu digunakan untuk kanak- kanak yang mempunyai serangan buah pinggang yang parah.
  • Ubat darah tinggi diberikan untuk kanak-kanak yang menghidap tekanan darah tinggi
  • Kanak-kanak yang mengalami usus tersumbat perlu dirujuk kepada pakar bedah dan mungkin memerlukan pembedahan usus.

 

Bolehkah penyakit HSP berulang kembali?

Kebanyakan kanak-kanak dengan HSP pulih sepenuhnya dalam masa sebulan dan tidak mengalami masalah jangka panjang. Sesetengah pesakit hanya mendapat serangan HSP sekali seumur hidup. Terdapat juga kanak-kanak yang mendapat serangan HSP semula beberapa bulan selepas serangan pertama. Kanak-kanak yang pernah menghidap penyakit HSP berisiko mengalami masalah buah pinggang. Oleh itu, pesakit-pesakit ini digalakkan untuk mendapatan rawatan susulan secara berkala supaya doktor dapat memeriksa tekanan darah dan mengambil ujian air kencing.

 

Bolehkah penyakit HSP berjangkit kepada orang lain?

Penyakit HSP tidak boleh berjangkit kepada orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box